Kuliah Audio MP3 Saya Untuk Didengar, Amal Dan Dimanfaat, Bukan Diplagiat

kuliah audio MP3Saya berkuliah, merakam, mengedit nama fail, memuatnaik dalam portal ini, juga mengirim MP3 itu melalui aplikasi whatsapp kepada banyak kumpulan, hanya dengan satu maksud, iaitu memanfaatkan sedikit ilmu dan berkongsi dengan orang lain. Tentunya yang diharap ialah redha dan pahala dari Allah. Saudara boleh juga mendengar, berkongsi dengan orang lain dan kemudian beramal dengan ilmu yang diperolehi. Ada yang minta masukkan dalam external harddisknya. Saya lakukan.

Saya sediakan semua ini secara percuma. Kalaupun mungkin selepas ini koleksi kuliah MP3 saya dijual dalam bentuk CD, itupun untuk Tabung Lajnah Media Baharu Dewan Ulama Terengganu yang saya diamanah menerajuinya sekarang.

Saya difahamkan ada yang mengambil kesempatan dari kuliah audio MP3 saya ini. Dimuatturun, dijual dengan harga yang agak mahal dan disandarkan pengkuliah itu si fulan si fulan, bukannya saya. Saya tidak marah jika mereka berniat menyebarkan ilmu bermanfaat, kemudian menjual CD atau bentuk lain dengan harga munasabah, dengan syarat disandarkan pengkuliah itu kepada orang yang sebenar. Lebih manis dan beradab, kalau diminta izin melalui e-mail, fb, portal atau telefon.

Mungkin yang membuatnya tiada pendapatan, lalu mencari rezeki dengan cara menjual CD kuliah audio MP3 saya. Sekali lagi saya katakan, saya tiada masalah.  Yang penting adalah sifat amanah dalam menyebarkan ilmu. Ilmu untuk dimanfaat, bukan untuk diplagiat. Semoga Allah memberi taufik dan hidayah kepada kita, selamat dunia akhirat.

Share:
Written by Ustaz Nik Nasri Nik Malek
Pegawai Khas (Agama) Pejabat Menteri Besar Terengganu