niknasri.com - Hidup Di Dunia Hanya Sekali, Jadikan ia Redha Ilahi
  • Home
  • Profil
    • Hubungi Ustaz
  • Isu Semasa
  • Kembara Ilmu
  • Koleksi Kuliah Audio MP3
  • Koleksi Khutbah
  • Galeri
Home
Profil
    Hubungi Ustaz
Isu Semasa
Kembara Ilmu
Koleksi Kuliah Audio MP3
Koleksi Khutbah
Galeri
niknasri.com - Hidup Di Dunia Hanya Sekali, Jadikan ia Redha Ilahi
  • Home
  • Profil
    • Hubungi Ustaz
  • Isu Semasa
  • Kembara Ilmu
  • Koleksi Kuliah Audio MP3
  • Koleksi Khutbah
  • Galeri
Kategori
Archive
Kembara Ilmu

Sudah 10 Tahun Sheikh Dr Nuh Meninggal

September 1, 2020 No Comments

Pada  hari ini, Selasa, 1 Sept 2020 bersamaan 13 Muharram 1442H, genap 10  tahun Sheikh Dr Nuh Ali Salman al-Qudha, mantan Mufti Jordan yang juga merupakan sheikh dan guru saya, kembali ke rahmatullah iaitu pada pagi Ahad 13 Muharram 1432 (19 Dis 2010) dalam usia 71 tahun (74 tahun Hijrah) selepas menjalani pembedahan dan rawatan di Austria selama 3 bulan dan kembali ke Jordan tetapi masih dirawat di hospital di Amman.

Saya siarkan kembali nostalgia mula bertemu dengannya di Jordan, belajar dengannya, dan beberapa pengalaman bersamanya sepanjang saya di Jordan. Ia sebagai motivasi kepada para penuntut ilmu, terutamanya pelajar Malaysia di Jordan yang mungkin belum mengenali almarhum, walaupun Masjid Universiti Yarmouk sudah lama ditukar kepada nama Masjid Sheikh Nuh:

Sabtu malam Ahad sebelum hari kematian beliau, saya bermimpi sedang bermain satu permainan. Tiba-tiba air besar seperti Tsunami mengatasi bukit muncul. Saya bersyahadah dan azan. Air itu menerpa ke bawah saya tetapi tidak mengenai saya. Saya terjaga. Apa tafsir mimpi itu? Permainan tidur, syaitan atau apa? Ada kaitan dengan kematian itu? Wallahua’lam.

Pengalaman belajar, menadah kitab dan adab dengan beliau masih segar dalam ingatan, walaupun sudah lama berpisah dengannya.

Alhamdulillah, ketika pencarian sheikh untuk memantapkan ilmu ketika belajar di Universiti Yarmouk, Irbid, Jordan pada tahun 1992, saya diberitahu bahawa mantan Qadhi al-Qudha Jordan ketika itu, Sheikh Nuh Ali Salman al-Qudha sudah pulang ke kampungnya di Eidon, kira-kira 2-3 km dari rumah saya di Duwwar Nasim, tidak jauh dari Universiti Yarmouk, Irbid, Jordan.

Qadhi al-Qudha adalah satu jawatan tinggi agama di Jordan yang sama tarafnya dengan menteri. Sheikh Nuh pernah menjadi mufti al-jaish iaitu mufti angkatan tentera Jordan, di mana angkatan tentera Jordan mempunyai muftinya sendiri. Sheikh Nuh telah mengembangkan institusi agama dalam angkatan tentera Jordan sehingga ramai yang menjadi imam dan pendakwah yang bergiat dalam angkatan tentera Jordan. Beliau bermazhab Shafie dan bermanhaj Ashaairah. (Tiada celanya bermanhaj seperti ini kerana ramai ulama muktabar terdahulu juga demikian). Dalam masa yang sama beliau mempunyai sifat yang terbuka terhadap pandangan lain terutama mazhab Hanafi kerana beliau sendiri pernah belajar sewaktu kecilnya di madrasah di Syria.

