GSTSaya kemukakan satu artikel menarik dari ustaz Zaharudin Muhammad, ahli majlis Syura Ulama PAS mengenai isu GST dilihat dari perspektif Islam. Ia penting untuk diketahui oleh masyarakat awam kerana mereka akan terkesan samada secara langsung atau tidak langsung apabila GST dilaksankan. Artikel ini tentunya agak ilmiah, tetapi dengan ilmiah itulah masalah ini dapat difahami dengan lebih baik. Saya sertakan juga wawancara yang dibuat dengan Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan mengulas mengenai bajet 2014, termasuk isu GST. Tentunya dari sudut pandang yang berbeza.

GST Dari Perspektif Islam (Oleh Ustaz Zaharudin Muhammad)

Mukadimah

Islam mempunyai sistem cukainya yang tersendiri. Sumber kepada sistem percukaian Islam ialah al-Quran, Sunnah Rasulullah SAW, ijmak dan kias.

Ia telah diturunkan bukan sahaja adil bagi manusia keseluruhan, tetapi ia juga merupakan sistem yang mengstabilkan ekonomi, khususnya keseimbangan antara kuasa modal dan kuasa beli rakyat sebagai penjana produktivi.

Asas Ukuran Keharusan Cukai

Sesuatu hukum dirujuk kepada hukum asal yang telah dinaskan oleh sumber al-Quran dan al-Hadis. Hukum asal berkaitan harta orang lain adalah haram diambil melainkan mempunyai sebab yang dibenarkan syariat. Ini berpandukan kepada firman Allah SWT, bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu.”- (An-Nisa’: 29).

Di antara dalil yang lain ialah pesanan Rasulullah sewaktu Haji Wada’ (Haji Selamat Tinggal), antara lain nabi SAW berpesan, bermaksud:

“Wahai orang ramai, sesungguhnya orang yang beriman adalah saudara, tidak halal bagi seseorangpun (mengambil) harta saudaranya melainkan dengan kerelaannya.” – Riwayat Bukhari dan Muslim.

Hadis ini memaksudkan selain daripada zakat dan perkara-perkara yang dinaskan harus atau wajib diambil seperti zakat, yakni zakat bukan milik si pemunya harta bahkan ia adalah milik si fakir, miskin dan asnaf-asnafnya. Begitu juga tidak termasuk isteri atau anak dibawah tanggungannya kerana ia dianggap sebagai seakan-akan sekutu pemilikan. Adapun selainnya, maka ia adalah milik si pemunya dan tidak boleh diambil melainkan degan kerelaannya oleh sesiapapun termasuk kerajaan.
Dan sabda nabi SAW, Maksudnya:

“Apabila mereka melakukan demikian (Islam) maka darah dan harta mereka mereka adalah terpelihara melainkan (harta boleh diambil) dengan cara-cara yagn dibenarkan oleh Islam.”– Riwayat Bukhari.

Di dalam kitab Fathul Bari, Syarah Sahih Bukhari menyebut, zakat adalah salah satu cara pengambilan yang dibenarkan oleh Islam (sekalipun tuannya tidak merestuinya).

Ayat di atas menegaskan memakan harta orang lain adalah haram dan dikategorikan bentuk memakannya adalah batil. Ayat tersebut seterusnya menyenaraikan bentuk pengecualian yang mengharuskan mengambil harta orang, salah satunya ialah perniagaan.

Berdasarkan ayat ini, hukum asal memakan, mengambil dan memiliki harta orang lain tanpa sebab yang dibenarkan syariat adalah haram sehinggalah ada sebab dan dalil yang diharuskan syariat. Ia berbeza dengan hukum asal makanan, minuman dan bentuk muamalat, di mana hukum asal bagi semua perkara tersebut adalah harus kecuali ada tanda-tanda yang menunjukkan haram.

Justeru, apabila kita bertransaksi atau memakan sesuatu makanan yang tiada dalil dan bukti halal atau haram, maka hukum transaksi dan makanan itu adalah halal justeru merujuk kepada hukum asalnya yang harus. Tetapi berbeza dengan pengambilan harta atau wang milik orang, yakni hukum asalnya haram berdasarkan ayat di atas, kecuali ada dalil dan bukti halal. Justeru, apabila kita mengambil wang milik orang, jika tiada dalil dan bukti halal atau haram, maka hukumnya adalah haram justeru merujuk kepada hukum asalnya yang haram.

Sebagai contoh, kita boleh mengambil wang RM50,000 daripada Ahmad sebab kita jual kereta kepadanya. Sebab keharusan ialah jual beli (Al-Bai’). Kita boleh ambil wang daripada Ali sebanyak RM10,000 kerana kita membuat ubah suai rumahnya. Sebab keharusan ialah upah (ujrah). Kita boleh mengambil jam milik Ah Chong selepas kita membayarnya wang. Sebab keharusan ialah jual beli. Kita boleh mengambil wang daripada Abu kerana agihan keuntungan perniagaannya yang bermodalkan wang kita. Sebab keharusan ialah pelaburan (Mudharabah).

Apabila kita berjalan dan jumpa wang RM50,000, maka kita tidak boleh mengambilnya kerana tiada jual beli, tiada upahan kerja, tiada pengeluaran modal, tiada sebab-sebab yang membolehkan, maka hukumnya haram diambil dan RM50,000 tersebut dianggap sebagai harta laqatah (barang ciciran).

