Di saat susah, kita kenal siapa pemurah

TAHNIAH kepada PM, Menteri dan Timbalan Menteri Malaysia yang bersedia memotong gaji 2 bulan. Ia adalah tanda keprihatinan dan kesungguhan kerajaan sekarang menangani wabak COVID-19 dan kesan berantai darinya, termasuk kesan ekonomi.

Kabinet baru dibentuk. Gaji baru masuk. Kerusi baru duduk. Namun, potong gaji 2 bulan tetap dilaksanakan sebagai tanda bersama kesusahan rakyat. Kerajaan baru tiada manifesto, tetapi pelaksanaan setakat ini lebih baik dari mereka yang berjanji tetapi tak tunai janji.

Ramai yang menjadi golongan asnaf yang layak menerima zakat apabila hilang mata pencarian. Justeru, tidak pelik apabila PM, dalam perutusannya tempoh hari, memohon kerjasama pusat dan agensi zakat negeri-negeri bagi melihat secara meluas mereka yang layak menerima zakat. Saya rasa di saat kritikal seperti inilah, pusat dan agensi zakat negeri-negeri mesti lebih sensitif dan mengambil peranan.

Saya juga ucap tahniah kepada kerajaan-kerajaan negeri yang memberi insentif kepada rakyat di negeri masing-masing, kepada wakil-wakil rakyat yang bersungguh membantu rakyat, NGO, juga kepada orang perseorangan yang sanggup menyumbangkan sesuatu dari hartanya kepada pihak klinik, hospital, polis, tentera, ‘frontliners’ dan rakyat yang terkesan dari PKP ini.

Saya juga menyeru kepada golongan jutawan dan banyak wang dari kalangan ahli korporat, artis, selebriti, ahli sukan dan lain-lain untuk turut menyumbang apa yang mampu. Kalau sebelum ini, anda sentiasa update dalam Facebook dan Instagram anda melancong ke sana-sini, membeli barangan mewah hasil perniagaan dan pengumpulan harta anda, sekarang tidak boleh lagi melancong, maka inilah saatnya anda menggunakan sedikit harta anda untuk mereka yang langsung tiada harta atau hilang mata pencarian.

Saya kagum dengan si fulan si fulan yang bersungguh turun padang membantu masyarakat dalam keadaan yang sukar ini. Saya tabik mereka ini. Saya tak perlu sebut nama-nama mereka. Anda boleh lihat apa yang mereka lakukan. Ayuh, kita sama-sama menyumbang setakat yang mampu. “Allah membantu hamba-Nya yang membantu saudaranya.”

Share:
Written by Ustaz Nik Nasri Nik Malek
Pegawai Khas (Agama) Pejabat Menteri Besar Terengganu