Sempena Hari Guru: Datukku Imam, Bapaku Guru, Diriku Ustaz

Wan HarunNik Malek Muda‘Selamat Hari Guru’. Itulah ucapan ringkas buat semua yang telah mendidikku sedari kecil hingga kini. Guruku yang paling besar bukanlah gurubesar, tetapi tentunya Nabi Muhammad SAW. Dialah murabbi, dialah muaddib, dialah qudwah.

Selain Baginda SAW, ramai yang perlu diucap terimakasih juga. Ibu dan bapa adalah guru di rumah. Alhamdulillah, diri ini membesar dalam pelukan mereka dan jagaan mereka. Melalui mereka berdua, aku kenal siapa itu Allah, siapa itu Nabi, apa itu Islam, apa itu adab dan siapa aku.

Datuk seorang imam masjid di Cukai, Kemaman beberapa puluh tahun lepas. Bukan sahaja imam, dia juga sebagai orang yang mengakadnikahkan orang lain, mengimamkan solat jenazah, membacakan talqin, mengumandangkan azan dan iqamat ke telinga bayi baru lahir, mengajar dan menyampaikan ilmu Islam kepada penduduk sekitar Kemaman. Beliau sangat cintakan ilmu agama. Semenjak di sekolah rendah, saya diajar untuk mendengar kuliah Maghribnya di rumahnya di tepi rumah ayah, bersama-sama kaum keluarga yang lain. Selesai SPM, saya mengambil kesempatan belajar dengannya kitab fiqh kifayatulMuhtadi, kitab MatlailBadrain dan lain-lain. Barangkali ‘naluri’ cintakan ilmu Islam cucu sulungnya ini mengalir darinya.

Almarhum bapa pula seorang yang pencen guru. Namun, hingga umurnya mencecah 80 tahun ketika hidupnya, bekas murid dan kawan-kawannya masih memanggil ‘cikgu’. Itulah kelebihan seorang guru.

Ketika saya kecil, bapa kembali dari sekolah pada waktu petang. Mesin taip lama yang sangat kuat bunyinya itu sentiasa membingitkan telinga. Bapa menaip sesuatu. Saya tidak tahu apa yang ditaip tetapi tentunya ‘kerja sekolah’. Dari sekolah di kawasan hulu sehingga di bandar, beliau bertugas di merata tempat. Gaji guru dahulu tidaklah besar sangat tetapi Alhamdulillah cukup untuk membesarkan anak-anaknya. Paling ketara guru dahulu punya sifat dedikasi sangat tinggi.

Saya ditaqdirkan menjadi seorang ustaz, walaupun asalnya belajar dalam aliran sains tulen di peringkat sekolah menengah, matrikulasi dan tahun pertama UKM. Pernah menjadi pensyarah di sebuah IPT tetapi ‘politiking’ golongan Melayu sekular hanya tahu memangsakan orang lain. Masih bersyarah walaupun sudah tidak bergelar pensyarah. Alhamdulillah, hingga kini ilmu masih dan tetap disampaikan.

Sekali lagi ‘Selamat Hari Guru’ kepada semua pendidik yang dedikasi terus mendidik generasi. Paling tinggi mendidik mengenal pencipta alam ini.

Share:
Written by Ustaz Nik Nasri Nik Malek
Pegawai Khas (Agama) Pejabat Menteri Besar Terengganu