Maka hendaklah kita bertanya berkenaan GST, apakah sebab yagn membolehkan kerajaan mengambilnya daripada rakyat? Jika tiada sebab ‘sebenar’, maka hukumnya kembali kepada asal, iaitu haram dan termasuk di dalam kategori batil. begitu juga jika pemindahan hak berlaku dengan sebab, tetapi sebab itu tidak diiktiraf oleh Islam, maka ia juga adalah batil. Contohnya seperti pemenang judi yang mengambil bahagian pemain judi yang kalah, sekalipun judi adalah sebab pemindahan milik, tetapi ia tetap dikategorikan sebagai baatil kerana judi itu sekalipun sebab pengambilannya wujud, tetapi ia tidak diiktiraf oleh syarat.

Adakah Hukum Ini Terlaksana Juga Ke Atas Kerajaan Mengambil Wang Rakyat?

Selepas kita memahami bahawa hukum asal harta orang adalah haram kecuali dengan sebab yang dibenarkan syariat, maka persoalan keseterusnya adakah hukum ini terpakai atau terlaksana hanya ke atas individu dengan individu, manakala kerajaan terkecuali dengan dibolehkan ambil harta dan wang poket rakyat berhujahkan maslahah?

Di dalam mazhab ahlu sunnah wal jamaah, hukum ini bukan sahaja terlaksana antara individu dengan individu, tetapi ia juga terlaksana antara kerajaan dengan rakyat. Dalilnya cukup jelas daripada realiti berikut:

1. Pesanan nabi kepada Muaz bin Jabal sewaktu beliau diutuskan ke Yaman sebagai Gabenor. Baginda memberikan pesanan kepada beliau dengann kata-kata berbunyi: “Awasilah harta-harta suci yang dimiliki oleh orang Yaman”. Harta-harta suci yang dimaksudkan ialah harta yang dimiliki bukan bahagian zakat atau jizyah. Dalam riwayat Bukhari menyebut dengan lafaz: takutilah (daripada mengambil) harta-harta mereka yang suci.

2. Arahan Umar Abdul Aziz (Khalifah dari tahun 99H-101H) kepada semua gabenor supaya menghapuskan semua cukai kecuali ia mempunya nas daripada al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW. Cukai-cukai zalim ini telah dikenakan sebelum ini khususnya pada zaman Hajjaj Yusof At-Thaqafi yang terkenal dengan kezaliman pemerintahannya di Syam, Iraq, Mekah dan Madinah dari tahun 70H – 95H.

Di dalam kitab Al-Bidayah wa An-Nihayah karangan Imam Ibnu Kathir menceritakan, tatkala Saidina Umar Abdul Aziz menjadi Khalifah, beliau memerangani pemimpin-pemimpin zalim sebelumnya yang telah mengenakan pelbagai cukai kepada rakyat. Antara salsilah pemerintah sebelum ini yang sangat dibenci oleh Umar Abdul Aziz ialah Yazid bin Mahlab, iaitu ipar kepada Hajjaj bin Yusof As-Thaqafi. Yazid bin Mahlab telah ditangkap oleh Adi bin Arthoh dan menyifatkan Yazid dan keluarganya (Mahlab dan Hajjaj) sebagai: “Mereka adalah pemerintah kuku besi dan aku bencikan mereka”. Saidina Umar Abdul Aziz memerintahkan supaya Yazid dipenjarakan sehingga semua harta orang ramai yang dikutip sebelum ini dikembalikan semula. (Al-Bidayah: m/s666). Pernah anak kepada Yazid bernama Makhlad meminta kelonggaran hukuman untuk ayahnya Yazid, tetapi Umar bertegas menyatakan bahawa ia tidak akan meringankan hukuman sehingga Yazid menyerahkan semua harta rakyat.

Begitu juga Saidina Umar Abdul Aziz telah menghantar kepada Gabenor Khurasan Al-Jarah bin Al-Hukmi yang telah mengenakan cukai Jizyah ke atas non-muslim yang telah memeluk Islam dengan alasan mereka memeluk Islam kerana ingin lari daripada Jizyah. Saidina Umar Abdul Aziz memecat Gabenor tersebut dengan menulis, maksudnya:

“Sesunggunyanya Allah SWT mengutuskan Nabi Muhammad SAW sebagai pendakwah bukan sebagai pengutip cukai.”

Di dalam satu riwayat yang lain, Saidina Umar juga memerangi Gabenor di Mesir yang telah mengenakan cukai pelabuhan dan mempertikaikan tindakan Umar Abdul Aziz untuk menghapuskan semua cukai yang tiada nas.

Itulah antara sebab menjadi ‘purchasing power’ rakyat pada zaman Umar Abdul Aziz meningkat, seterusnya memenuhi Baitul Mal. Kesannya tiada lagi penerima zakat dan pemberian selepas itu sehingga harta melimpah ruah. Velocity of Money terbaik berbanding sistem-sistem yang lain daripada Islam.

Itu antara contoh tindakan dan pendirian Khulafa ar-raasyidun yang diiktiraf oleh nabi sebagai ikutan (perbuatan mereka adalah hujah), tidak mengenakan cukai-cukai yang tidak dinaskan oleh al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW.

Semua dalil di atas adalah berkait dengan kerajaan mengambil wang rakyat. Jika pengharaman memakan harta orang lain tanpa sebab hanya diharamkan ke atas individu dan bukan kerajaan, nescaya kisah di atas tidak akan timbul dalam sejarah.

Apabila kita meneliti pendapat yang mengharuskan pengambilan harta rakyat tanpa bersumberkan kepada nas, kita dapati mereka keliru antara pendapat ahlu sunnah wal jamaah dan syiah. Ya, sebahagian syiah membenarkan pemimpin-pemimpin mereka mengambil harta rakyat sekalipun tanpa sebab kerana fiqh mereka bersumberkan akidah bahawa Imam (pemimpin) adalah maksum. Berbeza dengan Ahlu Sunnah wal jamaah, yakni akidah kita pemimpin tidak maksum, maka pemimpin tidak boleh mengambill harta orang lain tanpa sebab dan berasaskan maslahah akal semata-mata tanpa dipandu oleh nas.

Tuntasnya, hujah maslahah seterusnya membolehkan pemimpin negara mengutip wang rakyat sesuka maslahah, maka itu adalah amalan dalam fiqh syiah, bukan fiqh sunni.

Kenapa Kaedah Fiqh Tidak Boleh Dijadikan Hujah Dalam Isu Ini?

Antara hujah yang agak masyhur digunapakai oleh gologan yang membolehkan kutipan cukai sesuka hati ialah kaedah yang berbunyi (maksudnya):

“Tindakan pemimpin terhadap rakyat adalah berdasarkan maslahah.”

Golongan yang berhujahkan dengan kaedah ini melakukan kesilapan dari tiga sudut:

    1. Dari segi mengguna pakai kaedah di tempat yang ada nas yang terang.

 

    1. Kaedah bukan hujah, tetapi ia adalah garis panduan memahami nas dan hukum furu’. Oleh itu, kaedah hanya digunapakai ditempat yang tiada nas bukan ditempat yang berlawanan dengan nas.

 

  1. Golongan yang mengguna pakai kaedah tadi bagi mengharuskan tindakan pemimpin mengutip cukai seolah-olah memahami bahawa kaedah tersebut bermaksud: ‘tindakan pemimpin negara semuanya adalah demi maslahah’ walhal sudut kaedah tersebut ialah tindakan pemimpin mestilah dipandu oleh maslahah, jika tidak, maka ia tidak boleh dilaksanakan.

Adakah Darurat Membolehkan Kutipan Cukai?

Dari segi hukum, boleh dikatakan ijmak ulama terdahulu mengenakan cukai ke atas rakyat tanpa sebab yang dibenarkan syariat adalah haram. Persoalan yang tinggal ialah, adakah darurat boleh mengharuskan cukai dikutip?

Pertamanya, maksud difahami maksud dan makna darurat. Darurat bermaksud sesuatu yang tanpanya akan menyebabkan manusia hilang agama, nyawa, harta, akal dan keturunan. Jika tidak sampai ke tahap itu, maka ia bukan darurat membolehkan kutipan cukai yang haram. dengan maksud lain, jika setakat ingin menambahkan pendapatan negara, maka ia bukan darurat yang dimaksudkan syariat.

Jika kita perhatikan, kutipan GST bukan bagi menampung sesuatu keperluan darurat yang dimaksudkan oleh Syariat, bahkan ia lebih bersifat memenuhi dan menampung keperluan sistem konvensional, di mana sistem itu sendiri adalah bercanggah dengan Islam kerana bersifat ‘memusingkan harta sesama golongan kaya’.

Darurat yang di maksudkan syariat seperti negara yang sedang terdesak untuk dapatkan wang membeli senjata bagi mempertahankan negara yang sedang diserang oleh musuh seperti berlaku pertembungan antara Sultan Mamalik dengan Imam Nawawi untuk kenakan cukai ke atas rakyat justeru Mesir pada masa itu berada pada saat genting justeru hendak diserang oleh tentera Monggol yang tidak terkalah.

Dalam keadaan darurat perang beginipun masih lagi berlaku khilaf dalam kalangan ulama adakah cukai yang tidak bersumberkan nas boleh dikutip?

Al-Dhohhak dan lain-lain berpendapat, cukai tidak harus dikenakan dalam apa keadaan sekalipun, manakala imam Juwaini, Al-Ghazali dan lain-lain berpendapat harus mengenakan cukai bagi keperluan-keperluan tertentu (darurat).

Jika diperhatikan khilaf ini, ia sebenarnya khilaf dari sudut keadaan dan suasana, bukan khilaf dari sudut dalil dan nas. Khilaf ini kita dapat simpulkan bahawa, jika zakat dan sumber lain mencukupi, maka ulama bersepakat bahawa cukai tidak harus dikutip daripada rakyat. Khilaf hanya berlaku jika sistem cukai Islam sumber lain tidak mengcukupi untuk keperluan Negara.

Bagi pendapat yang menyatakan harus mengutip cukai darurat, mereka telah meletakkan syarat-syarat yang mengharuskan kutipan cukai. Syarat-syaratnya adalah seperti berikut:

    1. Negara mestilah berpegang teguh dengan ajaran Islam. Dalam erti kata lain, negara mestilah menjalankan sistem ekonomi Islam termasuk sistem percukaian Islam sepenuhnya seperti zakat sebagai sistem cukai utama negara.
    2. Hajat kepada percukaian hendaklah benar-benar berlaku.
    3. Baitul Mal benar-benar telah kekeringan sehingga tidak dapat memenuhi hajat dan keperluan rakyat.
    4. Meminimakan seboleh mungkin tekanan terhadap individu rakyat dengan cara-cara yang selain cukai. Oleh itu, sebelum mengutip cukai daripada rakyat, kerajaan disarankan supaya mengutip sumbangan ikhlas serta menggalakkan rakyat memberikan derma dalam menyelesaikan sesuatu keperluan sebelum cukai dikenakan.
    5. Kutipan cukai hendaklah diputuskan hasil perbincangan golongan fuqaha dan profesional berkait dengan isu tertentu.
    6. Cukai hendaklah dikenakan ke atas orang-orang yang kaya sahaja dan ia langsung tidak harus dikenakan ke atas orang-orang miskin.
    7. Cukai hendaklah dalam bentuk sementara. Ia akan terhapus dengan hilangnya hajat dan keperluan. Cukai tidak boleh dikenakan secara berterusan dan dijadikan pendapatan utama berbanding zakat.
    8. Wajib meraikan keadilan di dalam perwartaannya dan pemungutannya. Maka kadarnya hendaklah sekadar keperluan. Keperluan ini tidak boleh dijadikan alasan untuk mengutip cukai lebih daripada rakyat.

Sebahagian ulama seperti Imam Nawawi meletakkan syarat bahawa cukai apabila dikatakan darurat dan perlu, maka hendaklah terlebih dahulu ia dibayar oleh pemimpin tertinggi, jika tidak cukup maka ia baru diturunkan ke bawah dan ke bawah, tetapi tidak boleh sampai dikutip daripada golongan miskin. Beliau berkata kepada Sultan Zaher Bebrus: “Aku tahu bahawa engkau dulunya seorang hamba kepada Gabenor di Bendaqar dan engkau tiada harta satu pun. Kemudian Allah memberi peluang kepada engkau dengan diberikan pangkat raja. Aku dengar engkau mempunyai seramai 1,000 hamba dan setiap hamba tali pengikat kuda disaluti emas. Engkau ada 200 hamba perempuan dan setiap seorangnya ada emas. Apabila engkau keluarkan semua itu (sebagai pembayaran cukai) sehingga hamba-hamba engkau memiliki baju daripada kapas biasa berbanding memiliki perhiasan emas seperti sekarang, maka baru aku fatwakan engkau harus mengambil cukai daripada orang ramai.” – Al-Bidayah Wa An-Nihayah.

Kesimpulan Dan Penutup

Dari sini kita dapat simpulkan hukum cukai moden adalah haram menurut Islam berdasarkan sebab-sebab yang dinyatakan di atas. Sebagai seorang muslim (sama ada dalam bentuk individu atau kerajaan) tidak sepatutnya mengambil harta orang lain melainkan tempat-tempat dan keadaan yang dibenarkan oleh Islam sebagaimana yang ditunjukkan oleh nas dan dalil-dalil syarak.

Cara ini adalah cara-cara sistem ekonomi yang sama sebagaimana yang telah dilaksanakan oleh Khulafa Ar-Raasyidin seperti Saidina Abu Bakar, Saidina Umar, Saidina Osman dan Saidina Ali, di samping cara Saidina Umar Abdul Aziz di atas.

Hari ini ada pemimpin yang cuba menonjolkan mereka juga adil seperti Khalifah Umar Abdul Aziz. Persoalanya, adakah mereka memahami bagaimana cara pemerintahan beliau? Sebagaimana pepatah arab menyebut: “Kamu mahukan kejayaan sedangkan kamu tidak melalui jalannya. Sesungguhnya kapal tidak akan berjalan di atas daratan.” 

Bermaksud, jika anda mengkagumi keadilan Umar Abdul Aziz dan gah dengan Baitulmalnya melimpah ruah. Kemudiannya anda melaksanakan cara yang bukan ekonomi Islam yang telah ditelusuri oleh Saidina Umar Abdul Aziz, maka mustahil keadilan yagn sama akan terlaksana.

Artikel isu berkaitan:

TRANSKRIP WAWANCARA KETUA SETIAUSAHA KEMENTERIAN KEWANGAN DALAM PROGRAM RUANG BICARA

Bernama
2/11/2013
KUALA LUMPUR, 2 Nov (Bernama) — Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah telah menjadi tetamu dalam program Ruang Bicara terbitan Bernama TV mengenai ‘Bajet 2014: Kesejahteraan Rakyat’, yang disiarkan Jumaat malam.
Berikut ialah transkrip wawancara berkenaan yang antara lain membincangkan Belanjawan 2014, Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan rasionalisasi subsidi.
S: Ada kenyataan yang menyatakan Bajet 2014 telah dieksploitasi oleh ahli-ahli parti politik itu sendiri, (dan) pihak-pihak lain tertentu malah ada yang menyatakan Bajet ini bersifat perkauman, hanya memberi keistimewaan kepada satu kaum dan tidak kepada kaum-kaum lain yang berada di Malaysia.
J: Bajet kali ini tidak diklasifikasikan untuk kaum tertentu dan sebagainya dari segi bantuan perumahan, BR1M, pendidikan. Tidak perlulah mempertikaikan golongan yang tidak bernasib baik dan berpendapatan rendah yang masih ketinggalan, contohnya kaum India di ladang-ladang yang prestasi murid-murid kurang memberangsangkan, kita buat program intervensi khusus. Begitu juga kaum Bumiputera yang masih ketinggalan dari segi ekonomi. Langkah-langkah yang telah pun diumumkan oleh PM sedikit sebanyak memperkukuhkan kedudukan ekonomi Bumiputera. Ini tidak boleh dilihat sebagai racist kerana keseluruhan Bajet ini adalah untuk semua kaum, hanya kita sediakan langkah-langkah tertentu untuk menangani isu-isu tertentu.
.
S: Adakah Tan Sri bersetuju kalau dikatakan barangkali juga pihak-pihak tertentu di luar sana yang hanya melihat Bajet itu dari satu aspek yang mungkin akan memberi keuntungan kepada mereka dan sebab itulah masih ada persepsi yang bersifat negatif. Mereka mengatakan Bajet ini akan membebankan rakyat.
J: Bajet ini makin diperluaskan dari segi bantuan, yang pertama pemberian BR1M, dari RM500 kepada RM700, (yang mana) RM50 untuk i-BR1M ataupun insurans. Kalau seseorang hilang keupayaan kekal ataupun kematian, maka keluarganya akan terima RM30,000. Dalam bajet ini juga golongan yang berpendapatan RM3,000 – RM5,000 juga diberi BRIM sebanyak RM500 di mana RM450 secara tunai dan RM50 secara i-BR1M. Dan untuk individu bujang, kami tingkatkan dari RM250 kepada RM350. Dan juga untuk golongan pertengahan, dari segi perlepasan cukai RM2,000 yang kalau di kira rata-rata mereka dapat menjimatkan RM480. Jadi inilah antara perkara yang kita sediakan kepada rakyat. Dari segi perumahan, macam-macam kita ada, antaranya my HOME. Di mana harga rumah RM75,000 hanya dijual RM45,000. RM30,000 disubsidikan oleh kerajaan untuk pemaju untuk memajukan perumahan. Untuk golongan berpendapatan pertengahan, kita ada RM170,000 harga rumah, subsidi RM30,000. Patutnya harga rumah RM200,000. Kita mahu pemaju-pemaju perumahan memajukan rumah-rumah ini dikawasan permintaan tinggi, bandar dan di pinggir bandar, jadi kalau nak dikatakan Bajet ini membebankan rakyat, saya amat tidak setuju kerana banyak perkara yang kita sediakan untuk rakyat supaya mudahkan kehidupan rakyat.
.
S: Ada yang menyatakan apakah kehendak golongan generasi muda. The so-called Gen-Y di Malaysia ini juga sebenarnya telahpun diberikan sesuatu yang cukup istimewa dalam Bajet kali ini.
J: Ya, dalam Bajet kali ini satu perkara yang istimewa untuk golongan muda adalah tentang pembangunan usahawan. Banyak yang kita buat, antaranya 1Malaysia Entreprenuership. Kita pergi ke negeri-negeri dan beri pendedahan kepada belia terutamanya bawah umur 40 tahun. Apabila kita adakan GES (Global Economic Summit atau Sidang Kemuncak Keusahawanan Global) di KLCC baru-baru ini, yang sepatutnya Obama datang, kita dapat kumpulkan 5,000 ‘youngster’ yang bakal jadi usahawan. AS (Amerika Syarikat) sendiri kagum betapa minatnya rakyat Malaysia untuk menjadi usahawan. Dan sering kali saya katakan dalam pelbagai forum kalau Malaysia ingin menjadi negara berpendapatan tinggi, negara maju, maka kita perlu memperbanyakkan usahawan.
Kerana dengan makan gaji di kerajaan ataupun sektor swasta, kita tidak akan menjadi negara maju kerana gaji tidak akan naik. Tetapi usahawan ini terlibat dengan aktiviti nilai tambah tinggi, contohnya dalam ICT, pertanian yang mempunyai nilai tambah tinggi dan eksport barang tinggi. Mereka boleh bayar gaji yang lebih tinggi kepada pekerja. Dengan itu negara boleh dapat taraf negara maju lebih pantas. Sebab itulah polisi kita dalam Bajet ini, kita akan melahirkan 5,000 entrepreneur dalam pelbagai bidang setiap tahun. PM juga ada umumkan MaGIC Centre yang akan kolaborasi dengan universiti, institusi luar negara untuk melahirkan usahawan-usahawan baru. Ia akan menjadi one-stop centre untuk melahirkan usahawan. Ini perkara baru selain dari latihan-latihan teknikal yang disediakan di IKBM, ILP (Institut Latihan Perindustrian) dan sebagainya. Ini untuk belia semua.
.
S: GST satu isu yang cukup panas sekarang ini terutamanya menjelang pilihan raya di Sungai Limau. Isu ini digunakan sebagai satu isu politik, dieksploitasikan dengan begitu rupa dan mengelirukan rakyat sebenarnya. Kesempatan ini saya ingin menggunakan ketika bersama dengan Tan Sri untuk mendapatkan gambaran yang jelas. Walaupun GST cuba diperkenalkan sejak tahun 2009, tetapi hanya 2015, Insya Allah mungkin akan dilaksanakan. Jadi penjelasan semudah-mudahnya apa GST ini sebenarnya?
J: Sebenarnya lebih daripada 160 buah negara telah melaksanakan GST. Negara yang maju, negara yang lebih mundur dari kita. Kalau benda ini tak bagus mereka pun tidak akan laksanakan. Dari segi pendapatan hasil kerajaan pun akan lebih stabil disamping memberi ketelusan dalam penggunaan cukai kepada rakyat. Sekarang ini memang kita dah bayar cukai. Ada dua cukai kita sedang bayar. Cukai jualan iaitu cukai yang dikenakan 5.0 peratus dan 10 peratus. Cukai perkhidmatan pula 6.0 peratus. Jadi kita nak mansuhkan cukai jualan dan juga cukai perkhidmatan dan diganti dengan satu cukai baru kita panggil cukai barangan dan perkhidmatan atau GST. Di setengah negara, ia dipanggil value-added tax. Jadi GST ini akan menggantikan cukai yang kita bayar sekarang SST. Contohnya air mineral. Kalau dihasilkan di kilang maka dikenakan 10 peratus di bawah cukai sedia ada iaitu SST. Sekiranya harga RM1.00, akan jadi RM1.10. Apabila di hotel dan runcit, kena 6.0 peratus lagi. Di bawah cukai GST, yang akan ganti cukai SST tadi, dia hanya perlu bayar sekali sahaja sebanyak 6.0 peratus. Jadi harga RM1.06. Berbanding dengan yang lain, 16 peratus. GST ini adalah cukai yang bergantung kepada nilai tambah tapi cukai SST adalah compounded, ataupun cukai berganda. GST adalah lebih rendah daripada SST. Saya harap perkara ini tidak teknikal, telah saya permudahkan.
.
S: Tapi masalah yang selalui ditimbulkan di luar sana, bila kita cakap tentang bagaimana perkara-perkara menarik dalam Bajet 2014, termasuklah GST ini, dieksploitasikan oleh pihak tertentu. Mereka menyatakan tidak cukup penerangan yang diberikan kepada rakyat, terutamanya mereka di peringkat bawahan. Pakar ekonomi barangkali boleh memberi penerangan tetapi dengan economic jargon yang terlalu besar, tidak boleh difahami oleh rakyat. Jadi apa langkah yang perlu dilakukan oleh kerajaan untuk memberi penerangan kepada rakyat bahawa GST bukanlah satu usaha untuk menekan kehidupan mereka.
J: Kita akan memberi penerangan kerana kita ada 17 bulan untuk melaksana. Sebab itu kita ambil masa agar penerangan diberi kepada setiap individu di Malaysia termasuk perniagaan syarikat, SME dan sebagainya. Semasa penerangan ini juga, kita akan beritahu bukan semua barangan akan dikenakan cukai. Ada barangan dikecualikan, ada barangan kita kenakan zero-rated tax. Contoh barangan makanan, sayur-sayuran, buah-buahan tempatan, susu kanak-kanak, dan beratus barangan lain tidak dikenakan cukai. Ada juga yang dikecualikan sepenuhnya seperti pengangkutan, pendidikan, kesihatan yang menjadi kepentingan kepada rakyat yang berpendapatan rendah. Jadi GST ni sama juga seperti consumption tax (cukai penggunaan).
Mereka yang menggunakan lebih banyak, pergi restoran yang mahal, maka terpaksalah membayarnya. Jadi orang itulah yang akan kena bayar lebih banyak dari yang miskin. Yang miskin ni, tidak beli barang yang mewah dan macam-macam. Jadi mengelirukan rakyat, kata membebankan rakyat dan sebagainya itu tidak betul. Dan satu lagi, kerajaan telah buat satu pakej keseluruhan. Kerajaan menambah pemberian BR1M sebanyak RM300 untuk mengurangkan beban rakyat pada masa kita perkenalkan GST pada 2015. Dari segi cukai individu dikurangkan 1.0 peratus, untuk korporat dikurangkan 1 peratus pada 2016. Begitu juga diberi latihan bagaimana GST boleh dikendalikan. Pengecualian software, latihan kepada syarikat secara percuma. Kerajaan telah memperuntukkan wang yang mencukupi, jadi kita tidak terburu-buru. Perkara ini telah kita kaji lama, jadi perlaksanaan harapnya dalam 17 bulan ini dapat dijalankan sebaik-baiknya dengan penerangan secukupnya kita akan bagi.
.
S: Ada pendapat, golongan yang amat tidak setuju apabila GST diperkenalkan adalah golongan berada. Tetapi golongan berada ini dapat lari daripada income tax dan sebagainya. Mereka inilah yang merasakan GST itu tidak perlu diperkenalkan, komen Tan Sri?
J: Saya memang setuju. Satu lagi, mereka yang tidak membayar cukai, syarikat-syarikat yang tidak membayar cukai pada masa ini, merekalah yang membuat perkara-perkara yang tidak betul mengenai GST dan sebagainya. Sebenarnya GST akan membuat satu perkara yang baik, iaitu, mereka yang tidak bayar cukai pun akan membayar cukai. Sebab barang-barang yang mereka beli itu dikenakan cukai. Jadi untuk kebaikan mereka sendiri, mereka akan daftarkan diri mereka supaya dapat membuat tax claim untuk barang-barang input production. Banyak syarikat kecil-kecil, seperti bengkel membaiki motor contohnya yang tidak bayar cukai. Tetapi kali ini, untuk barang-barang input yang mereka beli yang dikenakan cukai, mereka harus daftar dengan kerajaan supaya boleh dapat claim tax input. Jadi keuntungan bagi syarikat-syarikat tersebut. Tapi kalau mereka tidak daftar, mereka jalan seperti biasa, keuntungan itu mereka tidak dapat claim. Maka syarikat-syarikat kecil pun akan ke hadapan untuk mendaftar sebagai pembayar cukai.
