Dalam Jemaah Islam, Belajarlah Untuk Taat Dan Patuh

allahSaya sertakan satu artikel tulisan Hj Zainudin Abu Bakar mengenai taat dan patuh dalam gerakan Islam. Ia perkara penting dalam sebuah gerkana dan jemaah Islam. Silakan membacanya:

Sekarang ini ada segelintir ahli-ahli dan  pemimpin PAS peringkat cawangan, kawasan dan negeri yang dilihat seolah-olah berlumba-lumba mengisytiharkan mereka keluar PAS dan ada yang keterlaluan membubarkan PAS di peringkat masing- masing bagaikan PAS ini milik mutlak mereka. Mereka menganggap tanpa mereka, Pas akan berkubur.

Mereka ini tidak pernah diberikan kuasa oleh perlembagaan PAS untuk membubarkan mana-mana entiti PAS.
Anehnya, mereka tanpa segan silu dan dengan bangganya mengisytiharkan pembubaran entiti PAS diperingkat mereka.

Apakah tujuan mereka berbuat demikian? Adakah mereka hendak menyakiti kepimpinan dan ahli-ahli PAS yang setia? Adakah kerana mereka tidak faham atau mereka tidak sabar? Untuk menjawab persoalan seperti ini adalah lebih baik kita merujuk kepada Al- Quran. Di sana terdapat  banyak panduan untuk dijadikan pedoman dan sempadan.

Mari kita lihat sebahagian kisah-kisah mengenai umat terdahulu dan kisah rasul- rasul dan nabi-nabi yang Allah khabarkan kepada kita di dalam Al-Quran. Sebahagian dari kisah-kisah ini adalah pelik dan agak sukar difahami oleh sesetengah orang kecuali bagi sesiapa yang sentiasa membaca, mempelajari, mendalami dan mengkaji ayat-ayat Allah serta dipandu oleh hidayah-Nya akan terkesan dengan kisah-kisah ini.

1) KISAH BANI ISRAEL DENGAN  THALUT

Kisah ini dirakamkan oleh Allah di dalam surah Al- Baqarah ketika bani Israel memohon kepada nabi mereka Syamwil A.S agar Allah melantik seorang raja  untuk memimpin mereka bagi memerangi kaum jabbarin yang menindas mereka yang dipimpin oleh Jalut. Bani israel mula dilanda kekacauan dan jauh dari agama setelah kewafatan nabi Harun, nabi Musa dan nabi Yusya’ bin Nun.
Setelah tempoh yang agak lama bani Israel berada dalam keadaan tiada pemimpin, akhirnya setelah didoakan oleh nabi mereka, Allah  melantik Thalut menjadi raja mereka sebagaimana dirakamkan dalam ayat 247 Surah Al-Baqarah.

Ketika merentasi padang pasir menuju ke Palestin, bani Israel telah terputus bekalan air lalu mereka memohon Thalut agar berdoa kepada Allah. Allah memaqbulkan doa Thalut dan  menemukan mereka dengan sebatang sungai di antara Jordan dan Palestin.

“Maka tatkala Thalut keluar membawa tenteranya, ia berkata: “Sesungguhnya Allah akan menguji kamu dengan sebatang sungai. Maka siapa di antara kamu meminum airnya, bukanlah ia pengikutku. Dan barangsiapa tidak meminumnya, kecuali menceduk seceduk tangan, maka ia adalah pengikutku”.(Al-Baqarah: 249)

“Kemudian mereka meminumnya kecuali beberapa orang di antara mereka. Maka tatkala Thalut dan orang-orang yang beriman bersamanya telah menyeberangi sungai itu, orang-orang yang telah minum berkata: “Tak ada kesanggupan kami pada hari ini untuk melawan Jalut dan tenteranya”. Orang-orang yang meyakini bahawa mereka akan menemui Allah, berkata: “Berapa banyak terjadi golongan yang sedikit dapat mengalahkan golongan yang banyak dengan izin Allah. Dan Allah beserta orang-orang yang sabar”.

Dalam tafsir Ibnu Kathir, As-Suddi menyebut bahawa jumlah tentera Thalut adalah seramai 80,000 orang  manakala Ibnu Jarir meriwayatkan daripada  Al-Barra’ bin ‘azib bahawa yang meneruskan perjalanan untuk berjihad setelah menyeberangi sungai hanyalah 313 orang, iaitu seramai ahli Badar.

