Ratusan kuliah (audio) masih tersadai

Selepas hampir 10 tahun pulang dari Jordan dan berkuliah, berceramah dan bertazkirah, sudah pelbagai kitab yang dikhatam. Malangnya ketika itu tidak terfikir untuk dirakam. Sehingga timbulnya kemudian untuk mengabadikan kuliah-kulkiah itu agar di manfaatkan generasi akan datang melalui medium baru portal, website ini. Sehingga kini koleksi kuliah dalam bentuk audio sudah ratusan yang disimpan. Pelbagai tajuk dari pelbagai kitab:

Tauhid (Asas-asas Aqidah, Perisai Bagi Sekalian Mukallaf)

Fiqh (Kitab Fiqh Mazhab Shafie, Kifayah al-Muhtadi)

Tafsir surah terpilih (menggunakan at-Tafsir al-Munir)

Tafsir Ayat Hukum

Hadis (Bahr al-Mazi, Hadis Qudsi Syed Ahmad Semait)

Sirah (Nur al-Yaqin) dan lain-lain.

Semua ini tersimpan dengan baik dalam laptop dan external harddisk saya sekarang. Sebahagian kecil sudah diupload dalam ruang koleksi ceramah, sebahagian lagi diupload dalam ftp kerana saiznya besar dari 10MB.

Ia mungkin mengambil masa, tapi insyaAllah dengan niat yang ikhlas dan benar kerana Allah, moga ia dipermudahkan.

Saya masih ingat ketika mengaji di pondok Kerandang, Besut dahulu, banyak juga pengajaran kitab yang dirakam-kitab Minhaj al-Abidin, Iqna’ dan lain-lain. Ketika di Jordan, saya merakam kuliah pengajian saya dengan Sheikh Nuh Ali Salman al-Qudha, Mufti Besar Jordan ketika beliau mengajar kitab Syarah Jauharah. Hasil dari rakaman itu saya serahkan satu salinan kepada beliau. Alhamdulillah, melaluinya sebuah kitab Tauhid terhasil-al-Mukhtasar al-Mufid fi syarah Jauharah at-Tauhid.  Saya sedang menterjemahkannya insyaAllah. Begitu juga kitab Qawaid Fiqhiyyah yang saya belajar dengan Sheikh tersebut. Ketika mengunjungi Syria semasa belajar di Jordan, saya membeli ratusan kaset syarah Hikam hasil kuliah Dr Muhammad Said Ramadhan al-Buti.

Kini selepas saya membeli, merakam dan mengaji dari guru-guru yang ramai, saya mengambil kesempatan dari teknologi moden ini untuk berkongsikan pula hasil kuliah saya yang tak seberapa ini untuk dimanfaatkan oleh mereka yang dahaga dan cintakan ilmu Islam.

Sekali lagi moga proses mengupload dan memasukkan kesemua kuliah ini di portal ini dimudahkan Allah.

Share: