Dr Mursi Presiden Mesir. Pemimpin Kita Juga

mursiPolitik Mesir mencatat sejarah baharu dengan kemenangan Dr Mursi. Penjara Mesir juga menarik. Nabi Yusof memasukinya dan ramai aktivis Islam di zaman moden memasukinya.

Hakikatnya, Allah memberi kuasa kepada orang yang dikehendakiNya dan Allah menarik kuasa dari orang yang dikehendakinya.

Politik Mesir amat menarik untuk diikuti.

Antara artikel-artikel berkaitan:

.

.

Dr Mursi Umum 4 Langkah Pertama Sebagai Presiden Mesir

http://greenboc.blogspot.com, 27 Jun 2012

Presiden Mesir yang baru, Dr.Muhammad Mursi mengumumkan empat langkah pertamanya sebaik saja beliau dengan rasminya diisytiharkan sebagai Presiden.

Keempat-empat langkah itu ialah:

Pertama: Menyumbangkan wang gaji Presidennya untuk kebajikan rakyat Mesir

Kedua: Mengeluarkan arahan tidak menggantungkan gambarnya di bangunan kerajaan atau menerbitkan apa-apa iklan ucapan tahniah di dalam akhbar.

Ketiga: Semalam beliau menerima kunjungan ibu kepada Khaled Said dan keluarga mereka yang terbunuh pada perhimpunan 25 Januari, di Istana Presiden dan mengarahkan pengawal istana untuk tidak menghalang keluarga mereka yang syahid itu dari menemuinya pada bila-bila masa. Beliau juga berjanji untuk menghukum mereka yang membunuh para peserta perhimpunan dengan mendakwa semula bekas Presiden Hosni Mubarak dan menteri dalam negeri, Habib al-Adli, serta lain-lain defenden di atas kes membunuh para demonstran. (Lebih 800 orang terbunuh dan 6,000 cedera semasa perhimpunan 25 Januari Hizbut-Tahrir.)

Keempat: Mengarahkan pihak keselamatan mengurangkan bilangan kenderaan bagi mengiringinya bertujuan tidak mahu mengganggu pergerakan lalulintas rakyat awam dan rkata, pihak tertinggi pasukan keselamatan juga meminta Mursi dan menolak permintaan pihak keselamatan yang meminta keluarga beliau berpindah ke Villa As-Salam bersebelahan Istana Itthadiyah akan tetapi Mursi tetap mahu kekal tinggal di kediamannya sebelum ini di Tajammuk.

“Saya Tidak Mahu Rakyat Benci Saya Hanya Kerana Kenderaan Saya”- Mursi

Presiden Mesir, Dr.Muhammad Mursi ketika memasuki Istana Presiden Isnin semalam bagi meninjau keadaan istana yang dikosongkan lebih setahun lalu meminta pihak keselamatan mengurangkan bilangan kenderaan bagi mengiringinya bertujuan tidak mahu mengganggu pergerakan lalulintas rakyat awam.

Memetik sumber “Al-Masryl Youm” bahawa sewaktu melawat Istana Ittihadiyah semalam, Mursi meminta pihak keselamatan mengurangkan kenderaan pengiringnya. Beliau dipetik berkata, “Saya tidak mahu rakyat bencikan saya dengan sebab kenderaan Presiden.”

Sumber dipetik sebagai berkata, pihak tertinggi pasukan keselamatan juga meminta Mursi dan keluarga beliau berpindah ke Villa As-Salam bersebelahan Istana Itthadiyah akan tetapi Mursi tetap mahu kekal tinggal di kediamannya sebelum ini di Tajammuk Khamis.

Sementara itu, Dr. ‘Isom ‘Iryan, Naib Presiden Parti Kebebasan dan Keadilan (FJP) dalam satu temuramah berkata, Dr.Mursi juga akan menyumbangkan gajinya untuk kebajikan rakyat Mesir

.

