Mati taatkan Allah lebih baik dari hidup derhakakan Allah

“Ustaz, apa hukum lelaki yang menukar jantinanya kepada perempuan?” telefon seorang staf dikenali sebuah syarikat swasta. “Kenapa?” tanya saya. ” Si Y yang mati tu kawan saya ketika di UK.  Saya sebilik dengannya. Nama sebenarnya Z bin A. Dia lelaki. Nak tukar jantina. Saya beritahu dia berdosa.” jawabnya lanjut. “Dia tu macamana?” tanya saya. “Dia lembutlah, tapi tak tahulah dia khunsa atau tidak” jawab beliau lagi.

Saya beritahunya bahawa perbahasan tentang khunsa yang punya dua alat ada dibahas di dalam kitab fiqh, tetapi kalau lelaki yang memang punya alat lelaki sahaja, cuma kecenderungan ingin menjadi wanita lalu menjalani pembedahan, itu yang menjadi isu.Ia berkait pula dengan haid dan nifas, perkahwinan dan lain-lain. Cuma sebenarnya bagi saya, bukan hanya setakat tukar jantina itu sahaja isunya. Ada isu yang lebih besar darinya.

Si mati bukanlah ‘mati’ selama-lamanya. Ia berpindah ke alam lain yang lebih mencabar. Di sana segalanya ditanya. Tentang Tuhan, tentang Nabi, tentang amal.

Cukupkah dengan hanya menjawab bahawa saya telah meninggalkan karya-karya hebat saya di atas dunia menjadi bekalan saya? Kalau karya itu dalam bentuk taat dan mengajak manusia mendekati Allah dan Islam dengan cara tidak bercanggah dengan syarak, maka ia menjadi bekalan pahala.

Sebaliknya kalau karya itu penuh kontroversi, cara yang melanggari syarak, mendorong untuk tidak taat kepada Allah, maka ia juga adalah bekalan dan peninggalan, tetapi bekalan yang merosakkan diri sendiri di dalam persemadian yang keseorangan.

Saya tidak bermaksud untuk menghukum sesiapa. Ia terserah kepada Allah terutama selepas matinya. Yang lebih penting ialah pengajaran bagi yang masih hidup. Masih jauh dari petunjuk? Masih jauh dari Allah? Masih jauh dari agama? Masih leka dan berfantasi di atas nama dunia seni?

‘Cukuplah kematian menjadi peringatan’

Share: