‘Sehari Bersama Ulama’: Tahniah untuk Masjid Kg Pasir Minal

Julung-julung kali dalam sejarahnya, terutama selepas bangunan masjidnya yang baru, Masjid Pasir Minal berjaya menganjurkan program ‘Sehari Bersama Ulama’ pada Sabtu 27 Julai 2009. Sebenarnya dalam masa yang sama di Padang Astaka, Cukai berlangsung Pekan Budaya (budaya kuning atau budaya apa?), bukan sahaja jualan tetapi funfair yang melalaikan anak-anak dan anak muda. Di saat itu, budaya kasihkan Nabi dipupuk melalui program ‘Sehari Bersama Ulama’ ini di Masjid Kg Pasir Minal. Kehadiran ramai anak-anak pondok dari Kemaman dan Kuala Terengganu memeriahkan sambutan.

Saya hadir pada siangnya sebagai peserta, juga sebagai meraikan sambutan mewakili Urusan Ulama PAS Kemaman. Pada malamnya memikul amanah menterjemah ceramah yang disampaikan Sheikh Abdul Razzaq al-Misri.

Ustaz Syed Abu Bakar, Sheikh Abdul Razzaq, Ust Nik, Ustaz Syed ShahrunuddinMulai seawal jam 8 pagi program bermula dilatari bacaan al-Quran dan qasidah, kertaskerja pertama dibentang oleh al-Fadhil Ustaz Wan Muhammad Zukir dari Kuantan. Saya mengenalinya semenjak lebih 20 tahun lepas. Ketika itu beliau belajar di Pondok Pasir Tumbuh, Kelantan. Beliau seorang yang rajin belajar dan mengaji kitab. Pernah ketika cuti, beliau datang saban hari ke rumah arwah datuk saya, Hj Wan Harun Husin membaca kitab Bahr al-Mazi (kalau tak silap). Kini beliau membuka pengajian pondok di Kuantan. Pelajar mungkin tidak begitu ramai, tetapi kegigihannya tetap dipuji.

Kertaskerja kedua dibentang oleh Maulana Johari dari Temerloh. Suaranya agak serak tetapi pembentangannya tentang ‘Katakan Cinta Itu hanya pada Nabi’ tetap menarik.

Di sebelah petang Ustaz Mustafa Kamal dari Ribat al-Hidayah, Batu Buruk membentangkan kertaskerjanya. Daie dan sirah Nabi menjadi bahan perbincangan.

Qasidah-qasidah yang cukup menyentuh hati seorang mukmin menghiasi selang-seli pembentangan dan slot. Ad-Dhia al-Lami’ mengisi kekosongan masa selepas Maghrib.

Sheikh Abdul Razzaq berceramah, Ust Nik terjemahSelepas Isyak Sheikh Abdul Razzaq al-Misri dari Kuala Lumpur menyampaikan ceramah tentang sambutan Maulidur Rasul. Yang penting ialah kecintaan kepada Baginda mesti sentiasa disegar-segarkan apatah di dalam keadaan dunia akhir zaman yang penuh fitnah dan ujian ini.

Sekali lagi ucapan tahniah kepada Masjid Pasir Minal dan IPTAF yang berjaya menganjurkan program ini, juga kepada Pengerusi dan AJK Masjid serta penduduk sekitar yang bertungkus-lumus menyediakan segala persiapan. Picture 017Moga rahmat dan berkat dari kasihkan Nabi itu mengalir sekitar Masjid Pasir Minal dan Kemaman itu sendiri.

Share:
Written by Ustaz Nik Nasri Nik Malek
Pegawai Khas (Agama) Pejabat Menteri Besar Terengganu