P’raya Presiden melakar masa depan baru Mesir

Syed Ahmad Fadhli, 29 Mei 2012

Setelah tumbangnya kerajaan pimpinan Presiden Hosni Mubarak pada revolusi Januari 2011, kini rakyat Mesir berpeluang untuk membuat pilihan secara bebas dalam pilihanraya presiden. Ia merupakan ujian yang besar untuk melihat sama ada kebangkitan di Tahrir Square  itu benar-benar membuahkan hasil dengan tamatnya riwayat rejim lama yang autokratik dan membina sebuah negara baru yang lebih demokratik.

Keputusan rasmi pilihanraya yang baru diumumkan menunjukkan calon Freedom and Justice Party (FJP), Dr Mohammed Mursi mendahului dengan meraih 24.4% bersamaan 5 764 952 undi manakala calon Pro-Mubarak, Ahmed Shafiq mendapat 23.3% undi. Ia diikuti dengan tokoh sosialis, Hamdin Sabahi daripada Parti al Karamah yang mendapat 23.3% undi manakala calon bebas yang juga merupakan bekas ahli Ikhwanul Muslimin, Abdul Moneim Aboul Futuh pula memperoleh 17.2%  undi.

.

Berikutan daripada tidak ada calon yang memperoleh sokongan melebihi 50% maka pusingan ‘run-off’ perlu diadakan. Pertembungan sengit dijangka akan berlaku antara Dr. Mursi  dan Shafiq. Keputusan ini agak mengecewakan bagi aktivis pro-demokrasi kerana calon pilihan mereka iaitu Sabahi dan Abdul Moneim gagal ke pusingan seterusnya. Ia juga mengejutkan sesetengah pihak bagaimana Shafiq yang pernah menjawat jawatan Perdana Menteri ketika di hujung pemerintahan Mubarak itu boleh mendapat undi yang besar sekaligus layak ke pusingan penentu pada pertengahan Jun nanti.

.

Pilihanraya presiden yang turut dipantau oleh mantan Presiden Amerika Syarikat, Jimmy Carter ini begitu signifikan buat rakyat Mesir kerana ia merupakan titik-tolak untuk mereka memilih Presiden baru yang akan mengetuai negara setelah 30 tahun diperintah oleh diktator daripada kalangan tentera. Hasil daripada revolusi yang berlaku menunaskan harapan yang menggunung tinggi dalam jiwa sanubari rakyat untuk melihat negara Mesir yang baru.

Namun, jalan itu penuh berliku dan ia tidaklah seindah yang diimpikan bak kata pepatah “ku sangkakan panas sampai ke petang rupanya hujan di tengah hari”.  Sehingga ke hari ini, Mesir masih ditadbir oleh Supreme Council of the Armed Forces (SCAF), yang diketuai oleh Jeneral Muhammad Hussein Tantawi. Sebagaimana yang diketahui ramai, institusi tentera Mesir merupakan antara saki-baki pewaris Mubarak yang senantiasa berusaha melemahkan kebangkitan rakyat.

.

Keamanan dan kestabilan masih belum dapat diwujudkan dengan sempurna. Kadar jenayah terus meningkat, ekonomi negara masih di tahap merudum dan sistem perkhidmatan awam tidak berfungsi dengan baik. Demonstrasi diadakan bersilih-ganti dan adakalanya berlaku pertempuran antara rakyat dan juga polis atau tentera. Rakyat terus mendesak Jeneral Tantawi agar segera menyerahkan kuasa kepada kerajaan yang dipilih rakyat. SCAF terus berdalih dan berjanji kuasa hanya akan diserahkan kepada Presiden yang baru pada 1 Julai nanti.

