Pada  hari ini, Selasa, 1 Sept 2020 bersamaan 13 Muharram 1442H, genap 10  tahun Sheikh Dr Nuh Ali Salman al-Qudha, mantan Mufti Jordan yang juga merupakan sheikh dan guru saya, kembali ke rahmatullah iaitu pada pagi Ahad 13 Muharram 1432 (19 Dis 2010) dalam usia 71 tahun (74 tahun Hijrah) selepas menjalani pembedahan dan rawatan di Austria selama 3 bulan dan kembali ke Jordan tetapi masih dirawat di hospital di Amman.

Saya siarkan kembali nostalgia mula bertemu dengannya di Jordan, belajar dengannya, dan beberapa pengalaman bersamanya sepanjang saya di Jordan. Ia sebagai motivasi kepada para penuntut ilmu, terutamanya pelajar Malaysia di Jordan yang mungkin belum mengenali almarhum, walaupun Masjid Universiti Yarmouk sudah lama ditukar kepada nama Masjid Sheikh Nuh:

Sabtu malam Ahad sebelum hari kematian beliau, saya bermimpi sedang bermain satu permainan. Tiba-tiba air besar seperti Tsunami mengatasi bukit muncul. Saya bersyahadah dan azan. Air itu menerpa ke bawah saya tetapi tidak mengenai saya. Saya terjaga. Apa tafsir mimpi itu? Permainan tidur, syaitan atau apa? Ada kaitan dengan kematian itu? Wallahua’lam.

Pengalaman belajar, menadah kitab dan adab dengan beliau masih segar dalam ingatan, walaupun sudah lama berpisah dengannya.

Alhamdulillah, ketika pencarian sheikh untuk memantapkan ilmu ketika belajar di Universiti Yarmouk, Irbid, Jordan pada tahun 1992, saya diberitahu bahawa mantan Qadhi al-Qudha Jordan ketika itu, Sheikh Nuh Ali Salman al-Qudha sudah pulang ke kampungnya di Eidon, kira-kira 2-3 km dari rumah saya di Duwwar Nasim, tidak jauh dari Universiti Yarmouk, Irbid, Jordan.

Qadhi al-Qudha adalah satu jawatan tinggi agama di Jordan yang sama tarafnya dengan menteri. Sheikh Nuh pernah menjadi mufti al-jaish iaitu mufti angkatan tentera Jordan, di mana angkatan tentera Jordan mempunyai muftinya sendiri. Sheikh Nuh telah mengembangkan institusi agama dalam angkatan tentera Jordan sehingga ramai yang menjadi imam dan pendakwah yang bergiat dalam angkatan tentera Jordan. Beliau bermazhab Shafie dan bermanhaj Ashaairah. (Tiada celanya bermanhaj seperti ini kerana ramai ulama muktabar terdahulu juga demikian). Dalam masa yang sama beliau mempunyai sifat yang terbuka terhadap pandangan lain terutama mazhab Hanafi kerana beliau sendiri pernah belajar sewaktu kecilnya di madrasah di Syria.

Beliau pernah menceritakan kepada saya bahawa berlaku satu peperangan di antara negara Arab dan Israel. Tentera Jordan juga menyertai perang itu. Di satu kawasan perkuburan tentera Jordan yang ingin dipindahkan ke tempat lain, ditemui beberapa mayat yang masih basah dengan darah, sedangkan mayat itu telah dikebumikan beberapa puluh tahun lampau.

Saya mendapat tahu bahawa Sheikh Nuh meletakkan jawatan sebagai Qadhi al-Qudha Jordan kerana tidak bersetuju dengan pandangan kerajaan Jordan di bawah kepimpinan Raja Husin yang mahu berdamai dengan negara haram Israel. Perdana Menteri negara haram Israel ketika itu ialah Yitzak (Ishaq) Rabin, Presiden Amerika Syarikat ialah Bill Clinton. Perjanjian damai ditandatangani di pantai Aqabah. Selepas itu Sheikh Nuh menjadi pensyarah di Universiti Yarmouk, Irbid, dan ketika itulah saya mengambil peluang menadah kitab darinya.

Dalam satu khutbah Jumaatnya di Masjid Universiti Yarmouk, beliau pernah mengulas tentang perdamaian Jordan dengan Israel, katanya (seingat saya) : ‘Walaupun ular telah berdamai dengan biri-biri, tetapi ular tidak pernah melupakan makanannya yang asal. Justeru, biri-biri jangan mudah termakan dengan pujukan dan perdamaian oleh si ular..’

