Menghadapi fitnah medsos akhir zaman

ADA empat perkataan di atas. Pertama: Menghadapi. Mahu tidak mahu ia tetap berlaku. Tidak boleh berundur. Nabi berpesan:

الْمُؤْمِنُ الَّذِي يُخَالِطُ النَّاسَ ، وَيَصْبِرُ عَلَى أَذَاهُمْ ، أَعْظَمُ أَجْرًا مِنَ الْمُؤْمِنِ الَّذِي لَا يُخَالِطُ النَّاسَ ، وَلَا يَصْبِرُ عَلَى أَذَاهُمْ

Maksudnya: Mukmin yang masuk dalam masyarakat, sabar menanggung kesusahannya, lebih besar pahala daripada mukmin yang tidak bergaul dengan manusia, dan tidak sabar menanggung kejahatan mereka.

Kedua: Fitnah. Dalam bahasa Arab, ia merujuk kepada ujian, cubaan, baik atau buruk. Dalam bahasa Melayu, ia lebih tertumpu kepada makna pembohongan yang dibuat dalam bentuk kata-kata, tulisan terhadap orang lain dengan pelbagai maksud dan tujuan. Di antaranya untuk melunturkan kepercayaan terhadap seseorang atau kumpulan dan ‘caracter assasination’/pembunuhan watak supaya orang atau kumpulan itu jatuh dan sebagainya.

Di zaman Nabi, Aisyah rha dituduh ada skandal dengan Safwan bin Muattal, seorang sahabat Nabi SAW yang membawa balik Aisyah dari tempat ia tertinggal dari Nabi selepas Aisyah agak lama di tempat qada’ hajat. Antara yang awal melihat Aisyah dibawa balik dengan Aisyah menunggang kuda dan Safwan menariknya ialah Abdullah bin Ubai bin Salul, ketua munafik. Beliau berkata: “Isteri Nabi kamu bermalam dengan seorang lelaki”. Tuduhan palsu atau fitnah itu segera beredar dalam kalangan umat Islam. Mereka yang kuat imannya tidak percaya dengan fitnah itu. Mereka yang nipis imannya teragak-agak dengan beritu palsu itu. Allah menurunkan ayat Al-Quran membebaskan Aisyah daripada tuduhan jahat itu.

Ketika Nabi SAW berkempen kepada para sahabat untuk membantu perjuangan, ada sahabat yang menyumbang banyak. Orang munafik berkata (kalau bahasa kita sekarang): “Nak tunjuk kat orang lah tu”. Datang sahabat yang miskin memberi sedikit bantuan kerana itu sahaja yang ada. Orang munafik berkata (kalau dengan bahasa sekarang): “Sikit sangat. Baik tak payah”. Sedangkan para munafik itu langsung tidak membantu. Yang dia tahu hanya komen.

Pendek kata, kalangan munafik dan yang ada sifat munafiklah yang paling banyak memporak-perandakan sistem masyarakat dan menabur pelbagai fitnah dalam kalangan masyarakat, dulu dan kini.

Ketiga: Medsos iaitu media sosial. Di zaman canggih teknologi maklumat ini, media sosial seperti FB, Instagram, WhatsApp, Telegram, TikTok, Twitter antara aplikasi yang banyak digunakan. Ia seperti pisau. Ada di tangan pencuri, ia digunakan untuk membuat jahat. Ada di tangan surirumah, ia digunakan untuk menyiang ikan atau mengupas bawang. Medsos tidak salah. Ia tiada hukum. Yang betul atau salah, ialah orang yang menggunakan Medsos itu. Dan hukum halal, haram berkait dengan tindakan yang dibuat oleh seorang mukallaf. Artikel, tulisan, komen yang baik sekelip mata beredar menjadi pahala kepada yang menulis. Sebaliknya pemfitnah yang mereka-reka, menokok- tambah, memanipulasi kenyataan dan lain-lain, lalu menyebarkannya, dengan segera juga mendapat dosa. Tinggal lagi ia tidak dilihat dengan mata, dan Allah tidak pula segera membalasnya.

Keempat: Akhir zaman. Kita memang berada di akhir zaman. Menjauhi 1,500 tahun daripada zaman Nabi. Semua tanda kecil akhir zaman berlaku. Hadis-hadis akhir zaman yang memberi panduan kepada mukmin wajar diberi perhatian. Akhir zaman seperti potongan malam yang gelap. Benar dan salah sudah terbalik. Yang baik dianggap jahat dan yang jahat dianggap baik dan sebagainya.

Justeru, dalam menghadapi fitnah medsos akhir zaman ini, saya mengingatkan kepada para pemfitnah: Kamu jangan ingat tulisan, lukisan, grafik, komen, apa yang kamu forwardkan, semua itu dapat dipadam dengan mudah, dibiar tanpa didedah, dimanipulasi dengan sewenang-wenangnya, diputar-belit dengan sesuka hatinya. Kalau kamu itu Muslim, takutlah dengan azab Allah di akhirat, di kubur atau di dunia. Kalau kamu mahu menunaikan tanggungjawab suruh yang baik dan larang yang mungkar, ia ada adabnya. Pelajari adab-adab itu supaya teguran yang dibuat berpahala dan bukan menjadi fitnah dan dosa.

Kepada orang yang difitnah, jangan biarkan diri anda terdedah dengan sesuatu yang tidak baik hingga orang lain mudah memfitnah anda. ‘Fitnah itu tidur, jangan kejutkan ia’. Kalau anda benar, dan memang si pemfitnah itu mahu memfitnah anda, yakinlah dengan hadis Nabi SAW yang menyebut bahawa doa orang yang dizalimi diperkenankan Allah, dan anda perlu bersabar kerana anda sedang mengumpulkan pahala daripada si pemfitnah itu. Nabi SAW adalah manusia paling baik dan sempurna, namun Baginda SAW tidak juga terlepas daripada fitnah dari kaum munafik. Justeru, bersabarlah.

Share:
Written by Ustaz Nik Nasri Nik Malek
Pegawai Khas (Agama) Pejabat Menteri Besar Terengganu