Sokongan Terhadap Kuasa Presiden PAS Cadang 3 Nama Calon MB S’gor

Presiden PASSebuah Ngo ILMUAN telah mengeluarkan satu kenyataan medianya bagi menyokong keputusan Majlis Syura Ulama PAS yang menyebut mengenai kuasa Presiden PAS dalam mencadangkan 3 nama sebagai calon MB Selangor. Saya hanya menyiarkan kenyataan tersebut di bawah untuk manfaat bersama:

KENYATAAN MEDIA IKATAN ILMUAN NASIONAL
KUASA PRESIDEN PAS DALAM MENCADANGKAN TIGA NAMA SEBAGAI CALON MENTERI BESAR SELANGOR KEPADA SULTAN SELANGOR

Ikatan Ilmuan Nasional (Ilmuan) mengikuti dengan rapat perkembangan semasa isu Menteri Besar (MB) Selangor, seperti mana kenyataan media awal Ilmuan bertarikh 4 Ogos 2014 yang lalu. Perkembangan isu MB Selangor ini semakin menarik dalam masa terkini kerana ianya juga telah melimpah dan menyebabkan perbahasan dalaman PAS, terutama melibatkan bidang kuasa Presiden PAS, YB Dato’Seri Abdul Hadi Awang.

Ilmuan telah meneliti perkara-perkara yang berkaitan berkenaan isu di atas:

Fasal 26(1) Perlembagaan PAS. – Tugas-Tugas Ahli Jawatankuasa PAS Pusat – Presiden.

Fasal 8(1)(a) Perlembagaan PAS – Majlis Syura Ulamak.

Fasal 26(9)(m) Perlembagaan PAS – Ahli-Ahli Jawatankuasa Kerja.

Titah DYMM Sultan Selangor melalui surat yang bertarikh 27 Ogos 2014.

Kenyataan sokongan Dewan Ulama PAS Pusat yang bertarikh 7 September 2014 yang menyokong hak YB Dato’ Seri Presiden untuk mengguna pakai kuasanya sebagaimana di peruntukkan oleh Fasal 26(1) dan Fasal 8(1)(a) perlembagaan PAS.

Kenyataan sokongan Majlis Syura Ulama PAS Pusat yang bertarikh 7 September 2014 yang mengesahkan YB Dato’Seri Presiden mempunyai kuasa pemutus dalam apa jua perkara yang melibatkan kepentingan parti sesuai dengan Fasal 26(1) dan Fasal 8(1)(a) perlembagaan PAS.

Berdasarkan rujukan-rujukan di atas, Ilmuan berpandangan:

Fasal 26(1) telah memberi peruntukan yang amat jelas tanggungjawab Presiden dalam melaksanakan pentadbiran, gerakan dan kegiatan PAS bagi mencapai tujuan-tujuan yang termaktub dalam Perlembagaan ini mengikut dasar yang diperuntukan dan juga bagi menghurai, menjelas dan mentafsirkan dasar PAS serta membuat ketetapan mengenainya.
Walau bagaimanapun Fasal 26(1) haruslah dibaca bersama Fasal 8(1)(a) yang terpakai dalam situasi wujudnya kesamaran dalam maksud dan tujuan peruntukan fasal 26 (1) ini digubal. Dengan erti kata lain, Majlis Syura Ulama’ diberi kuasa di bawah fasal 8 (1)(a) untuk menghurai, menjelas dan menafsirkan peruntukan fasal 26 (1) tersebut seterusnya membuat ketetapan mengenainya. Secara khususnya, Majlis Syura Ulama’ mempunyai kuasa untuk mentafsirkan apakah yang dimaksudkan dengan “bertanggungjawab sebagai ketua”.

Merujuk kepada Fasal 8 (1)(a), Ilmuan seterusnya berpandangan bahawa mekanisma yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan bagi Majlis Syura Ulama’ melaksanakan kuasa mereka dalam menjelas, menghurai dan menafsir peruntukan Fasal 26 (1) adalah melalui “purposive approach”. Dengan erti kata lain, peruntukan ini dilihat memberi kuasa kepada Majlis Syura Ulama’ dalam menjelas, menghurai dan menafsirkan kesamaran dalam mana-mana peruntukan Perlembagaan PAS dengan melihat kepada semangat (spirit) PAS itu sendiri.

Ilmuan juga berpandangan bahawa YB Dato’ Seri Presiden berada dalam kekangan waktu yang amat terhad, berlegar antara tarikh titah DYMM Sultan Selangor pada 27 Ogos 2014 dan tarikh tutup penghantaran tiga nama calon MB, iaitu pada 3 September 2014. Ini disulitkan lagi dengan cuti umum Hari Kemerdekaan yang berlaku dalam tempoh yang sama.

Maka dalam situasi yang terbatas ini adalah tepat YB Dato’ Seri Presiden mengguna pakai kuasa dan hak beliau selaku Presiden PAS seperti mana yang termaktub di dalam Fasal-Fasal yang tersebut di atas.

Justeru itu, Ilmuan dengan ini berpendapat bahawa tindakan mencalonkan tiga nama sebagai calon Menteri Besar Selangor kepada DYMM Sultan Selangor oleh YB Dato’Seri Presiden adalah tepat dan tidak melanggari mana-mana peruntukkan perlembagaan PAS. Apatah lagi tindakan YB Dato’ Seri Presiden ini adalah bagi memenuhi titah DYMM Sultan Selangor yang menitahkan agar lebih dari dua nama dicadangkan sebagai calon Menteri Besar.

AMINUDDIN OMAR
Ketua Kluster Undang-Undang, Ilmuan
Bangi, Selangor Darul Ehsan.

9 September 2014

14 Zulkaedah 1435 H

Share:
Written by Ustaz Nik Nasri Nik Malek
Pegawai Khas (Agama) Pejabat Menteri Besar Terengganu