Sebahagian besar mereka melanggar arahan Thalut dengan minum sepuas-puasnya dan Ibnu Juraij meriwayatkan dari Ibnu Abbas bahawa ” barangsiapa yang minum dengan cedokan tangan maka ia akan merasa kenyang dan barangsiapa yang minum langsung dari sungai tersebut tidak akan kenyang selama-lamanya, maka 76,000 orang meminumnya dan yang kekal bersamanya seramai 4,000 orang.”

Thalut telah memaklumkan bahawa mereka akan diuji dengan sebatang sungai sebagaimana ayat di atas. Mereka tidak patuh kepada arahan Thalut. Mereka melihatnya sebagai arahan yang tidak masuk akal.

Mereka tidak berpuashati  kenapakah Thalut mengeluarkan arahan sedemikian. Bukankah air adalah keperluan asas dalam peperangan?! Sepatutnya mereka mengangkut air sebanyak-banyaknya dan bukan hanya meminum secedok tangan sahaja!

Dalam kisah di atas Allah memberi pengajaran kepada kita bahawa tidak semestinya sebab-sebab sesuatu arahan atau tindakan pemimpin itu mesti diketahui atau difahami  oleh ahli-ahli sebelum ketaatan, wala’ dan thiqah dapat diberikan kepada kepimpinan jamaah yang bertaqwa.

2) KISAH NABI MUSA DAN KHIDHIR

Allah mengabadikan kisah mereka ini di dalam surah Al-Kahfi. Kisah ini bermula sepertimana diriwayatkan oleh Ubai bin Kaab bahawa Rasulullah SAW  bersabda yang maksudnya:

“Bahawasanya nabi Musa sedang menyampaikan ilmu di hadapan bani Israel lalu mereka bertanya “Siapakah manusia yang paling alim?” Dia menjawab “Aku!” lalu Allah menegurnya kerana ia tidak mengatakan “Allahu A’lam”.

Kemudian Allah mewahyukan kepada nabi Musa, “Aku mempunyai hamba yang lebih alim dari kamu dan tempatnya di pertemuan dua buah laut.” Musa bertanya, “Ya tuhanku! Bagaimanakah aku dapat bertemu dengannya?” Allah menjawab “Pergilah kamu berjalan (belayar) dan bawalah bekalan seekor ikan masin dan masukkan ke dalam bakul. Di mana ikan itu hilang maka di situlah tempatnya!” (Tafsir Sonhadji)

“Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika nabi Musa berkata kepada temannya: “Aku tidak akan berhenti berjalan sehingga aku sampai di tempat pertemuan dua laut itu atau aku berjalan terus bertahun-tahun”.(Al-Kahfi:60)

Nabi Musa bertekad untuk mencari Khidhir dan mengatakan bahawa dia sanggup berjalan bertahun-tahun sehingga menemui Khidhir.  Nabi Musa menunjukkan kesungguhannya terutamanya setelah ditegur oleh Allah.

“Maka tatkala mereka sampai ke pertemuan dua buah laut itu, mereka lalai akan ikannya, lalu ikan itu melompat mengambil jalannya ke laut itu.”(Ayat 61 Surah Al-Kahfi: 61)

“Lalu mereka bertemu dengan seorang hamba di antara hamba-hamba Kami, yang telah Kami berikan kepadanya rahmat dari sisi Kami, dan yang telah Kami ajarkan kepadanya ilmu dari sisi Kami.” (Al-Kahfi:65)

Sebaik sahaja nabi Musa bertemu dengan Khidhir, ia berkata;

“Musa berkata kepada Khidhir: “Bolehkah aku mengikutimu supaya kamu mengajarkan kepadaku ilmu yang benar di antara ilmu-ilmu yang telah diajarkan kepadamu?” (Al-Kahfi:66)

Dia menjawab: “Sesungguhnya kamu sekali-kali tidak akan sanggup sabar bersama aku.”(Al-Kahfi:67)

Khidhir terus menyebut bahawa nabi Musa tidak mungkin boleh bersabar bersamanya. Apakah sebabnya Khidhir berkata sedemikian?

“Dan bagaimana kamu dapat sabar atas sesuatu, yang kamu belum mempunyai pengetahuan yang cukup tentang hal itu?” (Al-Kahfi: 68)

Khidhir menegaskan bahawa nabi Musa tidak mungkin boleh bersabar bersamanya kerana nabi Musa tidak mempunyai ilmu yang mendalam tentang hal yang ia akan lalui nanti.

Setelah mereka berjalan bersama, nabi Musa telah menegur tindakan Khidhir yang pada syariat nabi Musa ianya adalah salah. Khidhir telah menebuk kapal yang dinaiki bersama, membunuh seorang budak tanpa sebarang kesalahan yang dilakukan dan mendirikan dinding rumah dua orang anak yatim tanpa diminta sebarang upah.