Beliau pernah menceritakan kepada saya bahawa berlaku satu peperangan di antara negara Arab dan Israel. Tentera Jordan juga menyertai perang itu. Di satu kawasan perkuburan tentera Jordan yang ingin dipindahkan ke tempat lain, ditemui beberapa mayat yang masih basah dengan darah, sedangkan mayat itu telah dikebumikan beberapa puluh tahun lampau.

Saya mendapat tahu bahawa Sheikh Nuh meletakkan jawatan sebagai Qadhi al-Qudha Jordan kerana tidak bersetuju dengan pandangan kerajaan Jordan di bawah kepimpinan Raja Husin yang mahu berdamai dengan negara haram Israel. Perdana Menteri negara haram Israel ketika itu ialah Yitzak (Ishaq) Rabin, Presiden Amerika Syarikat ialah Bill Clinton. Perjanjian damai ditandatangani di pantai Aqabah. Selepas itu Sheikh Nuh menjadi pensyarah di Universiti Yarmouk, Irbid, dan ketika itulah saya mengambil peluang menadah kitab darinya.

Dalam satu khutbah Jumaatnya di Masjid Universiti Yarmouk, beliau pernah mengulas tentang perdamaian Jordan dengan Israel, katanya (seingat saya) : ‘Walaupun ular telah berdamai dengan biri-biri, tetapi ular tidak pernah melupakan makanannya yang asal. Justeru, biri-biri jangan mudah termakan dengan pujukan dan perdamaian oleh si ular..’

Sheikh Nuh pernah belajar di Syria di peringkat awal pengajiannya. Syria kaya dengan para ulama tersohor sehingga sekarang. Cuma kerajaan yang menganut faham asing itu menyebabkan para ulama agak terkongkong. Sejarah pembunuhan dan penyiksaan ulama terutama di zaman Hafiz al-Asad diketahui umum. Pengajian bertalaqqinya menyebabkan beliau juga bersedia mengongsikan ilmunya dengan pelajar-pelajar Malaysia.

Saya bertemunya, kalau tak silap ingatan saya dalam tahun 1993, memberitahu hasrat pelajar Malaysia terutama yang belajar di Universiti Yarmouk, Irbid untuk mempelajari sesuatu kitab daripadanya. Saya sendiri syorkan kitab syarah Jauharah at-Tauhid iaitu Ittihaf al-Murid karya Sheikh Abdul Salam bin Ibrahim al-Laqaani al-Maliki (dengan ditahqiq oleh Sheikh Muhammad Muhyiddin bin Abdul Hamid dalam kitabnya an-Nizam alFarid) untuk diajarnya. Lagipun kitab itu telah saya pelajari di pondok di Malaysia sebelum itu. Beliau bersetuju. Pelajar Malaysia di Universiti Yarmouk membuat pengajian itu di rumah yang disewa.

Ia berterusan beberapa lama sehingga pengajian itu tidak dapat diteruskan kerana ada beberapa masalah teknikal kecil berlaku. Saya dan beberapa orang sahabat kemudian terus menadah kitab syarah Jauharah itu di Masjid Eidon dekat rumahnya. Kami berjalan kaki 2-3 km menuju ke masjid itu. Alhamdulillah, pengajian kitab syarah Jauharah itu selesai.

Saya dari awal merakamkannya dalam bentuk kaset. Saya beritahu Sheikh Nuh tentang rakaman itu. Sheikh Nuh meminta untuk mendengarnya pula. Ketika beliau menjadi duta Jordan ke Iran selama beberapa tahun, rakaman yang saya buat itu didengar balik, ditulis balik, ditambah dan dikurang sehingga diterbitkan dalam bentuk buku yang dikenali sebagai al-Mukhtasar al-Mufid fi syarh Jauharah at-Tauhid. Beliau memberikan senaskhah kepada saya sebelum dicetak untuk diteliti dari segi bahasa dan kefahaman, adakah mudah difaham oleh orang bukan Arab seperti saya. Kitab tersebut kemudian terkenal dan digunapakai di sesetengah pusat pengajian di IPT dalam dan luarnegara.

