Terus beri semangat kepada petugas ‘frontliner’

MAJORITI rakyat Malaysia sekarang sedang berada di rumah. “Stay at home”, ulang Perdana Menteri beberapa kali. Berada di rumah agak lama dari biasa mungkin membosankan. Lalu dikongsi pelbagai aktiviti di rumah melalui media sosial untuk menjadikan hati seronok dan ceria.

“Stay at home” bukan slogan gurauan. Ia tak sama dengan hashtag atau tagline yang biasa ditulis atau diucap seperti “malu apa bossku”, “malam ni menang, esok minyak turun”, dan lain-lain. “Stay at home” berkait dengan nyawa sendiri dan nyawa orang lain. Ia juga berkait dengan kawalan pergerakan yang dibuat oleh kerajaan, sama ada cukup 14 hari atau terpaksa dilanjutkan.

Amat menyedihkan ada rakyat yang mempersenda arahan ini, mengambil mudah dan memandang remeh terhadapnya, sehingga menyebabkan COVID-19 mudah pula berjangkit kepada orang lain pula.

Menyedihkan juga apabila ada pesakit yang membuat saringan kesihatan di klinik atau hospital tidak jujur memberitahu sejarah perjalanan mereka yang berkait dengan tempat berisiko kena jangkitan COVID-19. Lantas pesakit positif COVID-19 bertambah.

Yang menjadi petugas barisan hadapan ialah seperti doktor, pegawai perubatan, jururawat, polis, tentera dan lain-lain. Mereka bertugas dengan penuh dedikasi dan bertenaga, meninggalkan rumah dan keluarga, jumlah jam lebih dari biasa, tidak mengharap glamour dan dibalas jasa.

Namun, mereka juga adalah manusia biasa. Kekadang rasa letih dan penat. Kalau tubuh penat, itu sudah biasa, tetapi kalau perasaan yang sudah penat, itu tidak biasa. Kalau kena selesema dari pesakit, itu mungkin boleh dihadapi, tetapi kalau kena jangkitan COVID-19, itu bukan perkara yang mudah dimaafkan, terutama apabila pesakit tidak jujur berterus-terang dengan sejarah perjalanannya yang menyebabkan doktor, jururawat, pegawai perubatan juga terkena jangkitan virus yang melibatkan nyawa.

Dalam keadaan sebegini, mereka perlukan sokongan kuat dari semua pihak. Alhamdulillah, kerajaan buat apa yang sepatutnya. NGO ada yang membantu. Masyarakat dan orang awam juga boleh mainkan peranan. Jujur bila buat saringan kesihatan, tak perlu dipaksa untuk buat saringan kesihatan, doakan untuk mereka yang bertugas tadi dan apa-apa yang difikirkan sesuai.

Saya tabik kepada para petugas barisan hadapan. Mereka sedang menggadai nyawa, menghabiskan tenaga, melawan runtunan jiwa, berdepan dengan risiko hanya kerana mahu menyelamatkan nyawa orang lain.

Pantun lama
Pisang emas dibawa belayar,
Masak sebiji di atas peti,
Hutang emas boleh dibayar,
Hutang budi dibawa mati.

Tidaklah boleh membayar harga pengorbanan tuan-tuan dan puan-puan.

Sebelum ini, Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan menyajikan nasi berlauk hasil air tangan Baginda, kepada petugas di Hospital Sungai Buloh dan Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC), Kementerian Kesihatan (KKM) di Putrajaya. Ini satu contoh amat baik dari seorang Raja Permaisuri Agung yang sangat prihatin, yang boleh diikuti oleh rakyat jelata.

Semoga Allah menguatkan semangat anda dan melindungi anda dari jangkitan COVID-19 serta memudahkan urusan anda. Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul.

Share:
Written by Ustaz Nik Nasri Nik Malek
Pegawai Khas (Agama) Pejabat Menteri Besar Terengganu