Khidhir telah memperingatkan Nabi Musa setiap kali Nabi Musa menegur perbuatannya.

Dia (Khidhir) berkata: “Bukankah aku telah berkata: “Sesungguhnya kamu sekali-kali tidak akan sabar bersama dengan aku”.

(Al-Kahfi: 72)

Khidhir berkata: “Bukankah sudah kukatakan kepadamu, bahwa sesungguhnya kamu tidak akan dapat sabar bersamaku?” (Al-Kahfi: 75)

Maka fahamlah kita, apabila kita tidak mempunyai ilmu dalam hal-hal tertentu, kita tidak boleh menerima dan tidak boleh bersabar untuk menghadapinya dan itulah yang sedang berlaku dalam PAS sekarang.

Ada Ahli dan bekas pemimpin tidak memahami tindakan yang dibuat oleh Presiden dan Majlis Syura Ulama, mereka tidak akan boleh bersabar sebagaimana yang disebut oleh Khidhir kepada Nabi Musa.

Begitu juga dalam kisah Thalut yang memberikan arahan kepada tenteranya yang pada pandangan sebahagian besar mereka arahan tersebut (hanya meminum secedok tangan sahaja) adalah tidak masuk akal.

Kisah ini telah mengajar kita agar taat, wala’ dan thiqah kepada jamaah dan pemimpin jamaah  yang telah diamanahkan kepada mereka menjadi Presiden dan MSU walaupun kita tidak memahaminya, apalagi jika
pemimpin kita tidak pernah memberikan arahan yang tidak masuk akal.

Akhir-akhir ini telah terbukti benarnya keputusan dan arahan Presiden serta MSU, antaranya krisis Menteri Besar Selangor dan memutuskan hubungan dengan DAP yang terlebih dahulu memutuskan hubungan dengan Presiden kita, Dato’ Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Haji Awang.

Syeikh Said Hawwa dalam kitabnya “Durus fi ‘al-amali al-Islami” dalam bab “Bilakah Akan Wujudnya Hizbullah Yang Sempurna Dan Lengkap?” telah menyebut ; “Maka tugas terbesar untuk mereka yang mencintai islah ialah melahirkan tokoh-tokoh (rijal) yang memiliki sifat-sifat khusus :

1. Ciri-ciri Kepimpinan
2. Ciri-ciri Tokoh Syura
3. Ciri-ciri Jundullah (‘amilin/ahli)

Said Hawwa menjelaskan  ciri-ciri tersebut sebagaimana berikut:

1. Ciri-ciri khusus Kepimpinan ialah mempusakai sepenuhnya warisan Rasulullah SAW di dalam segala sifat; Amanah, Benar, Tabligh, Fathanah (kebijaksanaan) dan juga di dalam usaha mempelajari Kitab Allah, Sunnah Ar-Rasul dan Tarbiyah Islamiyah.

2. Ciri-ciri khusus Tokoh Syura; Pengetahuan menyeluruh terhadap Kitab Allah dan As-Sunnah disertai dengan kesedaran, pengalaman, kepastian dan pengalaman semasa serta  manusianya…

3. Ciri-ciri Jundullah ( ‘amilin, ahli); Kefahaman, Taqwa dan taat; oleh yang demikian maka setiap Rasul telah berkata kepada kaumnya :

“maka bertakwalah kepada Allah dan taatlah kepadaku.”(As-Syu’ara’: 108)

Kesimpulannya, kita sebagai ahli dan pemimpin jamaah Islam mestilah memahami Islam dari sumber yang sahih iaitu dari Al-Quran dan As-Sunnah, bertaqwa dan mentaati pemimpin yang bertaqwa.

Kita juga hendaklah memahami sunnah perjuangan Islam dan fitnah-fitnah yang telah dilalui oleh para Rasul, para Nabi dan pejuang-pejuang Islam sebelum kita, agar kita faham dan boleh bersabar serta istiqamah dengan perjuangan Islam. Oleh sebab itulah As-syahid Hassan Al-Banna meletakkan rukun “Faham” sebagai rukun yang pertama dalam Rukun Baiah yang sepuluh.

“BERISTIQAMAH HINGGA KEMENANGAN”

Zainuddin Abu Bakar
AJK Lajnah Tarbiyah Dan Perkaderan PAS Pusat
15 Zulqaedah 1436, 30 Ogos 2015

Share:
Written by Ustaz Nik Nasri Nik Malek
Pegawai Khas (Agama) Pejabat Menteri Besar Terengganu