Pengalaman Sheikh Nuh jadi duta Jordan ke Iran

Selesai belajar kitab Syarah Jauharah at-Tauhid dengan Sheikh Nuh, beliau beritahu saya beliau dapat tawaran kerajaan Jordan untuk menjadi duta negara itu ke Iran. Beliau meminta daripada saya kaset-kaset hasil rakaman saya untuk kitab Syarah Jauharah itu. Sepanjang beberapa tahun beliau di Iran itulah beliau menulis kitab al-Mukhtasar al-Mufid berdasarkan rakaman itu. Bahasanya mudah, huraiannya jelas, jauh dari perbahasan meleret, meraikan keadaan semasa. Selesai dari tempoh menjadi duta Jordan ke Iran (tak silap saya selama 2 tahun sahaja), beliau pulang ke Jordan menceritakan kepada saya beberapa pengalaman beliau di sana.

Beliau mendirikan solat Jumaat di bangunan Kedutaan Jordan di Iran. Beberapa orang dari pegawai kedutaan asing ada juga yang datang solat Jumaat dengannya. Kalau tak silap saya, beliau ada sebut kedutaan Malaysia. Khutbah Jumaat dibaca dalam bahasa Arab, kemudian diterjemah dalam bahasa Inggeris oleh pembantunya kerana ramai yang tidak memahami bahasa Arab.

Beliau juga menyebut bahawa di Iran, yang menjadi pengerusi sesuatu syarikat atau ketua di sesuatu agensi biasanya ulama. Mereka lebih tahu tentang tuntutan agama. Orang kedua ketiga baharulah ahli korporat, profesional dan lain-lain. Beliau kata, apa yang dibuat itu baik kerana boleh pastikan perjalanan sesuatu agensi itu menurut kehendak agama atau tidak.

Beliau juga menyebut beberapa perkara positif lain di negara Iran, walaupun fahamannya Syiah, terutama dari aspek pentadbiran dan kemasyarakatan.

Tapi nampaknya beliau tidak boleh duduk lama di sana. Beliau kembali ke Jordan dan menyambung tugasnya di Universiti Yarmouk, Irbid sebagai tenaga pensyarah, juga kelas pengajiannya di masjid dan menerima jemputan aktiviti-aktiviti agama sekitar Jordan.

Alhamdulillah, saya berharap itu adalah sebahagian sumbangan saya dalam ilmu terutama yang berkait dalam bidang Aqidah. Mudah-mudahan kitab ini dapat memudahkan pembaca memahami perbahasan Aqidah menurut ahli Sunnah wal Jamaah ini, dan dijadikan kitab ini sebagai amal soleh yang berpanjangan pahalanya hingga ke Akhirat, insyaAllah.

Selepas beberapa tahun meninggalkan bumi Jordan ketika itu, saya teringin benar kalau dapat bertemu kembali dengan sheikh dan murabbi saya, Dr Nuh Ali Salman al-Qudha. Dalam fikiran, dicongak-congak kalau dapat menunaikan umrah, singgah di Jordan, bertemu dan menjemputnya ke Malaysia.

Di Malaysia nanti, boleh disusun pelbagai aktiviti ceramah dan lawatan untuk Sheikh Nuh. Itulah impian saya. Lagipun, tak ramai yang mengenali beliau kecuali para pelajar Malaysia yang pernah belajar di Jordan (yang cakna ilmu) atau mereka yang mengikuti perkembangan ulama Islam. Namun Allah Yang Maha Mengasihi lebih mengasihi Sheikh Nuh. Beliau kembali ke rahmatullah  lebih awal.

Jenazahnya dikebumikan di kampung asalnya di Ajloun, utara Amman. Puluhan ribu mengiringi jenazahnya. Mungkin tidak seperti ulama-ulama kontemporari lain yang lebih dikenali di luarnegara, namun penduduk Jordan dan beberapa negara Arab sekitar mengenali beliau.

