DSTG Hj Hadi lihat jalur gemilangMalaysia akan menyambut hari kemerdekaan pada hari Isnin hadapan. Ulama punya peranan tersendiri dalam sejarah negara bagi memastikan tanahair ini merdeka dengan ertikata sebenar. Saya kongsikan satu artikel tulisan Ustaz Najhan, SU Dewan Ulama PAS Selangor tentang perkara tersebut:

Ulamak dan perjuangan kemerdekaan adalah ibarat lesung dengan batunya. Terutamanya dalam lipatan lakaran perjuangan negara umat Islam di serata dunia dan tidak terkecuali di tanah air tercinta Malaysia. Dalam sejarah perjuangan kemerdekaan negara ini, pastinya tertulis dalam catatan sejarahwan yang menunjukkan bahawa para ulamak adalah antara ” Leading Role ” dalam usaha memperjuangkan kemerdekaan negara ini dan membebaskan daripada cengkaman penjajah.

Pemahaman daripada dalil Al-Quran dan Hadis Nabi s.a.w. serta kisah Sirahnya mencetuskan idea perjuangan dan kesedaran intelektual dan praktikal bahawa Islam bukan sekadar amalan ritual dan akiviti kerohanian semata-mata bahkan Islam perlu ditegakkan dan menjadi asas kenegaraan dan kemasyarakatan.
Beberapa dalil Al Quran seperti dibawah adalah contoh kepada sebahagian petunjuk Ilahi bahawa pemerintahan Islam perlu didirikan oleh setiap orang Islam yang beriman bahkan perlu diperjuangkan.

Firman Allah s.w.t. dalam Surah al Hajj ayat 41:

” mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan…”

Dalam surah al Nahl ayat 90, firmanNya lagi:

 Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat kebaikan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat; dan” melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman. Ia mengajar kamu (dengan suruhan dan laranganNya ini), supaya kamu mengambil peringatan mematuhiNya

FirmanNya dalam surah Saba’ ayat 15:

“..negeri kamu ini adalah) negeri yang baik (aman dan makmur), dan (Tuhan kamu adalah) Tuhan yang Maha Pengampun..”

Begitu juga apabila dlihat dan dikaji melalui sirah Baginda s.a.w. yang dicatatkan bahawa penghijrahan Baginda s.a.w. adalah bertujuan bagi mendirikan negara dan kerajaan Islam yang diasaskan Baginda s.a.w.  sendiri serentak membebaskan masyarakat dan Negeri  Madinah daripada belenggu penjajahan pemikiran, perkauman atau assobiyyah sempit, penindasan sesama manusia dan juga kekufuran lalu digantikan dengan cahaya Islam dan syariatnya.

Inilah sumbangan para ulamak kepada kita dengan mencetuskan kesedaran ilmu dan pemahaman mendalam di dalam diri mereka dan juga masyarakat bahawa Islam yang bersifat membawa ” Rahmat ke Seluruh Alam ” untuk membebaskan membebaskan manusia daripada perhambaan sesama manusia, duniawi, kebendaan, kesesatan dan kekufuran kepada hanya patuh dan tunduk kepada Yang Maha Esa.

Bukankah ucapan yang penuh bermakna diungkapkan oleh Pahlawan Tentera Islam iaitu Rubi’e bin Amir ketika berhadapan  kepada Rustam Raja Parsi,

.Allah telah mengutuskan kami kepada kamu untuk mengeluarkan manusia daripada penyembahan sesama manusia kepada penyembahan hanya untuk Allah s.w.t. dan daripada kejahatan agama ciptaan manusia kepada keadilan Islam, daripada kesempitan dunia kepada hari akhirat dan keluasannya

Ungkapan ini menjadi dasar kepada konsep perjuangan kemerdekaan yang dipelopori oleh para ulamak. Pengetahuan mereka tentang konsep kemerdekaan yang sebenar menurut kacamata Islam mendahului zaman dan mendepani tahap pemikiran masyarakat yang lain pada zaman penjajahan.

Para ulamak menyedarkan masyarakat dalam negara ini bahawasanya Islam sahajalah yang mampu memberikan kemerdekaan sebenar juga pembebasan hakiki iaitu apabila Islam dan peraturannya kembali mentadbir umat manusia dan mengatur urusan mereka sepertimana yang telah tertegak semenjak Kerajaan Islam Madinah al Maunawwarah pimpinan Nabi Muhammad s.a.w. sehinggalah berakhir setelah kejatuhan Empayar Islam Uthmaniyyah.

Pemahaman mendalam dalam pentahuan Ilmu Islam adalah juga faktor terpenting yang mendorong mereka berkecimpung dalam arena dan medan perjuangan kemerdekaan dan pembebasan tanah air. Tatkala pada masa itu, masyarakat dan umat Islam masih jauh ketinggalan ilmu dan keintelektualan mereka dalam aspek  kemerdekaan dan perjuangan menentang penjajah, para alim ulamak telah terdedah dengan ilmu Islam dan idea reformis dan pembaharuan serta tuntutan kemerdekaan sebuah negara Islam dan mengembalikan keizzahan Islam yang dikuburkan oleh konspirasi penjajah dan musuh Islam seperti kejatuhan Kerajaan Islam Sepanyol, Kerajaan Empayar Islam Uthmaniyyah dan lain-lain.

Nama-nama tokoh Ulamak di tanah air seperti Tuan Guru Hj Hassan Munas atau Tok Janggut, Hj Abdul Rahman Limbong, Mat Kilau, Dr Burhanuddin al Helmy, Ustaz Abu Bakar Al Bakir, Dr Zulkifli Mohammad dan lain-lain adalah di antara mereka yang tidak asing lagi dalam sejarah yang berperanan begitu penting di lapangan dakwah dan memulakan gelombang tiupan kesedaran menentang penjajah dan menuntut kemerdekaan.

Tidak terkecuali para ulamak seperti Syed Syeikh al Hadi, Sheikh Tahir Jalaluddin, Abas Mohammad Taha dan lain-lain khususnya yang telah mendapat pendidikan dari Timur Tengah seperti Mekah dan di Universiti Al Azhar Mesir telah didedahkan dengan pemikiran dan pendidikan Sheikh Muhammad Abduh dan Sheikh Jamaluddin Al Afghani yang mencetuskan idea kebangkitan Islam. Kepulangan para ulamak dari Timur Tengah inilah menjadikan tanah air mereka yang masih dijajah dan dijarah sebagai medan untuk mereka memperkembangkan idea kebangkitan Umat Islam melawan penjajah dan menuntut kemerdekaan.

Perjuangan mereka ini difahami daripada firman Allah s.w.t. dalam surah at Taubah ayat122,

 Dan tidaklah (betul dan elok) orang-orang yang beriman keluar semuanya (pergi berperang); oleh itu, hendaklah keluar sebahagian sahaja dari tiap-tiap puak di antara mereka, supaya orang-orang (yang tinggal) itu mempelajari secara mendalam ilmu yang dituntut di dalam ugama, dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya (yang keluar berjuang) apabila orang-orang itu kembali kepada mereka; mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (dari melakukan larangan Allah)

Antara inisiatif yang diambil oleh para ulamak pada ketika itu dalam membangkitkan kesedaran rakyat tanah air untuk menentang penjajah dengan mengaktifkan kegiatan penulisan dan penterjemahan. Contohnya Akhbar Al Imam pada tahun 1906 antara hasilan daripada para ulamak yang merupakan akhbar julung pada ketika itu yang mencetuskan kesedaran Islam di kalangan rakyat.

