Uncategorized

Daging Korban Untuk Umat Islam Mangsa Korban

korban di syriaHari ini 19 Zulkaedah 1433H (5 Okt 2012). Masih sempat untuk beri pandangan mengenai ibadat korban yang disunatkan.

Saban tahun masjid, surau, karyah yang aktif dapat menyembelih berpuluh ekor binatang ternak. Kekadang kerana terlampau banyak daging, sedangkan mereka yang benar-benar memerlukan pula tidak sebanyak daging, lalu peti sejuk di rumah dipenuhi dengan daging korban. Setiap hari hanya memasak daging untuk tempoh lebih seminggu.

Apa kata kalau korban itu dibuat dalam bentuk yang lebih global? Walaupun fuqaha ada membincangkan tentang sembelihan korban dan agihan daging, masih tidak terkeluar dari perintah syarak dan beberapa pandangan ulama tentang kaedah agihan daging yang boleh memberi manfaat terbesar kepada ummah.

(Mazhab Hanafi-makruh pindahkan daging korban melainkan kepada kaum kerabat atau mereka yang lebih berhajat. Maliki-Tak harus pindah ke tempat perjalanan Qasar dan lebih melainkan penduduk di situ sangat berhajat. Hanbali seperti Maliki. Mazhab Shafie-tak harus. Rujukan: Al-Fiqh al-Islami, j 3 ms633, 634)

Ketika saya belajar di Jordan, ketika itu Iraq diserang Amerika dalam Perang Teluk. Rakyat Iraq menderita. Di tahun itu, aqiqah anak sulung saya dibuat di Iraq. Untuk anak lain, ada yang dibuat aqiqahnya di Kemboja. Beberapa tahun lepas aqiqah di selatan Mindanao dan korban di Sudan di bawah Yayasan Amal Malaysia.

Sekarang nampaknya umat Islam Syria dan Rohingya menjadi mangsa penguasa zalim. Umat Islam Palestin dan beberapa tempat lain yang sudah lama dan ‘biasa’ dengan penindasan juga ada.

Ada beberapa NGO yang cukup aktif dengan aktiviti korban seperti ini. Saya bukanlah wakil mereka, tetapi saya rasa rakyat Malaysia yang bertuah ini, yang sentiasa boleh mengecap daging dalam pelbagai hidangan sempena pelbagai majlis keraian, patut menyokong kuat dengan membuat korban/aqiqah melalui badan-badan tersebut. Sebagai contoh Yayasan Amal Malaysia, EZ Qurban, Muslim Aid Malaysia, Syria Care dan beberapa NGO lain.

Yang penting biarlah daging korban itu sampai dahulu kepada mereka yang benar-benar berhajat, mereka yang menjadi mangsa ‘korban’ perang, gempabumi, kebuluran, banjir, bukan hanya menjadi ibadat ritual sempena Hari Raya Haji.

Share: