Seluruh Palestin berarak meraikan kemenangan dinihari ini

JAM 7 pagi Jumaat 21 Mei 2021 waktu Malaysia bersamaan 2 pagi Gaza, tiada lagi dentuman bom, tiada lagi bunyi jet pejuang Zionis menghancurkan rumah di Gaza. Gencatan senjata diumum dari pihak rejim Zionis untuk tidak lagi menyerang Gaza. Pihak pejuang Palestin di Gaza juga bersetuju untuk tidak menyerang negara haram Israel. Slogan Al-Qassam:

ان عدتم عدنا

Jika kamu kembali (menyerang kami), kami akan kembali (menyerang kamu) ditunaikan.

Penduduk Tel Aviv sudah mulai tidur nyenyak, tidak perlu bergegas ke malaji’/ tempat perlindungan seperti dalam tempoh 11 hari sebelum ini.

Penduduk Gaza mulai berkumpul beramai- ramai di jalan utama di Gaza selepas jam 2 pagi di sana, menyambut kemenangan mereka menentang Zionis dalam perang 11 hari ini. Sama ada disepakati atau tidak, saluran TV Al-Jazeera menyiarkan secara langsung mulai jam 2 pagi di sana perhimpunan rakyat Palestin di seluruh negara. Di Gaza, mereka meraikan, sekalipun rumah mereka musnah, keluarga mereka berdarah.

Di Ramallah, julung-julung kali bendera Hamas diangkat dalam perarakan di bulatan utama di sana. Suara bergema dalam bentuk nyanyian menyebut nama Abu Ubaidah (antara pemimpin Al-Qassam di Gaza), ucap tahniah dan terima kasih kepada Al-Qassam, dan jangan ada lagi inqisam (perpecahan politik). Ramallah antara bandar yang dikuasai Fath, tetapi kali ini mereka mengulang-ulang ucapan tahniah kepada Al-Qassam. Seperti kata wartawan Al-Jazeera, sepatutnya perang kali ini menjadi titik tolak perpaduan umat Palestin menghadapi rejim Zionis secara bersama, dan tidak lagi berpecah. Perhimpunan juga berlaku di Mukhayyam Abu Helwa, selatan Lubnan, di Ummul-Fahm dan tempat-tempat lain.

Perhimpunan dan perayaan kali ini agak berbeza dari perang tahun 2014. Ia lebih besar penyertaannya. Komen seorang wartawan Al-Jazeera, mungkin kerana beberapa faktor: Pertama: berhenti perang diisytihar sendiri oleh pihak rejim Zionis, bukan melalui orang tengah seperti Mesir, yang menunjukkan kemenangan buat pejuang dan rakyat Palestin. Kedua: Kemampuan persenjataan pejuang Palestin di Gaza yang jauh dari disangka oleh kawan dan lawan, yang mampu menerjah hingga ke tengah bandar Tel Aviv dan bandar lain, dalam keadaan Gaza yang dikepung dari segenap sudut dan aspek. Ketiga: Isu yang berlaku di Masjid Al-Aqsa dan kawasan Sheikh Jarrah dalam Ramadan, hingga menarik perhatian pejuang Palestin di Gaza, yang menunjukkan sikap sama-sama prihatin.

Negara haram Israel antara negara yang mempunyai persenjataan canggih, dukungan kuat dari Amerika dan lobi Yahudi di merata tempat. Namun, seperti janji Nabi dalam hadis yang menyebut ‘Hum fi Baitil Maqdis wa aknafi BaitilMaqdis’ (mereka berada di Bait al-Maqdis dan sekitar Bait al-Maqdis) membenarkannya.

Al-Qassam dan kumpulan pejuang Palestin lain telah melaksanakan apa yang patut dibuat. Perang 11 hari tidak bermakna isu ini telah tamat. Puluhan ribu penduduk Palestin yang kehilangan rumah di Gaza, ratus juta dollar yang diperlukan untuk membangunkan semula Gaza, penempatan haram Yahudi di Palestin, tanah dan kebun Zaitun yang dirampas, kes di Sheikh Jarrah dan lain-lain akan terus mewarnai lukisan hidup umat Palestin dan umat Islam.

Share:
Written by Ustaz Nik Nasri Nik Malek
Pegawai Khas (Agama) Pejabat Menteri Besar Terengganu