Hudud: Penasihat Agama MB Pening, MB Lagi Bingung

JudiIsu hudud dikatakan menjadikan Sidang DUN Terengganu tegang. Ia dikatakan ekoran jawapan wakil kerajaan Khazan Che Mat terhadap soalan DSTG Presiden PAS. Wakil kerajaan ni belajar di Jordan. Saya di Universiti Yarmouk, Irbid ketika itu dan beliau di Universiti Jordan di Amman. Saya tak kenal sangat, cuma pernah dengar nama. Mereka yang belajar di Univ Jordan ketika itu lebih mengenali beliau. Bidang pun saya tak pasti-Linguistik atau Syariah. Yang pasti, bila berjuang dalam UMNO/BN, maka ilmu agama pun boleh hilang.

Saya juga kenal YB Ramli Noh. Di UKM pernah menjadi SU IPU (Islam Penyelamat Ummah), membimbit beg besar memberikan ceramah tentang perjuangan Islam. Sayang bila masuk UMNO/BN, ilmu agama larut dalam kepekatan jahiliah kebangsaan UMNO.

Saya tak kenal Penasihat Agama Menteri Besar Terengganu, Mohd Kamal Sadin, seperti dilaporkan di dalam media, yang mengkritik Enakmen Hudud Kelantan 1993, terutama isu umur mukallaf dan meliwat isteri di dalam forum di ibu pejabat MCA. MCA memang sudah lama menentang hudud. Soi Lek, mantan pelakon yang mengaku ‘saya orang itu’ sangat konsisten menentang pelbagai hukum Islam. Ia seolah-olah diberi lesen besar oleh pemimpin UMNO/BN untuk terus memprovokasi umat Islam. Datang pula Penasihat Agama yang sepatutnya menerangkan kebaikan hukum hudud dan menyokong Enakmen itu, tetapi menjadikan ahli MC dan umat Islam lain makin pening dan keliru dengan hukum hudud.

Para pemimpin PAS bukan kali ini baharu menerangkan tentang hukum hudud. Dari Murshidul Am, Timbalannya, Ketua Dewan Ulama PAS Pusat dan AJKnya, Presiden PAS dan seluruh kepimpinan atasan, pertengahan dan bawahan PAS menerangkan hukum ini semenjak ‘zaman berzaman’ dengan lisan dan tulisan, ceramah dan penerangan, kempen dan seruan, kuliah dan ilmiah.

Benar! Hukum hudud bukan segala-galanya. Ia sebahagian dari hukum Islam yang sangat lengkap itu. Tetapi penolakan terhadap hukum hudud ini sangat ketara sehingga pemimpin PAS terpaksa menerangkan berkenaannya. Tok Guru sangat mengetahui Islam bukan hanya hudud, tetapi perlaksanaan Islam secara menyeluruh juga penting sebagaimana pentingnya memberi tanah kepada rakyat, menghapuskan tol, menaikkan elaun imam bilal, memberikan keadilan kepada semua pihak, mengurangkan bebanan rakyat dan mewujudkan good governance. Kelantan bukan tidak mahu melaksanakan hudud tetapi kekangan-kekangan tertentu melambatkan perlaksanaannya sebelum ini.

Wah! Hebatnya Menteri Besar Terengganu. Dia tahu isi hati orang lain, ikhlas atau tak ikhlas. Dia sengaja melupakan kesungguhan kerajaan negeri Terengganu PAS dahulu yang meletakkan al-Quran, Hadis, Ijmak dan Qias dalam Undang-Undang tubuh kerajaan negeri. Ia bukan mudah. Tetapi itulah komitmen perjuangan PAS, mahu melihat negeri Terengganu mendapat rahmat, berkat dari Allah ‘Baldatun Tayyibah wa Rabbun Ghafur‘ (Negeri yang baik dan mendapat pengampunan Tuhan Yang Pengampun), tidak hanya tema tradisional ‘negeri cantik, budaya menarik’.

Mereka yang reti agama dalam UMNO pun pening, termasuk Penasihat agama MB atau PM, maka MB dan PMnya pun lagilah bingung. Kalau dalam dialek Terengganunya ‘bengong’!

Komen (1)

  1. [...] agar hudud ditolak). Artikel seperti: Isu Hudud: BN Rela Jenayah Subur Di Bawah Pemerintahannya , Hudud: Penasihat Agama MB Pening, MB Lagi Bingung, Buku Kecil Tentang Hukum Hudud, termasuk khutbah Jumaat selepas PAS Terengganu meletakkan [...]

Hantar Komen Anda