Begitu juga para ulamak berusaha bagi menyedarkan masyarakat dengan menubuhkan begitu banyak madrasah dan sekolah di seluruh tanah air antara sekitar tahun 1906 sehingga 1942. Melalui penubuhan madrasah dan sekolah inilah kebangkitan rakyat dibajai apabila buta huruf ditangani, ilmu dan aqidah  diteguhkan di kalangan orang Islam menyebabkan masyarakat pada waktu itu mengalami kesedaran intelektual sekaligus menyemarakkan semangat menuntut kemerdekaan.

Pengaruh yang sangat hebat dipelopori oleh para ulamak dan institusi agama, sehingga memaksa pihak penjajah British melakukan tekanan terhadap pejuang kemerdekaan khasnya golongan ilmuan agama dan alim ulamak. Pada tahun 1948 Ordinan Darurat apabila diperkenalkan, semua gerakan dan parti politik berhaluam kiri diharamkan oleh British sebagai tekanan terhadap pejuang kemerdekaan seperti gabungan parti dan gerakan massa dan politik iaitu Pusat Tenaga Rakyat PUTERA dan  All Malayan Counvil of Joint Action AMCJA termasuklah Hizbul Muslimin yang yang kemudiannya didaftarkan secara rasminya sebagai Parti Islam Semalaysia (PAS). Kecuali UMNO shaja yang dibiarkan oleh British untuk bergerak dengan bebas bahkan UMNO juga yang menyarankan kepada pihak British agar mengharamkan gerakan politik ynag lain. Slogan ” Bahaya Dari Gunong ” sebenarnya adalah diungkapkan oleh UMNO supaya British melakukan tindakan dan tekanan terhadap musuh politiknya khasnya Hizbul Muslimin yang diasaskan oleh para ulamak. Ramai pejuang kemerdekaan ditahan Ordinan Darurat diperkenalkan dengan alasan membenteraskan kegiatan komunis dan termasuk yang ditahan Ustaz Abu Bakar Al Bakir.

Di Indonesia, penjajahan Belanda yang lebih 350 tahun juga telah berdepan tentangan pejuang kebebasan dan kemerdekaan dari kalangan para ulamak seperti Imam Diponegoro di Jawa dan Haji Miskin di Sumatera. Di Mesir, penjajahan bersilih ganti daripada Perancis kepada British juga terpaksa menghadapi perjuangan  Ikhwanul Muslimin yang diasaskan oleh As Syahid Hassan Al Banna pada tahun 1928 di Ismailiyyah Mesir. Ikhwanul Muslimin adalah gerakan Islam pertama yang  merupakan satu gerakan organisasi tersusun yang menjadi ilham kepada penubuhan gerakan Islam di serata dunia.

Namun begitu, perjuangan kemerdekaan negara masih belum selesai walaupun kita menyambutnya ke sekian kalinya yang ke 58, kerana kemerdekaan dalam erti kata yang sebenarnya seperti yang diajarkan dan difahamkan oleh para ulamak bahawa selagi mana kita masih belum dapat mengembalikan memartabatkan Islam dalam setiap aspek kehidupan kita samada dalam sistem kemasyarakatan, ekonomi, sosial dan politik.

Justeru itu, ternyatalah bahawa ulamak dan perjuangan kemerdekaan adalah sinonim antara satu dengan yang lain. Peranan para ulamak begitu besar yang perlu diingatkan dan dikenang oleh kita semua bahawa tanpa mereka bukan sahaja kita tidak lagi dimerdekakan daripada penjajah bahkan juga kita tidak lagi dimerdekakan daripada kekufuran dan kesesatan aqidah.

” SEHATI SEJIWA ”
” BERISTIQAMAH SEHINGGA KEMENANGAN “

AlFaqir Ila Robbihi

USTAZ MUHAMMAD NAJHAN BIN HALIM
SETIAUSAHA DEWAN ULAMAK PAS SELANGOR
26 Ogos 2015 / 11 Zul Qaedah 1436h.

Share:
Written by Ustaz Nik Nasri Nik Malek
Pegawai Khas (Agama) Pejabat Menteri Besar Terengganu