Ironinya, Presiden yang bakal menang kelak masih belum mengetahui kuasa yang akan diberikan mengikut perlembagaan.  Hal ini kerana perlembagaan yang baru masih belum disiapkan. Jawatankuasa penggubal perlembagaan yang majoritinya dikuasai oleh blok Islamis itu telah diboikot oleh blok liberalis dan ia telah digantung oleh Mahkamah Agung kerana dikatakan tidak mewakili pelbagai lapisan rakyat. Timbul kerisauan di kalangan umum sekiranya perlembagaan yang baru kelak akan memberi kuasa yang besar kepada golongan tentera. Kebimbangan ini ada asasnya apabila baru-baru ini Timbalan Perdana Menteri kerajaan sementara telah mengusulkan agar tentera mendapat bajet yang khusus yang tidak boleh disemak oleh parlimen.

.

Antara dua isu penting yang menjadi bahan kempen pilihanraya presiden ini ialah isu ekonomi dan keamanan. Taraf ekonomi Mesir yang sememangnya telah merudum sebelum berlaku revolusi kini masih belum pulih. Hampir separuh rakyat hidup di bawah paras kemiskinan, kadar pengangguran mencecah 25% dan kejatuhan kadar tukaran matawang asing.

.

Timbul juga persepsi bahawa Mesir telah menjadi semakin tidak aman dan huru-hara semenjak revolusi. Demonstrasi mingguan itu kadangkala bertukar ganas seperti yang berlaku pada awal bulan ini di hadapan Kementerian Pertahanan. Kerajaan Sementara juga tidak mendedahkan statistik kadar jenayah yang dikatakan terus meningkat termasuklah kes bunuh, rogol dan rompakan.

.

Walaupun undian umum media Mesir menjangkakan mantan Presiden Liga Arab, Amir Moussa yang akan mendahului dalam pemilihan pusingan pertama ini tetapi keputusan sebenar menunjukkan beliau hanya mampu berada di tempat kelima. Ada yang menganggap Dr. Mursi calon ‘spare part’ dan hanya pengganti kepada calon asal, Khairat Shater namun hasil kerja keras kempen partinya yang bertemakan “Islam is the Solution” telah membuahkan hasil. Sepanjang tempoh kempen Dr. Mursi menjadikan Renaissance Project sebagai agenda utama buat rakyat seandainya dipilih sebagai presiden kelak.

.

Lain pula kisah Shafiq yang digelar ‘feloul’ kerana pernah terlibat sama dalam rejim Mubarak. Shafiq tampil dalam kempen sebagai calon underdog yang lemah dan cuba meraih simpati ramai. Fokus kempennya pula berkisar pada pentingnya untuk mencegah kuasa golongan Islamis daripada terus melebar dan jaminan untuk mengembalikan kestabilan negara. Sokongan besar yang beliau perolehi ialah undi daripada golongan Kristian koptik yang risau akan kebangkitan Islam, golongan kroni Mubarak yang ingin terus mendapat manfaat, golongan polis dan tentera serta masyarat umum yang sudah keletihan dalam mencari keamanan pasca revolusi.

.

Antara isu lain yang menjadi tumpuan ialah polisi antarabangsa khususnya melibatkan Israel dan Amerika Syarikat. Israel pasti mengalami mimpi ngeri seandai negara jirannya ini diperintah oleh gerakan Islam yang berpengaruh, Ikhwanul Muslimin. Dr. Mursi berjanji untuk mengkaji semula Perjanjian Kem David 1979 manakala Shafiq awal-awal lagi akan terus mengekalkan perjanjian sedia ada. Kemenangan gerakan Islam juga akan turut memancarkan sinar harapan baru buat rakyat Palestin khususnya di Gaza. Manakan tidak, adalah menjadi kewajipan setiap Muslim untuk membantu saudara seakidahnya dan membebaskan kembali tanah suci Masjidil Aqsa daripada Zionis Yahudi yang kejam itu.

.

Masa depan politik Mesir masih belum dapat dijangkakan dengan tepat kerana situasi semasa menunjukkan jalan berliku ini tetap perlu dilalui samada calon Islamis yang menang mahupun pewaris Mubarak yang menang. Berlakunya polarisasi di kalangan pengundi antara dua kepentingan samada menerima calon Ikhwanul Muslimin yang lebih cenderung untuk melaksanakan syariah atau memilih calon yang pernah bersekongkol dengan Mubarak. Kemenangan Shafiq pasti akan meleburkan kembali semua impian mereka yang menginginkan Mesir yang baru.

