Sempena 55 Tahun PAS Kemaman: Ustaz Awang Dagang (1934-2013) Yang Saya Kenali

Ust Awang Dagang di HospitalArtikel ini disiarkan kembali sempena Sambutan 55 Tahun PAS Kemaman pada 1-31 Oktober 2015.

Rombongan Dewan Harian PAS Kemaman dalam perjalanan pulang dengan van PAS Kawasan Kemaman dari Liqa Fikri di KUDQI Kubang Lembik ketika berita diterima sekitar jam 11.30 malam Jumaat malam Sabtu bahawa mantan YDP PAS Kemaman ustaz Awang Dagang baharu sahaja meninggal.

2 hari sebelum itu, belaiu menelefon saya bertanyakan beberapa botol minyak angin tertentu untuk disapu pada badannya. Katanya sambil berseloroh: ‘Boleh tahan sikit pakai minyak angin ni, kalau ada yang lain beritahu lah boleh beli..’.

Saya kenal almarhum semenjak kecil sebenarnya. Kebetulan keluarga saya tinggal di belakang rumahnya di Kampung Injin Gergaji sekitar tahun 1970an. Saya masih kecil ketika itu. Agak takut dengan almarhum. Namun saya biasa ke rumahnya bermain dengan Jazlan, salah seorang anaknya yang tidak jauh umurnya dengan saya.

Ibu beritahu bahawa almarhum seorang yang rajin belajar. Lepas solat Subuh, dia terus menuju ke rumah almarhum datuk saya, Haji Wan Harun bin Husin yang juga antara imam masjid di Cukai waktu itu. Beliau banyak belajar agama dari almarhum datuk saya selain guru-gurunya yang lain. Beliau juga banyak membaca buku.

Ketika meningkat remaja, saya selalu mendengar ceramah almarhum. Antara penceramah yang selalu datang ke Kemaman berceramah politik ialah Dato’ Seri Tuan Guru haji Abdul Hadi, Dato’ Mustafa Ali, Haji Harun Jusoh, Dato Wan Mutalib Embong dan lain-lain penceramah ketika itu.

Antara ‘modal’ ceramahnya yang biasa disebut: ‘Kalau mengaji kitab kuning tu bab Aqidah, Sifat 20, sampai lebu (hancur) kulit, boleh hafal se-se (satu persatu), tapi bila sampai bab laksana Islam, tok leh selalu, macamlah Allah Taala dok reti sedangkan mengaji sifat wajib Allah ialah al-Ilmu (tahu).’

Selepas mengembara mencari ilmu, saya pulang ke Kemaman pada tahun 2000. PAS Terengganu baharu sahaja menang dalam PRU 1999. Almarhum menang mengalahkan Dato’ Wan Mokhtar, MB Terengganu. Beliau digelar ‘giant-killer’. Beliau dilantik menjadi Exco Kerajaan PAS Terengganu. Almarhum mengajar agama di banyak tempat. Ketika beliau sibuk menjalankan tanggungjawab Exco, saya menawarkan diri membantu meringankan tugas mengajar beliau. Saya mengambil tempat menggantikan beliau mengajar di beberapa tempat sekitar Kemaman. Tiada maksud lain, melainkan membantu dalam perjuangan Islam.

Ketika almarhum baharu sahaja keluar dari Hospital Besar Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu beberapa lama sebelum meninggal, kesihatannya sudah agak menurun. Saya diminta menggantikan tempat mengajar beliau di Balai Istiqamah di sebelah rumahnya pada pagi Jumaat. Saya sempat 4-5 kali mengajar sebelum beliau kembali ke rahmatullah.

Di atas kubur, salah seorang anaknya menyebut: ‘Ayah dah suka dah walaupun telah pergi. Balai Istiqamahnya hidup kembali, ada orang nak mengajar.’

Bukan sahaja tempat mengajarnya dinamakan Balai Istiqamah, beliau juga istiqamah dengan perjuangan Islam dalam PAS. Belaiu menjadi YDP PAS Kemaman agak lama. Senang dan susah bersama PAS. Jasa beliau sangat besar buat PAS Kemaman dan Terengganu.

Mudah-mudahan Allah merahmatinya dan meletakkannya bersama golongan para Nabi, Siddiqin, Syuhada dan Solehin.

Nik Muhammad Nasri bin Nik Malek,

Timbalan YDP PAS Kemaman 2013-15

Lampiran:

Berikut ialah wawancara yang pernah saya buat dengannya ketika PAS Kemaman menyambut Jubli Emas PAS Kemaman:

Jubli Emas PAS Kemaman: Biodata ‘Giant Killer’

Saya mewancara mantan YDP PAS Kawasan Kemaman Paling Lama (1974-89, 1993-2006) bagi tujuan pameran sempena Jubli Emas PAS Kawasan Kemaman di rumahnya di Kampung Injin Gergaji awal pagi 7 Okt 2010. Beliau digelar ‘Giant Killer’ selepas mengalahkan bekas MB Terengganu Wan Mokhtar dalam PRU 1999. Ketika saya kecil, keluarga saya tinggal di belakang rumahnya. Waktu itu saya rapat dengan anaknya Jazlan yang agak sebaya dengan saya. Tak sangka, selepas puluhan tahun, saya yang mewancaranya untuk diabadikan biodatanya sempena Jubli Emas PAS Kawasan Kemaman ini. Moga biodata dan pengalaman beliau dapat menjadi motivasi kepada generasi muda yang baharu mengenali PAS khususnya di Kemaman.

Nama Penuh: Awang Dagang bin Yusof

Tarikh Lahir: 14 Feb 1934

Nama isteri: Khatijah bt Awang Saman dan Hjh Hasmah bt Arifin

Anak-anak: 1952-Azizah, 1953-Maznah (meninggal dunia 2009), 1955-Nordin, 1957-Hasnah,

1958-Mahyudin, 1960-Fatimah, 1961- Zubaidah, 1965- Jazlan, 1966-Nasriah, Muhamad Furqan, Abdul Hadi, Siti Arma.

Persekolahan:

1945-48 Sekolah Melayu Kerteh

1948-49 Sekolah Pondok Bachok

1949-50 MadrasatulFalah (sekarang Sekolah Agama Al-Falah)

1952-60 Mengaji kitab dengan almarhum Hj Wan Harun bin Husain (datok kepada Ust Nik Nasri)

1959-60 Mengajikitab dengan TG Hj Hasbulah (anak murid Tok Kenali) Pondok Kg Buk, Ketereh, Jalan Kuala Krai, Kelantan.

Pengalaman Parti:

Mengikuti perkembangan parti mulai tahun 1954 dan menjadi ahli rasmi PAS pada tahun 1959

Menjadi  JK Cawangan (sekarang Kawasan) sebagai JK Pemuda pada tahun 1960

1966- Timbalan YDP PAS Cawangan Kijal (sekarang Kawasan Kemaman) merangkap ketua PAS Ranting Ibok (sekarang cawangan)

1974-YDP PAS Kawasan Kemaman.  Dalamasa yang sama menjadi guru agama Polis Daerah Kemaman, pegawai Seranta Tabung Haji. Dilantik menjadi guru agama dalam kapal haji dan di Mekah.

1975-Menerima pingat PJK

1999-Menang PRU 11 DUN Cukai mengalahkan Dato Amar DiRaja Wan Mokhtar yang lama menjadi MB Terengganu. Disebut ketika itu ‘Giant Killer’. Dilantik menjadi EXCO Kerajaan Negeri dan memegang Pengerusi portfolio JK  Hal Ehwal Wanita dan Hubungan Antara Kaum. Pernah memegang jawatan AJK Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu dan AJK Dewan Ulama.

Aktiviti sepanjang hidup ialah mengajar agama mulai 1956 dan penceramah politik PAS mulai 1966

Pengalaman kerja peribadi: Pernah dilantik sebagai Master Capital of National Museum (Kepala Tukang Bahagian Seni Muzium Nasional (sekarang Muzium Negara) di bawah Pengarah Muzium Hj Abdul Mubin Shepard selama 2 tahun iaitu tahun 1959-61.

Pesanan dari Mantan YDP Sempena Sambutan Jubli Emas PAS Kawasan Kemaman 7-9 Okt 2010:

“Kita  mengharapkan sahabat-sahabat  dalam perjuangan terus Istiqamah, yakin dengan perjuangan ini, tolonglah agama Allah, Allah  akan tolong kita.”

(Wawancara Ustaz Nik Nasri, Ketua Unit Pameran & Arkeb Jubli Emas PAS Kawasan Kemaman 2010 dengan TG Ust Awang Dagang 7.30 pagi 7 Okt 2010)

 

 

Share:
Written by Ustaz Nik Nasri Nik Malek
Pegawai Khas (Agama) Pejabat Menteri Besar Terengganu