.
S: Menyentuh mengenai BR1M, mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana akan menikmati pemberian ini. Kadang-kadang pemberian ini dieksploitasikan. Mereka menganggap pemberian BR1M itu seperti memberi ikan tetapi tidak memberi pancing. Sampai bila perkara ini akan dilakukan oleh kerajaan sebenarnya dan apa faedah yang boleh dinikmati oleh rakyat kalau ini berlaku?
J: Kita tengok banyak negara yang ada sistem subsidi yang bersasar. Kalau kita kurangkan subsidi, maka subsidi petrol itu boleh disalur kepada golongan berpendapatan rendah. Mereka ini yang berpendapatan RM3,000 ke bawah, malah sekarang ni pun RM4,000 ke bawah pun akan dapat BR1M. Mereka telah ada pekerjaan, kita telah menyediakan banyak kemudahan dari segi latihan, perniagaan, mereka boleh pergi ke MARA dapatkan pinjaman nak mulakan perniagaan. Mereka boleh pergi institut latihan untuk dapatkan latihan, nak jadi mekanik, pembaiki wayar dan sebagainya. Jadi pancing ini telah diberi lebih awal. Yang ini adalah untuk meringankan kos sara hidup, beban mereka. Malaysia ini negara yang bertuah, kerajaan amat prihatin. Pelbagai jenis ada, nak jadi doktor boleh, akauntan boleh, cakap saja. Banyak dah sediakan kemudahan. Tanya diri sendiri, apa yang saudara ingin jadi. Kita ada PUNB, MARA, SME Bank, BSN, semuanya menyediakan pelbagai pinjaman, kemudahan latihan, macam kita suap dah. Tinggal tepuk dada, tanya selera.
.
S: Masih terdapat pandangan yang menyatakan tidak mustahil kadar inflasi disebabkan oleh pengenalan GST, penarikan semula subsidi gula, kenaikan harga barang dan juga perkhidmatan. Itu akan memberi satu kesan kepada kehidupan rakyat. Mungkin juga inflation rate itu akan meningkat disebabkan oleh perkara ini seperti apa yang dilakukan dan diperkenalkan di dalam bajet kali ini?
J: Kalau kita tengok inflasi Januari hingga Ogos, amat rendah 1.7 peratus. Kalau kita tengok hingga hujung tahun ini, mungkin ia naik hingga 2.0 peratus, satu keadaan inflasi yang amat rendah berbanding negara-negara jiran dan juga negara yang lain. Dan pada masa inilah amat sesuai laksanakan GST di mana keadaan inflasi rendah dan kita juga menganggarkan GST ini akan menyebabkan sedikit kenaikan dalam inflasi dan harga barang oleh kerana GST baru diperkenalkan. Ada yang belum dapat claim ataupun membuat tuntutan daripada kerajaan, maka harga dia meningkat sedikit, dan juga ada yang mengambil kesempatan yang spekulatif, jadi menyebabkan keadaan akan naik one-time spike, ataupun sekali naik. Jadi mungkin tahun perkenalan GST pada 2015, mungkin ada kenaikan 1.5 peratus inflasi tetapi kebanyakan negara mengunjurkan, kita belajar dari negara lain seperti Kanada, US dan Singapura, menunjukkan sekali naik, tetapi selepas setahun ia stabil balik dan kemudian moderate menurun.
.
S: GST pada kadar 6.0 peratus antara terendah di benua dan negara Asean tetapi negara seperti Singapura pendapatan mereka jauh lebih tinggi dari Malaysia. Adakah kerajaan akan pantau pendapatan negara atau nak naikkan lagi?
J: Kalau dibanding memang 6.0 peratus adalah terendah tetapi bagaimana kita menangani hal inilah kita mengurangkan cukai pendapatan 1.0 kepada mereka yang bayar cukai. Yang bayar cukai pun bergaji RM4,000 ke atas sahaja. Untuk yang RM4,000 ke bawah kita sediakan BR1M untuk mengurangkan beban mereka. Dan kita memperkenalkan BR1M 2015 untuk menangani kos kenaikan harga barang ataupun mengurangkan beban mereka, jadi banyak yang telah pun kerajaan sediakan. Dari segi kesihatan kita sediakan kesihatan percuma. Sesetengah negara ada GST, tapi mereka kena bayar untuk kesihatan, bil yang tinggi kalau tiada insurans. Di Malaysia, hampir percuma, hanya perlu bayar RM1 dan boleh dapat perkhidmatan dari Klinik 1Malaysia. Jadi kos yang kerajaan tanggung adalah amat tinggi. Dari segi pelajaran, pendidikan percuma kita bagi dan juga kita bagi RM100 untuk kanak-kanak sekolah, dan juga voucher buku untuk pelajar universiti. Jadi kalau kita menjumlahkan jumlah bantuan sesuatu keluarga terima, amat besar dari segi bantuan yang kerajaan bagi untuk mengurangkan beban kos. Implikasi 1.0 peratus ini amat kecil berbanding dengan insentif ataupun bantuan yang kerajaan telah sediakan.
.
S: Apakah kerajaan sendiri sudah bersedia untuk menghadapi perubahan ini, adakah kerajaan dari segi sistem penyampaian sudah bersiap sedia, tidak berlaku ketirisan, rasuah dan sebagainya?
