SPRM: Bertanggungjawablah terhadap amanah

Kematian Teoh Beng Hock, S.U EXCO Selangor, siasatan terpilih terhadap beberapa perkara menjadikan SPRM diperhati. Bukan sahaja oleh penduduk Malaysia, tetapi penduduk langit. Dan tentunya Tuhan yang menjadikan langit dan seluruh alam ini. Atas dasar pesanan Nabi ‘agama itu nasihat’,  ‘sampaikan dariku walau sepotong ayat’ dan ‘Katakan yang benar walaupun pahit’ saya mengingatkan pegawai-pegawai SPRM, bermula dari ketua sehingga anak-anak bilisnya supaya bertanggungjawab terhadap amanah ini.

Rasuah adalah dosa besar dalam Islam. Nabi bersabda, bermaksud ‘Pemberi rasuah dan penerima rasuah dalam Neraka’. Justru, mereka yang membanteras rasuah sebenarnya sedang melakukan ‘al-amr bilmakruf wannahy an al-munkar’, suruh perkara baik dan melarang mungkar.

Membanteras rasuah pula bukan kerja mudah, apatah lagi di zaman sekarang yang semuanya cukup canggih. Sehingga kaedah dan medium menerima dan memberi rasuah pun cukup sofistikated.

Mereka yang melakukan kerja membanteras ini pula sebenarnya mesti punya satu sifat besar iaitu TAQWA. Alhamdulillah, majoriti pegawai SPRM beragama Islam. Tetapi beragama Islam sahaja belum tentu dapat menunaikan amanah itu kalau tiadanya taqwa tadi. Mereka yang sepatutnya membanteras rasuah, tidak mustahil mereka sebenarnya yang menerima rasuah atau diberi rasuah. Sekali lagi kerana tiada TAQWA.

Demikian juga dalam kes siasatan terhadap rasuah. Jangan lakukan siasatan secara terpilih yang hanya menurut pemerintah yang korup. Siasatan mesti saksama, adil, telus, meratai yang jerung dan anak bilisnya. Jangan biarkan masyarakat melihat secara negatif terhadap institusi penting dalam sebuah negara ini dengan sebab sikap selektif tidak adil itu.

Justru, saya mengambil kesempatan ini menasihatkan pegawai-pegawai SPRM supaya mengambil pengajaran dari kes kematian Teoh, bahawa sebenarnya kematian itu cukup hampir kepada semua, termasuk pegawai SPRM sendiri, yang kemudiannya kehidupan selepas mati itu akan ditunjukkan kepada anda segala amal perbuatan anda sewaktu di dunia dahulu. Insaf insaflah semua.

Share:
Written by Ustaz Nik Nasri Nik Malek
Pegawai Khas (Agama) Pejabat Menteri Besar Terengganu