Moga doa orang alim ini dimakbulkan

TIADA tsunami membadai, tiada tornado dengan nama perempuan melanda, tiada bom nuklear digugurkan, tetapi dunia menjadi hampir lumpuh dengan sebab COVID-19 yang tak dapat dilihat oleh mata kasar manusia.

Ia bukan wabak kali pertama tercetus dalam sejarah dunia, tetapi bagi kita yang sedang menikmati kesedapan hidup dunia, terasa agak tersentap dengan sedikit ujian dari Allah.

Firaun mengaku dirinya tuhan. Kuasa dan hartanya tidak terlawan. Allah matikan dia dengan tenggelam. Namrud menganggap dia berkuasa mutlak. Dibakar Nabi Ibrahim dalam api yang marak. Allah binasakannya dengan telinga dimasuki nyamuk.

Allah menunjukkan kuasa-Nya dengan pelbagai cara. Ada yang biasa dilihat. Ada yang biasa dilihat. Ada yang sangat pelik dan ajaib.

Bagi seorang Mukmin, iktikadnya jelas. Yang beri mudarat ialah Allah. Yang beri manfaat ialah Allah. Yang beri hidup ialah Allah. Yang mematikan ialah Allah. Dalam masa yang sama ia berusaha mencari ubat, mengelak apa yang sepatutnya dielak. Jangan kerana virus yang tak kelihatan dengan mata, lantas iktikad jadi buta.

Hari ini hari pertama perintah kawalan pergerakan seluruh negara dibuat. Suasana di mana-mana agak asing, tidak seperti hari yang sebelumnya. Kerajaan berusaha menangani penularan COVID-19 ini dengan cara terbaik.

Malam tadi program Bicara Naratif di TV1 dengan topik Kerajaan Perpaduan Ummahmenerima tamu istimewa, Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang. Sebelum topik dibincang, Tok Guru diminta membaca doa agar diselamatkan kita semua dari COVID-19 dan lain-lain penyakit.

Dengan nada suara yang biasa didengar dari peti suara Tok Guru di awal percakapannya, doa dipanjatkan kepada Ilahi agar musibah ini diangkat. Doa ini tentulah untuk semua, bukan untuk ahli PAS, Umno atau BERSATU sahaja. Ia doa umum untuk seluruh rakyat. Doa ialah ibadah. Doa ialah otak ibadah. Doa ialah senjata Mukmin.

Sebagaimana Tok Guru berdoa memohon keselamatan untuk semua dari COVID-19, begitulah juga Tok Guru ingin Malaysia selamat dari tangan politik yang merosakkan negara. Terima kasih Tok Guru walaupun ada yang tidak mahu memahami.

Share:
Written by Ustaz Nik Nasri Nik Malek
Pegawai Khas (Agama) Pejabat Menteri Besar Terengganu