Sumbangan beliau kepada perkembangan Islam di negara Jordan yang kecil itu tidaklah boleh diperkecilkan. Angkatan Tentera Jordan diIslamkan dengan mewujudkan institusi agama tersendiri sehingga mempunyai mufti, para imamnya sendiri, termasuk silibus pengajian. Jauh lebih baik dari KAGAT.

Beliau juga mempunyai hubungan baik dengan pelbagai aliran Islam di Jordan. Beliau bersahabat baik dengan para pemimpin Ikhwan Jordan, dihormati pemimpin sufi dan Tarikat, disegani oleh pegawai kerajaan dan disayangi oleh rakyat Jordan.

Alhamdulillah, 6 tahun bersamanya dimanfaatkan untuk sentiasa ‘menadah kitab’ dengannya walaupun berjalan kaki keseorangan ke rumahnya di Eidoun, 2 km dari Duwwar Naseem, Irbid, Jordan. Asal ada masa sahaja selain kuliah rasmi di Universiti Yarmouk dan aktiviti jemaah, maka ke masjid berhampiran rumahnyalah destinasinya. Saya mempelajari kitab Kaedah Fiqh dan khatam dengannya, kitab As-Shifa karangan Qadi Iyad, kitab Al-Minhaj karya Imam Nawawi, kitab mengenai Imam Shafie karya Sheikh Abu Zuhrah dan beberapa kitab lain lagi.

Ilmunya dikutip sungguh-sungguh. Kelebihannya ialah kerana beliau pernah belajar di madrasah di Syria ketika mudanya. Di zamannya, institusi ilmu di Syria hebat, seperti juga di Mesir walaupun pemerintah Syria sangat kuat menekan ulama dan Islam. Madrasah tempat pengajiannya di Syria itu melahirkan ulama-ulama terkenal. Kalau hanya mengharap pengajian rasmi BA-MA-PhD, tidaklah tamakkun sangat.

Sheikh Nuh adalah guru-guru telah meninggal dunia setakat ini: Datuk sendiri, Hj Abdullah (bapa Hj Zawawi, Mudir Taman Islam, Kemaman), TG Hj Hashim (pernah mengajar kitab di Kajang), TG Hj Ali b Musa (Pondok Siliau, NS), TG Hj Abdul Latif (Pak Teh Keroh/Pengkalan Hulu), TG Hj Najmudin (Pondok Paku Kerandang, Besut), Dr Walid al-Aani (pakar hadis, Univ Yarmouk-asal Iraq) dan lain-lain.

Moga Allah merahmati semua para ulama al-aamilin yang mendahului kita. ‘Allah tidak mencabut ilmu dengan tiba-tiba, tetapi Allah mencabut ilmu dengan meninggalnya para ulama.’ Bergurulah dengan ulama yang beramal dengan ilmunya, dan berjuanglah menegakkan Islam dengan ilmu itu. Jangan biarkan diri anda jahil dan jangan biarkan diri anda dipandu oleh pemimpin yang sesat dan menyesatkan.

“Mata menitiskan airmata, hati begitu sedih, tetapi tetap redha dengan ketentuan Ilahi”

Teruskan membaca..
Masa membaca: 7 min
Share:
Penulis: Ustaz Nik Nasri Nik Malek
Isu Semasa

Ulamak mesti pertahankan parti dan kerajaan

August 31, 2020 No Comments

August 20, 2020 

Catatan ucapan SENATOR DATO’ USTAZ HAJI HUSAIN AWANG, Ahli Majlis Syura Ulamak dan Pesuruhjaya PAS Negeri Terengganu ketika merasmikan Muktamar Dewan Ulama PAS Terengganu petang Khamis, 20 Ogos.

KITA bermesyuarat dalam semangat menyambut Hijrah. Jarang mesyuarat berlaku pada 1 Muharram. Juga dalam suasana pandemik COVID-19. Ini sedikit sebanyak mungkin membantutkan kehadiran yang sepatutnya ramai bagi menunjukkan kesatuan fikrah dan kebulatan fikrah.

