Mak Wan FatimahIsnin 6 Apr 2015, jam 5 ptg seperti biasa saya mengajar muslimat kitab Minhaj al-Abidin dan terjemahan al-Mukhtasar al-Mufid di sebuah rumah muslimat di Cukai.

Petang itu Mak Wan (Wan Fatimah) tak datang. Biasanya dia duduk di bahagian bertentangan dengan saya. Beliau sekelas dengan ibu saya ketika di Sekolah Al-Falah, Kemaman. Datang belajar dengan mengayuh basikal. Di mana ada ustaz/ah mengajar, di situ dia ada. Saya tak pasti banyak mana program ilmu yang diikuti, tetapi dengan keadaan usianya begitu, masih bersedia mengayuh basikal menambah ilmu.
Seorang muslimat lain beritahu, dia kemalangan pagi itu dengan sebuah pacuan 4 roda. Basikal motosikal yang baru diperolehi bertembung dengan 4×4. Tayar belakang 4×4 di atas kakinya. Saya dimaklumkan pendarahan berlaku dalam kepala, kaki patah.

Usai mengajar jam 6, saya bergegas ke ICU Hospital Kemaman. Tiada di situ. Naik tingkat 3. Tiada di situ. Pergi ke unit kecemasan, diberitahu dia dibawa ke Hospital Kuantan, diiringi keluarganya. Pagi Selasa diberitahu Mak Wan sudah meninggal jam 3 pagi itu.

Jam 11 solat jenazah di Masjid Sultan Ahmad. Jasadnya disemadikan di perkuburan Kg Jabur Kubur.

Beliau pernah diragut ketika dalam perjalanan belajar ke tempat saya mengajar. Bila sampai dirumah, kelihatan keadaannya agak tidak terurus. Saya tanya: ‘Bakpe jadi gini?’ Da beritahu ada budak muda yang meragut beg tangannya tadi. Tali beg putus. Dia jatuh dari basikal. Tangannya luka. Dalam beg ada kitab. Duit beribu-ribu? Tak ada pun. Celaka betul si peragut itu. namun beliau teruskan perjalanan datang belajar.

Mak Wan sudah tiada. Tiada lagi seorang perempuan tua duduk ‘cokoh’ depan saya ketika mengajar kitab Minhaj al-Abidin.
Saya masih ternampak-nampak beliau mengayuh basikal dengan perlahan. Ibu saya di sebelah saya melambai tangan kepadanya ketika kami melepasi beliau dengan kereta yang saya bawa. Kini, lambaian itu sudah tiada.

Berihatlah Mak Wan di alam barzakh. TIada lagi keletihan. Tiada lagi kepenatan.

Share:
Written by Ustaz Nik Nasri Nik Malek
Pegawai Khas (Agama) Pejabat Menteri Besar Terengganu