Sheikh Nuh pernah belajar di Syria di peringkat awal pengajiannya. Syria kaya dengan para ulama tersohor sehingga sekarang. Cuma kerajaan yang menganut faham asing itu menyebabkan para ulama agak terkongkong. Sejarah pembunuhan dan penyiksaan ulama terutama di zaman Hafiz al-Asad diketahui umum. Pengajian bertalaqqinya menyebabkan beliau juga bersedia mengongsikan ilmunya dengan pelajar-pelajar Malaysia.

Saya bertemunya, kalau tak silap ingatan saya dalam tahun 1993, memberitahu hasrat pelajar Malaysia terutama yang belajar di Universiti Yarmouk, Irbid untuk mempelajari sesuatu kitab daripadanya. Saya sendiri syorkan kitab syarah Jauharah at-Tauhid iaitu Ittihaf al-Murid karya Sheikh Abdul Salam bin Ibrahim al-Laqaani al-Maliki (dengan ditahqiq oleh Sheikh Muhammad Muhyiddin bin Abdul Hamid dalam kitabnya an-Nizam alFarid) untuk diajarnya. Lagipun kitab itu telah saya pelajari di pondok di Malaysia sebelum itu. Beliau bersetuju. Pelajar Malaysia di Universiti Yarmouk membuat pengajian itu di rumah yang disewa.

Ia berterusan beberapa lama sehingga pengajian itu tidak dapat diteruskan kerana ada beberapa masalah teknikal kecil berlaku. Saya dan beberapa orang sahabat kemudian terus menadah kitab syarah Jauharah itu di Masjid Eidon dekat rumahnya. Kami berjalan kaki 2-3 km menuju ke masjid itu. Alhamdulillah, pengajian kitab syarah Jauharah itu selesai.

Saya dari awal merakamkannya dalam bentuk kaset. Saya beritahu Sheikh Nuh tentang rakaman itu. Sheikh Nuh meminta untuk mendengarnya pula. Ketika beliau menjadi duta Jordan ke Iran selama beberapa tahun, rakaman yang saya buat itu didengar balik, ditulis balik, ditambah dan dikurang sehingga diterbitkan dalam bentuk buku yang dikenali sebagai al-Mukhtasar al-Mufid fi syarh Jauharah at-Tauhid. Beliau memberikan senaskhah kepada saya sebelum dicetak untuk diteliti dari segi bahasa dan kefahaman, adakah mudah difaham oleh orang bukan Arab seperti saya. Kitab tersebut kemudian terkenal dan digunapakai di sesetengah pusat pengajian di IPT dalam dan luarnegara.

Pengalaman Sheikh Nuh jadi duta Jordan ke Iran

Selesai belajar kitab Syarah Jauharah at-Tauhid dengan Sheikh Nuh, beliau beritahu saya beliau dapat tawaran kerajaan Jordan untuk menjadi duta negara itu ke Iran. Beliau meminta daripada saya kaset-kaset hasil rakaman saya untuk kitab Syarah Jauharah itu. Sepanjang beberapa tahun beliau di Iran itulah beliau menulis kitab al-Mukhtasar al-Mufid berdasarkan rakaman itu. Bahasanya mudah, huraiannya jelas, jauh dari perbahasan meleret, meraikan keadaan semasa. Selesai dari tempoh menjadi duta Jordan ke Iran (tak silap saya selama 2 tahun sahaja), beliau pulang ke Jordan menceritakan kepada saya beberapa pengalaman beliau di sana.

Beliau mendirikan solat Jumaat di bangunan Kedutaan Jordan di Iran. Beberapa orang dari pegawai kedutaan asing ada juga yang datang solat Jumaat dengannya. Kalau tak silap saya, beliau ada sebut kedutaan Malaysia. Khutbah Jumaat dibaca dalam bahasa Arab, kemudian diterjemah dalam bahasa Inggeris oleh pembantunya kerana ramai yang tidak memahami bahasa Arab.

Beliau juga menyebut bahawa di Iran, yang menjadi pengerusi sesuatu syarikat atau ketua di sesuatu agensi biasanya ulama. Mereka lebih tahu tentang tuntutan agama. Orang kedua ketiga baharulah ahli korporat, profesional dan lain-lain. Beliau kata, apa yang dibuat itu baik kerana boleh pastikan perjalanan sesuatu agensi itu menurut kehendak agama atau tidak.

Beliau juga menyebut beberapa perkara positif lain di negara Iran, walaupun fahamannya Syiah, terutama dari aspek pentadbiran dan kemasyarakatan.

Tapi nampaknya beliau tidak boleh duduk lama di sana. Beliau kembali ke Jordan dan menyambung tugasnya di Universiti Yarmouk, Irbid sebagai tenaga pensyarah, juga kelas pengajiannya di masjid dan menerima jemputan aktiviti-aktiviti agama sekitar Jordan.

