‘Israel ada hak pertahankan diri’: Zalimnya ayat ini

May 26, 2021 

PERDANA Menteri rejim Zionis, Benyamin Netanyahu gunakan ayat di atas ketika sidang media usai Perang 11 hari di Gaza. Ayat yang sama digunakan oleh Menteri Pertahanannya, Presiden Amerika dan semua negara yang bersetuju dengan rejim Zionis.

Bahkan ayat ‘pertahankan diri’ inilah yang menjadi ‘azimat’ dan ‘perencah’ rejim Zionis untuk menghancurkan Gaza, membunuh kanak-kanak, wanita dan manusia tak berdosa, menembak penunjuk perasaan Palestin, merampas tanah orang Palestin dan segala macam kerosakan di bumi Isra’ Nabi SAW semenjak lama.

Ribuan yang dibunuh adalah orang Palestin, tetapi mereka meratib: “Israel berhak pertahankan diri”. Mereka merampas rumah, tanah penduduk Palestin dan meroyan sambil berkata: ‘Tuhan berikan tanah ini untuk kami, bukan kamu’.

Senjata rejim Zionis canggih, dibekalkan dan dibantu oleh AS. Senjata pejuang Palestin tidak setanding dengan senjata rejim Zionis. Beberapa buah bangunan yang mengenai roket pejuang Palestin di negara haram Israel, sedangkan tanah itu juga milik orang Palestin juga, kemudian rejim Zionis mengebom bangunan tinggi penuh penduduk, dan mereka berkata: ‘Israel berhak pertahankan diri’.

Ayat yang diulang-ulang, sekalipun tidak benar, ia akan diterima juga oleh sebahagian orang. Ayat ‘Israel berhak pertahankan diri’, bukan setakat tidak benar, bahkan pembohongan ketara dan melampaui batas kemanusiaan. Malangnya ia terus diulang-ulang dan diucap oleh Presiden AS dan sekutu rejim Zionis lain untuk menghalalkan tindakan kejam, zalim, tidak bertamadun dan melampaui kemanusiaan terhadap rakyat Palestin.

Anda rampas rumah, tanah, ladang Zaitun, halau tuannya, bunuh orang yang melawan kamu, dan kamu pula senang-senang tinggal di situ. Lalu tuan rumah mahu mengambilnya semula. Kamu kata kepadanya: ‘Kamu pengganas, dan kami berhak pertahankan diri’. Logik dan mantik apakah yang diguna oleh jenis manusia yang zalim ini.

Alhamdulillah, Allah jadikan orang Palestin sebagai manusia yang cekal, ada harga diri, maruah yang tinggi, tidak mudah menyerah kepada musuh Allah dan musuh mereka ini. Prinsip hidup dipegang. Perjuangan dijulang, dan musuh tetap ditentang.

Ayat sebenar yang mesti dipegang oleh umat Islam dan manusia yang ada akal ialah: ‘rejim Zionis berhak dilawan, dan kamilah (orang Palestin) yang mempertahankan dan mahu mengambil balik segala hak kami yang dirampas oleh musuh’.

Share:
Written by Ustaz Nik Nasri Nik Malek
Pegawai Khas (Agama) Pejabat Menteri Besar Terengganu