Revolusi 2011 yang telah mengorbankan 1000 nyawa itu tidak sewajarnya berakhir dengan sebegitu rupa. Pengorbanan mereka yang tak ternilai harganya itu tidak sewajarnya dibayar dengan memilih untuk kembali kepada pemerintahan silam. Sesungguhnya cabaran besar sedang menanti Presiden dan kerajaan yang baru untuk menyatukan kesemua rakyat sama ada Muslim, Kristian, liberalis dan golongan kiri di bawah satu lembayung pemerintahan baru Mesir.

.

Kini, amanah besar sedang digalas oleh setiap rakyat Mesir untuk melakar masa depan mereka sendiri. Janganlah pula tersilap langkah kerana buruk padah pasti menanti bak kata pepatah “terlepas mulut harimau, masuk mulut buaya”.

.

Sungguhpun golongan liberalis berpendapat pusingan run-off ini adalah the worst-case scenario yang membuatkan mereka terpaksa memilih antara dua persimpangan namun bagi kita semua yakinlah bahawa hanyalah Islam ad-Din yang akan menjadi penyelamat bukan sahaja di dunia mahupun akhirat sepertimana firman Allah S.W.T dalam Surah Ali Imran ayat 85 yang bermaksud: “Barangsiapa yang mencari agama (ad-Din) selain daripada Islam maka ianya tidak sesekali akan diterima dan di akhirat kelak tergolong dalam golongan yang rugi.”

.


Calon Ikhwan menang p’raya Presiden Mesir

Dr. Syed Azman Syed Ahmad, 18 Jun 2012

KAHERAH: Setelah tamatnya tempoh mengundi pada jam 10 malam, proses pengiraan undi pusingan kedua pilihan raya Presiden terus berjalan di setiap pusat-pusat mengundi di seluruh Mesir.

.

Ia berjalan lancar dan tidak ada sebarang kekacauan besar yang dilaporkan berlaku setakat ini di seluruh Mesir. Akan tetapi pertandingan pusingan kedua ini telah menyerlahkan lagi pertembungan sengit antara calon dari gerakan Islam Ikhwan Muslimin dengan calon yang ditaja dari saki-baki pimpinan rejim Mubarak serta pihak tentera SCAF.

.

Proses pengiraan undi berjalan lancar terutama apabila baru-baru ini Parlimen telah mengeluarkan ketetapan bahawa hendaklah dibuat kiraan undi tempat undian itu sendiri bagi lebih menjamin ketelusan dan mengelakkan sebarang penipuan. Proses pengiraan ini  dikawal selia oleh seorang hakim dan wakil-wakil calon yang bertanding. Salinan keputusan di peti undi tersebut diberi kepada setiap wakil calon dengan ditandatangani sendiri oleh seorang hakim yang memang menyelia peti undi di sepanjang tempoh pengundian.

.

Keputusan tidak rasmi yang di keluaran setakat ini menunjukkan calon Ikhwan Muslimin Dr. Mohamad Morsi mendahului di kebanyakan daerah mengundi. Keputusan awal tidak rasmi mendapati Dr Mohamad Morsi mendapat 52.5% undi  iaitu lebih 12.7 juta undi manakala calon tajaan bekas rejim Mubarak, Ahmed Syafik mendapat 47% undi dengan 11.3 juta undi dan ketinggalan lebih satu juta undi di belakang Dr. Morsi.

.

Suasana di pejabat FJP nampaknya ceria dengan berita yang diterima setiap minit tentang keputusan bilangan undi yang banyak memihak kepada calon mereka Dr. Morsi. Pemuda-pemuda Ikhwan yang menjadi tenaga penting sepanjang pilihanraya ini kelihatan amat sibuk menyediakan bahan-bahan media dan juga melayan ramai pemberita-pemberita tempatan dan antarabangsa yang berkumpul di pejabat FJP.

