‘Bila Aku Sakit, Dia (Allah) Yang Menyembuhkan’

May 14, 2020

DARI beberapa tali leher yang dipakai oleh Dato’ Dr Noor Hisham Abdullah, Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia ketika sidang media harian jam 5 petang mengenai perkembangan kes COVID-19, saya tertarik dengan tali leher berwarna biru, dengan jalur kuning merah.

Tali leher itu mengingatkan saya kepada sekolah menengah saya, Sekolah Alam Shah (ASAS), yang ketika itu beroperasi di Cheras, menuju ke Kampung Konggo, ke Bandar Tun Razak sekarang. Sekolah Alam Shah adalah sekolah berasrama penuh aliran Melayu, pelajar lelaki sahaja (yang pertama di dunia?).

Saya teringat ketika berada di Tingkatan 4, guru subjek Kimia, Cikgu Tan pernah menyebut dalam makmal Kimia ketika menjelaskan kejadian petroleum, bahawa ia terjadi dengan sendiri, tiada yang menciptanya. Saat itu saya diam, sebagaimana kawan-kawan yang lain pun diam, tetapi dalam hati saya berkata: “Cikgu, kalau proses tindak balas kimia pun perlukan seseorang mengambil tabung uji A dan tabung uji B sehingga menjadi bahan C, bagaimana pula dengan alam ini, tentu ada Penciptanya.” Yang menariknya Cikgu Tan ini pandai membaca Jawi termasuk Utusan Melayu. Malangnya Utusan Melayu di zaman itu banyak menghentam dan memomok-momokkan PAS.

Ada seorang lagi guru perempuan mengajar Matematik. Dia pernah berkata di dalam kelas: “I’m free. I’ve no rules to follow.” Untuk beritahu bahawa dia tidak beragama. Seorang kawan yang sudah meninggal, berkata: “Cikgu, kalau cikgu naik kapal terbang, tiba-tiba nak jatuh. Cikgu nak minta tolong dengan siapa?” Cikgu itu tidak sempat menjawab. Loceng berbunyi untuk subjek lain pula.

Ini hanya dua contoh bagaimana sistem tidak percaya kepada agama dan Tuhan dipromosi secara halus kepada pelajar. Bagi orang Islam, tentu dia faham keadaan sebenar. Ketika Tamadun Islam hebat, saintis berkata: “Bahan A campur bahan B, bertindak balas akan menjadi bahan C, dengan izin Allah.” Namun, apabila pendidikan dan sistem lain dipisahkan dari roh Islam, kesan Sekularismelah yang mendominasi.

Apabila saya menukar channel kepada Pengajian Islam, ketika belajar di Jordan, saya pernah pergi ke sebuah hospital swasta. Pada dindingnya tertulis dengan tulisan yang agak besar:

وَإِذَا مَرِضْتُ فَهُوَ يَشْفِينِ

“Dan apabila aku sakit, maka Dia (Allah) yang menyembuhkan.”

(as-Syuara’: 80)

Ayat ini berkait dengan Nabi Ibrahim yang kita tahu bahawa syirik di zamannya sangat hebat. Namun, akidah dan kepercayaan Nabi Ibrahim kepada Allah Yang Esa tetap kukuh.

Apa yang dibuat oleh hospital itu menjadi dakwah tanpa suara bahawa hakikat sebenar yang menjadikan sakit, yang menyembuhkan ialah Allah, bukannya doktor, ubat atau hospital. Saya ingin mencadangkan hospital dan klinik, jika tidak ada apa-apa halangan menulis ayat dan terjemahan di dinding hospital dan klinik.

Alhamdulillah, kita bersyukur kerana kes positif, aktif COVID-19 di Malaysia berkurangan. Kita telah berusaha mulai PKP1 hingga kini. Kita buat pelbagai SOP agar penularan virus ini dapat diputuskan. Akhirnya kita dapat ‘flattern the curve’ sebagaimana unjuran dan jangkaan kita.

Namun, kita sebenarnya tidak tahu dengan ‘asbab’ apakah ia berlaku. Boleh jadi dengan sebab ramainya yang berdoa dengan ikhlas sepanjang Ramadan memohon agar pandemik ini hilang. Boleh jadi kerana strategi dan kaedah yang kita laksanakan ‘menjadi’. Namun, hakikat yang mesti diingat ialah sebagaimana yang disebut oleh Nabi Ibrahim di atas:

“Apabila aku sakit, Dia (Allah) yang menyembuhkan.”

Tak salah kalau Dato’ Dr Noor Hisham, dengan tali leher biru ASAS yang cantik (dan nostalgik untuk saya dan warga ASAS) itu membanyakkan ucapan alhamdulillahinsya-Allah dan menzahirkan syukur kepada Allah di atas kejayaan mengawal penularan kes COVID-19 dalam ucapan di sidang medianya. Semoga Allah menghilangkan pandemik ini dari kita semua dengan seberapa segera.

Share:
Written by Ustaz Nik Nasri Nik Malek
Pegawai Khas (Agama) Pejabat Menteri Besar Terengganu