A: sebab itu dalam bajet ini juga kita menekankan laporan audit yang baru-baru ini, dari segi perbelanjaan kerajaan lebih berhemah. Mereka yang tidak mengikut prosedur, peraturan, guideline akan dibawa ke muka pengadilan. SPRM juga telah mengambil tindakan. Dari segi JPA pun akan memanggil mereka yang terlibat dengan kecuaian. Ini adalah satu cara untuk menghindarkan daripada berlakunya pembaziran di peringkat kerajaan. Di samping itu, dari segi perlaksanaan, semua program, projek, langkah-langkah kerajaan dan juga percukaian dan sebagainya, kita sekarang lebih telus. Contohnya, GST kita ambil 17 bulan supaya tidak berlakunya masalah. Sebab tu 17 bulan ni kita nak pergi turun padang, jumpa rakyat, jelaskan kepada rakyat dan juga perniaga, peruncit dan sebagainya. Yang mana tiada software kita akan install. Kerajaan dulu dengan kerajaan sekarang sudah berbeza. Sekarang kita tidak takut, sesuatu yang salah di pihak kerajaan, explain, terangkan kepada kerajaan, kita perbetulkan diri kita, itu lah kerajaan sekarang.
.
S: Keseriusan kerajaan untuk melaksanakan GST. Ini juga satu perkara yang dimainkan di luar sana. Mereka menyatakan mungkin sekiranya menerima tekanan dari pihak tertentu, ia akan ditarik balik. Kita ingat sejarah GST itu sendiri, sejak dari tahun 2009 ingin diperkenalkan tetapi tidak dapat dilaksanakan oleh sebab tertentu. Tetapi keseriusan kerajaan hari ini, apakah Tan Sri boleh memberi jaminan bahawa kerajaan serius untuk melaksanakannya?
J: Bagi saya kerajaan amat serius kali ini untuk melaksanakan GST. Pernah saya satu ketika ditanya apakah kerajaan mempunyai pilihan, saya kata “GST is not an option, it’s a must”. Malah sebelum Bajet dibentang saya sudah rasa GST ini sesuatu yang perlu. Begitu juga kita nak pemerintah, kerajaan mereka juga serius bahawa GST ini amat perlu dan di luar sana para penganalisis, para agensi penarafan sedang melihat sama ada Malaysia mmpunyai political will atau pun keupayaan dan juga keseriusan melaksanakan GST. Walaupun Fitch telah mmberi negative outlook kepada kita, tetapi bila kita mengumumkan bahawa kita akan laksanakan GST, mereka masih mengekalkan negative outlook tetapi mereka sedang memerhatikan Malaysia sama ada kita serius melaksanakan GST. Kita ada 17 bulan lagi. Dalam tempoh ini, kita akan memberi penerangan secukupnya kepada rakyat dan juga kita akan melaksanakan segala perkara yang perlu dari segi perundangan, teknikal dan segi peralatan semua kita akan sediakan. Kemudian barulah kita akan laksanakan pada 1 April 2015. Dan dalam pada itu, kita telah mengadakan banyak perbincangan sebelum ini dengan para akademik, persatuan, pengeluar, semuanya memberi sokongan.
Persatuan pengguna juga memberi sokongan seperti FOMCA jadi pandangan orang ramai ini, telahpun kita ambil kira sebelum kita mengumumkan. Kita juga akan menggunakan media untuk memberi penerangan yang lebih supaya senang rakyat memahaminya kerana golongan yang tidak bertanggungjawab, mengelirukan rakyat menyatakan GST ini satu cukai tambahan kepada cukai sedia ada. Sebenarnya bukan tambahan, sebenarnya cukai yang sedia ada ini akan dihapuskan dan diganti dengan cukai yang lebih telus dan lebih rendah. Pada hakikatnya sesuatu yang rendah itu mestilah membuatkan barang itu lebih murah.
.
S: Nasihat dan harapan Tan Sri kepada rakyat Malaysia. Janganlah melihat bajet itu dengan berlandaskan kepada petikan daripada satu-satu perkara tetapi lihatlah bajet itu secara keseluruhannya. Macam anologi yang disebutkan oleh rakan saya dalam ruang bicara sebelum ini, jangan jadi seperti orang buta yang ingin menilai seekor gajah, pegang ekor, kecil gajah ini tetapi bila pegang kaki, besar juga gajah ini.
J: Selalunya rakyat di sana, setiap kali bajet, diperkatakan apa keuntungan yang ada. Kalau kakitangan kerajaan, berapa bulan bonus kerajaan nak bagi, kalau peniaga mereka tengok apa cukai yang kerajaan nak hapuskan, bagi suri rumah, apa yang kerajaan nak bagi pada mereka. Tapi sebagai seorang rakyat yang bertangungjawab, kita harus tengok secara keseluruhan apakah bajet itu dalam jangka masa panjang akan memberikan faedah kepada rakyat dan negara. Adakah negara kita akan terus menjadi negara berdaulat, ekonominya mapan, tidak runtuh, kedudukan kewangannya mampan. Itulah yang kita lihat. Kita tidak ingin menjadi sebuah negara yang bankrap seperti di Eropah sana dan juga negara yang terus menghadapi masalah, pengangguran, ekonomi tidak begitu kukuh dan sebagainya. Sebab itu kalau kita tengok banyak sektor baharu yang kita perkukuhkan. Salah satu contohnya sektor penerbangan. Kita sedang melihat begitu pesat perkembangan sektor penerbangan. Contohnya, MAS, dari segi demand, lebih tinggi daripada Singapore Airline dan AirAsia. Jadi kita mempunyai potensi menjadi hab di rantau ini. Dan dengan adanya KLIA2, kita mempunyai tiga landasan. Dari segi air traffic control system sudah usang, 20 tahun lebih. Kita kena menggantikan supaya pendaratan boleh cepat, tanpa kelewatan dari segi handling facility. Kalau kita tengok keadaan sekarang di lapangan terbang, keadaannya banyak kelewatan berlaku dari segi pendaratan. Jadi inilah antara perkara-perkara yang kita perlu selesaikan untuk menjadi hab penerbangan. Salah satu contoh yang lain dari segi pertanian, kita tubuh satu export council di mana barang yang petani keluarkan, tiada orang tengah dan terus di jual kepada wholesale untuk dieksport.
— BERNAMA
Share:
Written by Ustaz Nik Nasri Nik Malek
Pegawai Khas (Agama) Pejabat Menteri Besar Terengganu