bicara baiah“Baiah bukanlah pencetus masalah. Ia dibuat bagi mengukuhkan perjuangan PAS. Apatah lagi jika seorang calon yang bakal bertanding menang dan kemudiannya boleh mengkhianati perjuangan.

Justeru, baiah dibuat supaya perjuangan dapat diteruskan. Lagipun, ia adalah syarie iaitu mematuhi syariat. Baiah disebut dalam al-Quran dan asSunnah serta berlaku dalam sirah hidup Nabi SAW bagi menegakkan Islam.” demikian antara kesimpulan dari ucapan Ustaz Nik Zawawi Salleh, Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS, yang juga Timb Ketua DUPP serta AJK PAS Pusat.

Beliau menegaskan demikian dalam satu kuliah Maghrib di Surau Kg Jaya, Chukai minggu lepas anjuran Urusan Ulama PAS Kemaman sempena Sambutan 55 Tahun PAS Kemaman.

Beliau juga menelusuri sirah perjalanan para Nabi dan rasul yang berjuang menegakkan Islam di zaman masing-masing yang bertembung dengan kaum sendiri. Apabila bertembung di antara logik akal dan syarak serta nas, maka mestilah didahulukan nas dan syarak, bukannya logik akal.

Beliau mengambil contoh Nabi Nuh yang diperintah oleh Allah membina bahtera di atas bukit, Nabi Musa yang berdepan dengan Firauan dan kerajaannya yang sangat besar dan zalim, Nabi Ibrahim yang diperintah meninggalkan Ismail di padang pasir kering kontang, dan Nabi SAW yang berhijrah dan berperang di Badar dengan kekuatan yang tidak seimbang.

Surau yang dapat memuatkan ahli jemaah 500 orang itu menyaksikan kehadiran pada malam tersebut melimpah hingga ke luar surau.

Share:
Written by Ustaz Nik Nasri Nik Malek
Pegawai Khas (Agama) Pejabat Menteri Besar Terengganu