.

Ya, keputusan tidak rasmi ini yang meletakkan calon Ikhwan Dr. Mohamad Morsi menang sebagai Presiden pertama dalam sejarah Mesir yang dipilih secara demokratik oleh rakyat. Kemenangan ini juga bakal menjadi ‘mimpi ngeri’ bagi Kuasa Barat yang selama ini menjadikan rejim Mubarak sebagai alat bagi melindungi Israel dan menjaga kepentingan strategik mereka di Timur Tengah. Begitu juga dengan saki-baki rejim Mubarak yang masih dapat memperalatkan institusi kehakiman dan polis serta pihak tentera SCAF yang banyak melakukan tindakan bertentangan dengan perlembagaan Mesir sendiri bagi melindungi kepentingan kedudukan mereka.

.

Seperti yang telah dimaklumi, Parlimen Mesir baru sahaja dibatalkan oleh Mahkamah Perlembagaan Mesir dan pihak tentera SCAF terus membubarkan Parlimen dengan kuasa yang ada pada mereka. Lebih parah lagi dengan menjangkakan kemenangan akan berpihak kepada calon FJP, pihak tentera SCAF telah melakukan 8 ‘pindaan kilat’ kepada perlembagaan Mesir yang dilihat adalah untuk menjamin kuasa yang ada pada pihak tentera.

.

Antara pindaan yang dilaksanakan adalah; memberi kuasa penuh kepada SCAF bagi menentukan pindaan perlembagaan yang baru, Presiden berkuasa mengisytiharkan Perang hanya dengan ‘kelulusan’ dari SCAF dan sekiranya berlaku sebarang kekacauan dalam negara, Presiden boleh memanggil pihak tentera hanya dengan kebenaran SCAF.

.

Dari pengamatan saya sepanjang kempen pilihanraya Presiden berjalan, kuasa-kuasa besar Barat serta sekutunya Israel telah berusaha keras dengan menjalankan pelbagai propaganda  jahat bagi memastikan calon ‘tajaan’ mereka menang dalam pilihan raya ini. Ahmad Syafik telah diberikan  pelbagai publisiti besar oleh media yang masih dikuasai oleh saki-baki pro-Mubarak. Ia juga turut dibantu oleh media barat terutamanya BBC dan CNN yang melebalkan Syafik ‘sebagai calon penyalamat’ bagi membangun semula Mesir selepas kejatuhan rejim Mubarak. Calon Ikhwan FJP Dr. Mohamad Morsi pula, telah di serang habis-habisan dengan pelbagai tuduhan negatif serta kempen menakut-nakut pengundi terutamanya dari kalangan yang beragama Kristian akan ‘bahaya’ kemenangan parti Islam yang akan membawa Mesir kembali kepada zaman unta.

.

Namun kekuatan jentera pilihanraya dari calon Ikhwan Muslimin peru diberikan pujian. Mereka telah berjaya menyaingi jentera media barat ini dengan banyak menggunakan kempen melalui media baru seperti Twitter dan Facebook. Bgitu juga dengan kempen dari rumah ke rumah yang dijalankan oleh pemuda dan muslimat ikhwan di seluruh pelosok Mesir tanpa mengenal penat an lelah telah menampakkan hasil yang positif.

.

Keputusan rasmi penuh hanya akan diumumkan pada Khamis depan oleh Suruhanjaya Pilihanraya Mesir. Namun keputusan tidak rasmi  yang didapati setakat ini menunjukkan bahawa Mesir selepas kejatuhan rejim zalim Mubarak akan terus berubah dengan “Kuasa rakyat’ akan terus memimpin.  Masa depan Ikhwan Muslimin dan gerakan Islam adalah cerah setelah mereka kini dapat sedikit bernafas dengan bebas dan telus di medan demokrasi yang disanjung Barat. Kemenangan calon Ikhwan ini juga akan juga menjadi inspirasi dan semangat kepada PAS bagi menghadapi PRU13 akan datang di negara kita Malaysia. Tahniah Dr. Morsi..

