Terjemah Kitab Fiqh FathulMuin Dalam Tempoh PKP

Alhamdulillah, sehingga kini sudah 136 mukasurat bersaiz A4 ditulis. Bahagian atas matan FathulMuin dalam bahasa Arab. Di bawahnya terjemahan dan tambahan dari kitab Ianatuttalibin jika perlu kepada huraian. Saya bercadang untuk terjemahkan bahagian ibadat harian sahaja, mulai awal kitab hingga selesai bab solat.

Kitab FathulMuin dengan syarahnya Ianatuttalibin adalah antara kitab fiqh mazhab Shafie yang terkenal. Dipelajari di pondok tradisional, pasantren di sebelah Asia Tenggara, benua lain, juga di negara Arab.

Saya mempelajari kitab ini apabila belajar di Pondok Pak Teh, Keroh, Perak atau Pondok Tuan Guru Hj Abd Latif, Kg Kuak Luar, Pengkalan Hulu, Perak. Kemudian belajar kitab ini di Madrasah Falahiah, Kg Pondok Paku, Kerandang, Besut. Pernah belajar secara intensif di Narathiwat ketika cuti sebulan Ramadan.

Di Jordan, almarhum guru saya, Dr Sheikh Nuh pernah beritahu, beliau belajar kitab ini di Damsyik, Syria tahun 1950-60an. Beliau juga memberikan kepada saya tulisan bapanya yang juga seorang alim senarai masalah-masalah yang ada di dalam kitab FathulMuin dan syarahnya iaitu Ianatuttalibin dengan mukasuratnya untuk rujukan kepada sesiapa yang mahu meneliti.

Di Jordan juga, saya ajarkan kitab ini kepada junior-junior saya ketika itu di rumah saya. Sebahagian mereka sudah bergelar Dr sekarang.

Kalau tak silap saya, kitab ini pernah menjadi rujukan penting kepada para mufti di Tanah Melayu dan pandai membaca, menterjemah, memahami dan mengupas kitab ini antara syarat untuk menjadi mufti ketika itu.

Ketika tempoh PKP1, saya mulai menyambung menterjemah kitab yang saya jadikan teks kuliah maghrib ini, hinggalah PKPB sekarang.

Mudah-mudahan kitab yang sangat kecil ini dapat dicetak, diterbit dan digunakan oleh masyarakat, termasuk sebagai teks pengajian di masjid, surau nanti insyaAllah, apabila tempoh PKPB tamat.

Share:
Written by Ustaz Nik Nasri Nik Malek
Pegawai Khas (Agama) Pejabat Menteri Besar Terengganu