AL-QURAN adalah sumber petunjuk yang menghimpunkan hukum-hakam akidah, fiqh, akhlak, dan lain-lain. Para sahabat menghafaz, membaca, menghimpun, dan menafsirkan Al-Quran. Ibnu Abbas berkata: “Tafsir ada empat bentuk: satu bentuk yang diketahui oleh orang Arab dari bahasanya, satu bentuk yang tidak dimaafkan kepada sesiapa untuk tidak mengetahuinya, satu bentuk diketahui oleh ulamak dan satu bentuk tidak diketahui melainkan Allah”.

Pada ketika ini tafsir tidak dibukukan. Ia kekal dalam bentuk hafalan dan ingatan. Ayat hukum ditafsirkan berdasarkan talaqqi iaitu pindah dari seorang kepada seorang dan berdasarkan riwayat yang dibuat. Setiap tempat mengambil berat riwayat dan talaqqi dari ulamak di tempat masing-masing.



Orang Mekah banyak mengambil daripada Ibnu Abbas. Orang Iraq dari Ibnu Mas’ud, dan begitu juga tempat lain. Perkara ini menyebabkan lahirnya aliran yang banyak dalam tafsir bersifat hukum dan munculnya perbezaan pendapat dalam sesuatu hukum.

Kemudian muncul mazhab-mazhab fiqh. Setiap imam mempunyai cara-cara tersendiri mengeluarkan hukum dari Al-Quran, yang membawa perselisihan pendapat di antara mereka. Tafsir ayat hukum berada dalam tafsir yang umum dan tidak diasingkan.

Bentuk tafsir begini berterusan hingga Imam As-Syafie menulis kitab Ahkam Al-Quran, namun kitab ini hilang. Perkara ini menyebabkan Imam Al-Baihaqi mengumpulkan pendapat-pendapat Imam Syafie dalam sebuah kitab yang dinamakan ‘Ahkam Al-Quran bagi Imam Syafie’.

Imam Syafie dianggap mujaddid (yang membaharukan urusan agama) kurun kedua. Beliau menulis kitab Ar-Risalah. Beliau adalah orang pertama menulis dalam bidang usul fiqh.

Imam Fakhruddin Ar-Razi berpendapat: sebelum Imam Syafie, para ulamak membahaskan masalah fiqh, mengambil dalil dan berhujah tetapi mereka tidak mempunyai suatu undang-undang yang tetap bagaimana memahami dalil-dalil syarak, dan cara bertembung dalil syarak serta cara mentarjihkan (menguatkan) dalil syarak.

Maka Imam Syafie menulis ilmu usul fiqh dan menggariskan undang-undang dan peraturan kepada orang ramai, terutama kepada para ulama, bagaimana mahu mengetahui peringkat dalil-dalil syarak.

Begitu juga Ibn Khaldun yang mengiktiraf Imam Syafie sebagai pemula ilmu Usul Fiqh. Sebagaimana Ibni Aqil al-Hambali juga menganggap Imam Syafie sebagai bapa ilmu Usul Fiqh.

Imam Syafie telah menulis sekitar 113 buah kitab dalam bidang fiqh, tafsir, adab, dan lain-lain. Antara kitab yang terkenal adalah kitab al-Umm dan ar-Risalah.

Al-Syeikh Ahmad Syakir, seorang ulamak yang mentahqiqkan kitab ar-Risalah berkata: “Bab dan masalah yang dibincang dalam kitab oleh Imam Syafie mengenai hadis Ahad, berhujah dengannya, mengenai syarat sahnya hadis dan keadilan perawi serta mengkritik/menolak hadis mursal, munqoti’ dan lain-lain, kesemua ini bagiku lebih halus perbincangannya dan lebih bernilai dengan apa yang ditulis oleh ulamak dalam usul hadis. Bahkan orang yang memahami dalam bidang ulum hadis mengetahui apa yang ditulis selepasnya adalah cabang darinya”.

Al-Imam A’masy, seorang ulama tafsir dan hadis berkata kepada Imam Abu Hanifah, seorang yang faqih:

يا معشر الفقهاء أنتم ألاطباء ونحن الصيدلية

Maksudnya: “Wahai para fuqaha! Kamu adalah para doktor/perawat, sedangkan kami (ulama hadis) adalah farmasi.”

Ia membawa maksud para periwayat hadis menghafal hadis, memeliharanya dari hilang, lupus, terbiar, tertukar. Maka mereka dianggap seperti farmasi yang menyimpan ubat-ubatan. Sementara para fuqaha ialah mereka yang melihat semua nas, memilih, menilai, kemudian mengistinbat/ mengeluarkan hukum dari nas-nas, samada al-Quran atau hadis. Justeru, para fuqaha dianggap sebagai doktor yang mendiagnos, memahami sakit apa dan apa ubat yang sesuai serta dosnya.

Setiap dari doktor dan ahli farmasi ada peranan masing-masing. Justeru, tidak payah disebut: “Saya sembuh kerana ubat yang diberi oleh ahli farmasi, bukannya doktor yang memeriksa saya”.

Demikianlah, ahli hadis dan ulama fiqh dan usul fiqh juga ada peranan masing-masing. Maka janganlah semata-mata merujuk kepada ayat al-Quran dan hadis, tanpa mengambilkira juga pendapat ulamak muktabar mengenai nas-nas tersebut.

Nabi SAW mengingatkan:

من يرد الله به خيرا يفقه في الدين

Maksudnya: “Sesiapa yang Allah mahu beri kebaikan kepadanya, nescaya Dia beri kefahaman kepadanya dalam agama”.

Share:
Written by Ustaz Nik Nasri Nik Malek
Pegawai Khas (Agama) Pejabat Menteri Besar Terengganu