munaqasyah ucapan dasar PAS KemamanKEMAMAN –Jumaat  23 Okt 2015

Ahli PAS digesa untuk mengetahui yang mana satu perkara keutamaan dalam jemaah agar tidak terkeliru dalam membuat keputusan serta tidak terikut-ikut pemikiran orang yang menyeleweng.

Demikian gesaan yang dibuat oleh Ketua Penerangan Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu (BPPNT) YB Ustaz Mohd Nor Hamzah ketika berucap dalam Majlis Munaqasyah Ucapan Dasar Presiden PAS Peringkat Kemaman.

Jelas beliau lagi dalam Islam ada kaedah yang dipanggil sebagai ‘thawaabit’ iaitu perkara dasar yang tetap yang mesti kita ikut dan tiada kompromi, dan perkara ‘murunah’ atau fleksibel yang boleh berubah mengikut keadaan.

Program Munaqasyah yang diadakan di Dewan Imam Shafie,  Taman Islam Kemaman itu, turut dihadiri oleh Yang DiPertua PAS Kawasan Kemaman Ustaz Alias Hamid, Timbalannya Ustaz Nik Nasri Nik Malek dan Adun Cukai YB Haji Hanafiah Mat.

Sambil memberi contoh dasar seperti amanah dalam agama, ianya tidak boleh diubah walau apa jua keadaan kerana itu adalah perkara asas yang utama, malah dalam mana-mana agama sekalipun amanah ini adalah perkara terpenting.

Beliau yang juga Adun Bukit Payong menegaskan bahawa kegagalan segelintir ahli memahami peraturan ini, menyebabkan mereka keluar parti. Mereka menolak keputusan Majlis Syura Ulamak (MSU) PAS kerana bagi mereka, keputusan itu tidak memenuhi kehendak mereka.

Sedangkan perkara dasar yang diasaskan ketika penubuhan PAS dahulu iaitu berdasarkan al-Quran, Hadis, Ijmak dan Qias, maka perkara-perkara dasar itu mesti dipertahankan oleh MSU, bukannya untuk memenuhi kehendak sesetengah orang.

Ini kerana menurut beliau lagi, PAS adalah parti yang berteraskan Islam yang berhasrat melaksanakan nilai-nilai dan hukum-hakam bagi menuju keredhaan Allah.

Beliau turut berpesan agar tidak menjadi takjub dengan kehebatan seseorang di dunia ini sebelum terbukti dia mati dalam ketaatan. “Jangan kita takjub dengan amalan seseorang kerana kita belum tahu apa pengakhiran mereka kerana ada penulis wahyu di zaman Rasulullah juga akhirnya murtad dan begitu juga iblis yang enggan menurut arahan Allah,” pesan beliau.

Sehingga kini, walaupun PAS telah dilobi di luar negara oleh pihak-pihak tertentu sebagai parti yang sudah jauh menyeleweng dari Islam, namun kebenaran tetap berpihak kepada mereka yang beristiqamah.

Banyak pihak yang menerima berita itu telah menghubungi PAS kembali bagi mendapatkan penjelasan balas dan alhamdulillah kata beliau, Presiden PAS telah memberikan penjelasan yang jitu kepada mereka dan mereka menerimanya.

YB Ustaz Mohd Nor kemudiannya menyeru kepada semua kira-kira 200 ahli yang hadir agar memperteguhkan jamaah dengan melipat gandakan gerak kerja bagi menghadapi pilihanraya yang bakal menjelma.

Bagi beliau, isu parti yang baharu ditubuhkan itu seharusnya tidak menjadi gangguan kepada ahli-ahli PAS kerana sekarang sudah nyata ketiadaan mereka telah memberikan ruang yang luas bagi PAS bergerak lebih maju.

(petikan dari buletinonline.net)

Share:
Written by Ustaz Nik Nasri Nik Malek
Pegawai Khas (Agama) Pejabat Menteri Besar Terengganu