Alhamdulillah, saya berharap itu adalah sebahagian sumbangan saya dalam ilmu terutama yang berkait dalam bidang Aqidah. Mudah-mudahan kitab ini dapat memudahkan pembaca memahami perbahasan Aqidah menurut ahli Sunnah wal Jamaah ini, dan dijadikan kitab ini sebagai amal soleh yang berpanjangan pahalanya hingga ke Akhirat, insyaAllah.

Selepas beberapa tahun meninggalkan bumi Jordan ketika itu, saya teringin benar kalau dapat bertemu kembali dengan sheikh dan murabbi saya, Dr Nuh Ali Salman al-Qudha. Dalam fikiran, dicongak-congak kalau dapat menunaikan umrah, singgah di Jordan, bertemu dan menjemputnya ke Malaysia.

Di Malaysia nanti, boleh disusun pelbagai aktiviti ceramah dan lawatan untuk Sheikh Nuh. Itulah impian saya. Lagipun, tak ramai yang mengenali beliau kecuali para pelajar Malaysia yang pernah belajar di Jordan (yang cakna ilmu) atau mereka yang mengikuti perkembangan ulama Islam. Namun Allah Yang Maha Mengasihi lebih mengasihi Sheikh Nuh. Beliau kembali ke rahmatullah  lebih awal.

Jenazahnya dikebumikan di kampung asalnya di Ajloun, utara Amman. Puluhan ribu mengiringi jenazahnya. Mungkin tidak seperti ulama-ulama kontemporari lain yang lebih dikenali di luarnegara, namun penduduk Jordan dan beberapa negara Arab sekitar mengenali beliau.

Sumbangan beliau kepada perkembangan Islam di negara Jordan yang kecil itu tidaklah boleh diperkecilkan. Angkatan Tentera Jordan diIslamkan dengan mewujudkan institusi agama tersendiri sehingga mempunyai mufti, para imamnya sendiri, termasuk silibus pengajian. Jauh lebih baik dari KAGAT.

Beliau juga mempunyai hubungan baik dengan pelbagai aliran Islam di Jordan. Beliau bersahabat baik dengan para pemimpin Ikhwan Jordan, dihormati pemimpin sufi dan Tarikat, disegani oleh pegawai kerajaan dan disayangi oleh rakyat Jordan.

Alhamdulillah, 6 tahun bersamanya dimanfaatkan untuk sentiasa ‘menadah kitab’ dengannya walaupun berjalan kaki keseorangan ke rumahnya di Eidoun, 2 km dari Duwwar Naseem, Irbid, Jordan. Asal ada masa sahaja selain kuliah rasmi di Universiti Yarmouk dan aktiviti jemaah, maka ke masjid berhampiran rumahnyalah destinasinya. Saya mempelajari kitab Kaedah Fiqh dan khatam dengannya, kitab As-Shifa karangan Qadi Iyad, kitab Al-Minhaj karya Imam Nawawi, kitab mengenai Imam Shafie karya Sheikh Abu Zuhrah dan beberapa kitab lain lagi.

Ilmunya dikutip sungguh-sungguh. Kelebihannya ialah kerana beliau pernah belajar di madrasah di Syria ketika mudanya. Di zamannya, institusi ilmu di Syria hebat, seperti juga di Mesir walaupun pemerintah Syria sangat kuat menekan ulama dan Islam. Madrasah tempat pengajiannya di Syria itu melahirkan ulama-ulama terkenal. Kalau hanya mengharap pengajian rasmi BA-MA-PhD, tidaklah tamakkun sangat.

Sheikh Nuh adalah guru-guru telah meninggal dunia setakat ini: Datuk sendiri, Hj Abdullah (bapa Hj Zawawi, Mudir Taman Islam, Kemaman), TG Hj Hashim (pernah mengajar kitab di Kajang), TG Hj Ali b Musa (Pondok Siliau, NS), TG Hj Abdul Latif (Pak Teh Keroh/Pengkalan Hulu), TG Hj Najmudin (Pondok Paku Kerandang, Besut), Dr Walid al-Aani (pakar hadis, Univ Yarmouk-asal Iraq) dan lain-lain.

Moga Allah merahmati semua para ulama al-aamilin yang mendahului kita. ‘Allah tidak mencabut ilmu dengan tiba-tiba, tetapi Allah mencabut ilmu dengan meninggalnya para ulama.’ Bergurulah dengan ulama yang beramal dengan ilmunya, dan berjuanglah menegakkan Islam dengan ilmu itu. Jangan biarkan diri anda jahil dan jangan biarkan diri anda dipandu oleh pemimpin yang sesat dan menyesatkan.

“Mata menitiskan airmata, hati begitu sedih, tetapi tetap redha dengan ketentuan Ilahi”

Share:
Written by Ustaz Nik Nasri Nik Malek
Pegawai Khas (Agama) Pejabat Menteri Besar Terengganu