Di awal tahun 1980-an, Dewan Ulamak PAS Terengganu antara penggerak penting parti di Terengganu. Ia dipimpin oleh mereka yang hebat. Sebahagian mereka telah meninggal dunia. Kita mewarisi kepimpinan dan amanah parti, jemaah. Sama ada suka atau tidak, kita mesti pikul tanggungjawab ini sebagai hamba Allah dan khalifah Allah di bumi.

Kita mesti kembalikan semula kehebatan Dewan Ulamak. Dahulu, yang membentuk kita menjadi pemimpin ialah Dewan Ulamak, melalui pelbagai program.

Di negeri lain, tiada sekolah yang berada di bawah Dewan Ulamak secara rasmi. Di Terengganu, kita ada Madrasah DAR. Inilah antara hasil usaha Dewan Ulamak sebelum ini. Ambillah dan pikullah amanah ini. Usahakanlah untuk menambahkan DAR.

Kita menghadapi cabaran apabila kita menjadi kerajaan negeri, lalu kerajaan membina sekolah yang menggunapakai silibus DAR. Tentu prasarananya tidak sama dengan sekolah kelolaan di bawah Dewan Ulamak. Saya sangat sensitif dengan DAR ini. Oleh itu janganlah kerana kita sudah menjadi kerajaan, lalu kita berhenti membuat program untuk menambah dana madrasah DAR seperti program makan malam dan lain-lain.

Kita dalam suasana politik yang berbeza. Sebelum PRU14, digagaskan budaya politik matang dan sejahtera. Ia terbukti berkesan. Kita telah yakin melalui PRU14 lepas, kita tak mampu rampas kerajaan, tetapi kita mampu membudayakan politik matang dan sejahtera.

Antaranya meletakkan PAS sebagai berperanan penting. Kita menang 18 kerusi Parlimen. Umno, BN juga menang tidak banyak. Walaupun kita ada 18 kerusi, tetapi kita ada suara yang diterima dalam pembentukan Kerajaan PN sekarang.

Pada 14 September 2019 dimeterai piagam Muafakat Nasional (MN). Parti BERSATU yang asalnya dalam PH, keluar dan kita membentuk PN. Dengan kebijaksanaan pimpinan PAS, BERSATU dibawa bersama dalam MN kerana kita mahu menyatukan umat dan suara Islam. Insya-Allah akan dimeterai juga pada 14 September 2020.

Kita berpegang kepada dasar perjuangan. Adakah bila kita bersama dengan Umno, bermakna kita lari dari dasar? Baca balik Perlembagaan PAS. Kita dibenarkan bekerjasama dengan kumpulan tertentu yang boleh membawa kebaikan untuk Islam. Dari sudut agama, kita tidak larut dalam kerjasama ini. Kita tetap kekal dengan identiti dan prinsip kita. Kita mahu menyelamatkan negara dari tangan penentang Islam yang lebih kuat.

Bila kita jadi kerajaan peringkat negeri, kita akan lihat ramai yang bersama kita. Pengalaman tahun 2000 perlu jadi panduan. Kita mesti terang kepada mereka dasar perjuangan kita, akhlak dan matlamat parti. Bangun dan bangkitlah untuk pertahankan teraju parti dan kerajaan.

Andainya nanti saya tidak lagi menjadi Pesuruhjaya Negeri, insya-Allah saya akan kembali kepada Dewan Ulamak, kerana saya masih ingat, ketika saya balik ke Terengganu lama dahulu, saya terus menjadi Setiausaha Dewan Ulamak PAS Terengganu pada tahun 1980.

Dicatat oleh:
USTAZ NIK MUHAMMAD NASRI NIK MALEK
Pengerusi Lajnah Media Baharu
Dewan Ulamak PAS Terengganu – HARAKAHDAILY 20/8/2020

Teruskan membaca..
Masa membaca: 2 min
Share:
Penulis: Ustaz Nik Nasri Nik Malek
Featured

Terjemah Kitab Fiqh FathulMuin Dalam Tempoh PKP

May 29, 2020 No Comments

Alhamdulillah, sehingga kini sudah 136 mukasurat bersaiz A4 ditulis. Bahagian atas matan FathulMuin dalam bahasa Arab. Di bawahnya terjemahan dan tambahan dari kitab Ianatuttalibin jika perlu kepada huraian. Saya bercadang untuk terjemahkan bahagian ibadat harian sahaja, mulai awal kitab hingga selesai bab solat.