.

Calon Ikhwan FJP dahului pilihan raya Presiden Mesir

Dr. Syed Azman Syed Ahmad, 24 Mei 2012

(Dr Syed Azman berdiri di depan barisan rakyat Mesir yang sedang berpesta mengundi buat pertama kalinya)


Hari ini merupakan hari kedua  Pilihanraya Presiden Mesir. Setakat ini ianya berjalan dengan penuh tenang dan aman dengan undi luar memberikan kemenangan kepada calon Ikhwan dari FJP.

.

Adalah dijangkakan proses pembuangan undi buat lebih 50 juta rakyat Mesir akan terus berjalan lancar bagi memilih Presiden Mesir pertama kali setelah kejayaan revolusi 25 Januari yang yang telah menumbangkan rejim Hosni Mubarak.

.

Pada hari kedua ini saya berada bersama beberapa pemerhati pilihanraya telah melawat tempat membuang undi di kawasan Asyar yang terletak di pinggir Kota Kairo.

.

Proses pengundian yang berjalan selama 2 hari kini semakin menjelaskan pertembungan  sengit antara calon dari gerakan Islam dengan calon yang ditaja dari saki-baki pimpinan rejim Mubarak.

.

Seramai 13 senarai calon yang bertanding tetapi empat calon yang paling popular setakat ialah Dr Mohammad Morsy dari parti FJP Ikhwan Muslimin, Dr Mon’im Aboul Futuh yang juga merupakan bekas pimpinan Ikhwan Mesir dan dua calon tajaan saki-baki rejim Mubarak iaitu ‘Amru Musa dan Shafik.

.

Bekas Presiden Amerika, Jimmy Carter dan pemerhati antarabangsa dari Carter Center  kini berada di Mesir untuk menyaksikan pilihanraya bersejarah ini, sepertimana beliau juga ke Gaza untuk menyaksikan Pilihanraya Parlimen Palestin pada 25 Januari 2006 yang berakhir dengan kemenangan HAMAS.

.

Setakat ini proses undian berjalan lancar dimana setiap pengundi di wajibkan ‘celup jari’ bagi meengelakkan ‘pengundi hantu’ dan penipuan.

Sementara itu hakim-hakim yang diikitiraf telah dilantik bagi menyelia proses pengundian di tempat-tempat mengundi.

.

Bagi menjaga keamanan dan keselamatan setiap tempat pengundian, puluhan ribu yang terdiri dari kalangan anggota tentera dan polis telah dikerahkan untuk berkawal dalam tempoh dua hari ini.

.

Bagi lebih menjamin ketelusan dan mengelakkan sebarang penipuan, Parlimen Mesir baru-baru ini telah mengeluarkan ketetapan bahawa hendaklah dibuat kiraan undi tempat undian itu sendiri, sambil diperhatikan oleh seorang hakim dan wakil-wakil calon yng bertanding.

.

Salinan keputusan di peti undi tersebut diberi kepada setiap wakil calon dengan ditandatangani sendiri oleh seorang hakim yang memang menyelia peti undi disepanjang tempoh pengundian.

.

Inilah catatan awal perjalan pilihanraya yang sedang berjalan sekarang ini.

.

Bagi keputusan pilihanraya Presiden bagi rakyat Mesir yang menetap di luar negara, Dr. Mohamad Mursi dari FJP telah mendapat tempat pertama dengan lebih 37% undi dan Dr Abd Mun’im mendapat tempat kedua dengaan 27% undi.

.

Calon-calon lain tidak mendapat undi yang banyak dalam pemilihan ini. Pencapaian awal Dr. Mursi ini mungkin menjadi indikator positif kepada calon Ikhwan Muslimin dalam menentukan keputusan penuh pilihanraya Presiden Mesir yang sedang berjalan ini.

Share:
Written by Ustaz Nik Nasri Nik Malek
Pegawai Khas (Agama) Pejabat Menteri Besar Terengganu