INI KALI ketiga burung membuat sarang, bertelur, menetas dan terbang bebas di laman rumah tanpa gangguan tuan rumah. Kali pertama beberapa tahun lepas. Membuat sarang di dahan pokok limau kasturi setinggi saya lebih kurang. Kali kedua selepas itu di pokok yang sama tetapi sarangnya lebih rendah, dalam satu meter lebih.

Saya berpeluang menjadi ‘wartawan’ saluran Animal Planet ketika itu. Melihat dan merakam setiap hari perkembangan dari membuat sarang hingga anak burung merbah kapur terbang.

Ketika itu saya juga mengajar kitab hadis Riadussalihin jilid 1 di sebuah tempat. Di bawah bab Tawakal, hadis ke 81, Imam Nawawi membawakan hadis:

لو أنكم تتوكلون على الله حق توكله لرزقكم كما يرزق الطير تغدو خماصا وتروح بطانا 
“Jika kamu bertawakal kepada Allah dengan tawakal yang sebenar, nescaya Allah beri rezeki kepada kamu sebagaimana Allah memberi rezeki kepada burung. Ia berada di waktu pagi dengan temboloknya kosong, dan pulang pada waktu petang dengan temboloknya penuh.”
(Riwayat Tarmizi)

Melihat sarang burung yang sangat ringkas, dari dedaun, ranting halus. Tiada dapur kering dan dapur basah. Tiada bilik tidur. Tiada peti sejuk. Tiada dompet dan tiada simpanan makanan. Tiada selimut. Tiada atap. Tiada pagar keselamatan dan tiada segala-galanya.

Lantas saya terfikir, ini agaknya hikmah di sebalik Nabi mengaitkan tawakal kepada Allah dengan seekor burung yang demikian sifat hidupnya. Namun, dalam masa yang sama, apabila setiap hari menjenguk sarang burung itu, saya melihat kekuasaan Allah di sebalik daifnya sarang burung itu.

Dari bertelur, menetas, tumbuh bulu, terbang, hanya mengambil masa yang singkat, tidak perlu berbulan-bulan. Tidak perlu ke hospital. Tidak perlu kain lampin. Tidak perlu susu bayi. Tidak perlu pengasuh dan lain-lain. Cukup dengan beberapa ekor belalang yang dibawa pulang oleh ibunya pagi dan petang.

Manusia tidak seperti burung. Sifat hidup, tumbesaran, keperluan tidak sama. Yang sama ialah manusia dan burung adalah makhluk Allah. Dan bagi setiap makhluk ada cara dan sunnatullah yang dilalui. Yang sama juga adalah burung bertawakal kepada Allah dengan caranya tersendiri dan manusia juga bertawakal dengan cara yang diajar oleh Allah.

Bertawakal kepada Allah mesti ada ilmu. Justeru, dalam Quran banyak disebut mengenai tawakal. Tetapi konsep tawakal dalam Quran tidak dihurai panjang. Lalu dilihat dalam pelbagai hadis mengenai konsep tawakal. Untuk memahami ajaran dari Quran dan hadis, termasuk pendapat ulama muktabar mengenai tawakal, perlu kepada orang alim yang menghuraikannya. Di sini fungsi orang alim. Maka jangan mudah mencela dan ‘mencelakakan’ orang alim yang beramal dengan ilmunya.

Di saat saya menulis ini, tempoh PKP fasa 2 sedang berjalan. Di saat ini ramai dari kita yang sedang diuji setakat mana tawakalnya kepada Allah. Kata Sheikh Muhamad Idris al-Marbawi dalam kitab hadis Bahrul Mazi“Usaha dan ikhtiar itu datangkanlah, dan hati itu bergantung kepada Allah”. Kita terus melangkah dengan berkata:

بسم الله توكلت على الله
“Dengan nama Allah, saya bertawakal kepada Allah.”

Share:
Written by Ustaz Nik Nasri Nik Malek
Pegawai Khas (Agama) Pejabat Menteri Besar Terengganu