Kitab FathulMuin dengan syarahnya Ianatuttalibin adalah antara kitab fiqh mazhab Shafie yang terkenal. Dipelajari di pondok tradisional, pasantren di sebelah Asia Tenggara, benua lain, juga di negara Arab.

Teruskan membaca..
Masa membaca: 1 min
Share:
Penulis: Ustaz Nik Nasri Nik Malek
Featured

‘Bila Aku Sakit, Dia (Allah) Yang Menyembuhkan’

May 16, 2020 No Comments

May 14, 2020

DARI beberapa tali leher yang dipakai oleh Dato’ Dr Noor Hisham Abdullah, Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia ketika sidang media harian jam 5 petang mengenai perkembangan kes COVID-19, saya tertarik dengan tali leher berwarna biru, dengan jalur kuning merah.

Teruskan membaca..
Masa membaca: 2 min
Share:
Penulis: Ustaz Nik Nasri Nik Malek
Featured

Menelusuri Ayat al-Quran Tentang Puasa Ramadan

April 23, 2020 No Comments

Kita akan masuk Ramadan 1441H insyaAllah. Masuk Ramadan biarlah dengan persediaan- ilmu, fizikal dan mental agar Ramadan yang dimasuki ada nilai yang besar di sisi Allah. Justeru, saya kongsikan di sini kuliah yang pernah saya sampaikan beberapa tahun lepas sempena kedatangan Ramadan. Moga bermanfaat kepada yang mahu mengambil manfaat.

01-ayat Quran tentang puasa dan Ramadan
02-ayat Quran tentang puasa dan Ramadan
Teruskan membaca..
Masa membaca: 1 min
Share:
Penulis: Ustaz Nik Nasri Nik Malek
Featured

23 April: Hari Buku Sedunia

April 23, 2020 No Comments

Hari ini 23 April diwartakan sebagai Hari Buku Sedunia setiap tahun oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bertujuan untuk meningkatkan minat masyarakat dunia terhadap budaya membaca dan mencintai buku. Buku terbaik yang tiada tandingan bagi umat Islam ialah al-Quran. Ia diturunkan pada bulan Ramadan. Ramadan sedang menjenguk. Justeru, ambillah peluang sempena Ramadan ini membaca, memahami, mentadabbbur, mengkhatam dan mengamalkan ayat serta kandungan al-Quran, buku agung dari langit ini.

Teruskan membaca..
Masa membaca: 1 min
Share:
Penulis: Ustaz Nik Nasri Nik Malek
Page 1 of 341234»102030...Last »

Pos Mutakhir

Sudah 10 Tahun Sheikh Dr Nuh Meninggal

September 1, 2020

Ulamak mesti pertahankan parti dan kerajaan

August 31, 2020

Fiqh Korban-Sempena Eid al-Adha (Audio):

July 15, 2020

Siri Kuliah kitab Nur Al-Misykat (Video) (Mulai 7 Jun 2020-

July 1, 2020

Terjemah Kitab Fiqh FathulMuin Dalam Tempoh PKP

May 29, 2020

‘Bila Aku Sakit, Dia (Allah) Yang Menyembuhkan’

May 16, 2020

Menelusuri Ayat al-Quran Tentang Puasa Ramadan

April 23, 2020

Rujukan Ilmiah

Pautan Ilmu

Berita Arus Perdana
  • HarakahDaily
Ilmu & Iman
  • PAS

Tags

Agama Audio ghayah Ilmu jumaat Khutbah Kuliah LGBT matan Menteri nuzul quran Portal Program tafsir Terengganu

© 2020 niknasri.com // All rights reserved