PAS Kemaman selesai mengadakan Sambutan Eid al-Fitr pada hari Khamis 21 Jun 2018 di tapak parkir kereta, sebelah Pejabat Daerah Kemaman, yang juga merupakan tapak Bazar Ramadhan atau ekspo. Jangkaan awal tetamu sekitar 10 ribu orang. Juadah nasi minyak, gulai daging, acar, nasi himpit, sate, ayam pusing, lemang, kuih-muih dijangka mencukup untuk tetamu. Program yang dijangka dimulakan seawal jam 11 pagi, rupanya sudah dipenuhi tetamu mulai jam 10.20 pagi lagi. Rakyat pelbagai lapisan, dari pegawai kerajaan, swasta sehingga rakyat biasa berpusu-pusu datang tanpa henti, menyebabkan juadah habis lebih awal sekitar jam 2 petang. Itupun masih ada yang datang selepas itu.
Saya biasa memberikan duit raya bagi pihak PAS Kemaman pada tahun-tahun yang lepas, tetapi kali ini ‘aliran keluarnya’ sangat laju dan pantas. Ramai kanak-kanak 12 tahun ke bawah menerima sedikit sumbangan duit raya dan habis stok yang disediakan sekitar jam 1 tengahari.
Saya mengucapkan jutaan terimakasih kepada semua pihak yang menjayakan program ini dan diharap ia dapat dijadikan jambatan antara PAS Kemaman dan semua agensi kerajaan dan swasta, sementelah PAS sekarang menjadi kerajaan di Terengganu.
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah yang memberikan kesempatan untuk terus berada di bulan Ramadhan. Selain aktiviti ibadat harian- puasa, Quran, Terawih, Witir, sedekah dan lain-lain, diizinkan untuk membuat beberapa aktiviti lain. Antaranya:
-Tamrin Qiadi peringkat PAS Terengganu di awal Ramadhan.
-Tazkirah sempena Nuzul Quran serta majlis khatam Quran di Tahfiz al-Muqarrabin, Kerteh.
-Tazkirah sempena program Ihya Ramadhan oleh Dewan Muslimat PAS Kemaman di Masjid Kg Pasir Minal
-Pembahagian bubur lambuk oleh PAS Gong Limau
-Iftar di Sekolah Rendah Islam Darultaqwa serta sedikit sumbangan kepada anak yatim
-Tamrin Qiadi PAS Kemaman di Surau Sekolah Rendah Islam Darultaqwa, Kemaman
Ramadhan bukan sahaja bulan difardhukan puasa, tetapi juga bulan diturun kan al-Quran dari Lauh Mahfuz ke langit dunia secara serentak. Al-Quran kemudian diturunkan secara beransur-ansur selama 23 tahun dalam 2 fasa-Makkiyyah dan Madaniyyah.
Al-Quran menjadi mukjizat kekal bagi Nabi SAW dan buat manusia seluruhnya. Mukjizat-mukjizat lain seperti air keluar dari celah jari, pokok kurma datang kepada Nabi, bulan terbelah hanya dilihat di zaman ia berlaku. Mungkin ada kesannya yang boleh dilihat hingga sekarang tetapi satu-satunya mukjizat yang kekal, bukan sahaja sebagai mukjizat dengan nama mukjizat, bahkan sebagai petunjuk kepada manusia, mengeluarkan manusia dari kegelapan kepada cahaya, menjadi pemisah di antara yang haq dan batil serta menjadi perlembagaan paling tinggi buat hidup dan kehidupan manusia di dunia ini ialah al-Quran.
Hebatnya al-Quran sebagai perlembagaan hidup manusia sehinggakan Nabi Isa as yang turun di akhir zaman nanti pun akan berhukum dengan al-Quran dan syariat Muhammad SAW walaupun Nabi Isa dibangkitkan lebih awal dari Nabi Muhammad SAW dan kitab Injil lebih awal turunnya dari al-Quran. Kalau Nabi Isa pun berhukumkan al-Quran sedangkan Baginda juga punya kitab, maka bagaimana dengan kita dan manusia lain yang tiada kitab yang mesti diikuti melainkan al-Quran itu sendiri?