Ijtimak PRU 13 PAS Kemaman Kumpul Lebih 400 Petugas

Dato Hj Mustafa Ali rasmi Ijtimak PRU 13 PAS KemamanPAS Kawasan Kemaman mengadakan Ijtimak Pilihanraya Umum ke 13 pada hari ini 3 Dis 2011 di Taman Islam, Kemaman. Ia dibuat selepas Jabatan Pilihanraya PAS Kemaman mengadakan lawatan ke UPU dan Bilik Gerakan di setiap DUN di dalam kawasan Kemaman dalam tempoh sebelumnya.

Setiausaha Agung PAS Dato’ Hj Mustafa Ali merasmikan Ijtimak tersebut. Didahului dengan ucapan YDP PAS Kemaman, Tuan Hj Ismail Harun dan Timbalan P’jaya 1 BPPNT Ustaz Saiful Bahri Mamat. Fokus semua ucapan berkaitan pilihanraya dan isu politik semasa berdasarkan pengalaman lalu dan menghadapi PRU ke 13 akan datang. Ijtimak PRU 13 ini berjaya menghimpunkan lebih 400 petugas pelbagai peringkat dari semua 4 DUN dalam Parlimen Kemaman. Ia diharap dapat menjadi pemangkin terbaik menjelang PRU ke 13 yang bakal menjelang.

artikel berkaitan dari web DPPKK:

Golongan Muda Islam Bakal Terajui Amanah Rakyat Terengganu Selepas PRU Ke-13 ; Dato’ Mustafa Ali
Posted on Saturday, December 03, 2011 @ 20:33:58 MYT

Kemaman, 3hb. Disember – Berdasarkan keadaan politik semasa di Terengganu, Setiausaha Agong PAS Pusat, Dato’ Haji Mustafa Ali menjangkakan golongan muda Islam bakal menggalas amanah rakyat menerajui kerajaan Terengganu selepas PRU Ke-13 nanti.

Ini berdasarkan senario semasa di mana pengundi muda mewakili hampir 60% dari jumlah keseluruhan pengundi dan orang muda ini fikirannya terbuka dan tidak jumud dengan sesuatu pendapat dan berita sahaja.

Beliau yang merupakan mantan Pesuruhjaya PAS Terengganu berkata demikian semasa ucapan perasmian di Ijtima PRU PAS Kawasan Kemaman 2011 di Taman Islam, Kemaman pagi tadi.

Turut hadir ialah Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Ustaz Saiful Bahri Mamat mewakili Badan Perhubungan PAS Terengganu.

Seramai lebih 400 orang petugas parti dari pelbagai peringkat di cawangan, unit peti undi, majlis tindakan dun dan ahli jawatankuasa kawasan serta dewan – dewan telah hadir.

Dato’ Haji Mustafa juga berkata penubuhan Jawatankuasa Khas Parlimen (PSC) tidak lain satu helah UMNO/BN untuk menunjukkan kepada rakyat pilihanraya yang telah dan akan diadakan adalah adil dan telus.

Walaubagaimanapun, PAS tetap akan menerima perlantikan wakilnya menganggotai PSC sebagai ruang dan usaha terakhir menghapuskan kebobrokan perjalanan pilihanraya yang dikendalikan oleh kuda tunggangan UMNO/BN iaitu SPR.

Seterusnya beliau berkata Akta Perhimpunan Aman yang diluluskan oleh UMNO/BN telah menghina taraf pemikiran rakyat selepas lebih 50 tahun mencapai kemerdekaan.

Antaranya akta tersebut menghapuskan keperluan mendapatkan Permit Polis untuk sebarang aktiviti politik tetapi penganjur kena maklumkan 30 hari sebelum sesuatu program berlangsung kepada pihak polis.

‘PAS Terengganu mempunyai banyak pengalaman dan sudah biasa ditekan, diugut dan dihalang berbanding dengan PAS di negeri lain dan Akta yang baru diwujudkan ini sebenarnya lebih menyusahkan dan cubaan menggagalkan sebarang aktiviti PAS’, ulasnya lagi.

Akta ini direka cipta oleh UMNO/BN untuk mencengkam aktiviti PAS, memansuhkan akta lama dan menggantikan dengan akta baru sama seperti kata pepatah Melayu ‘keluar dari mulut buaya masuk ke dalam mulut harimau’, tegasnya lagi.

Setiausaha Agong PAS seterusnya berkata, ‘ini semua timbul setelah UMNO/BN berada dalam keadaan cemas dan hilang pedoman dan kewarasan, apatah lagi inilah kali pertama semenjak merdeka UMNO/BN akan menghadapi dan memasuki PRU dalam keadaan 5 negeri berada di tangan Pakatan Rakyat’, katanya.

Mengenai tarikh PRU berlaku pergeseran pendapat antara kumpulan Najib dan kumpulan Muhyiddin. Kumpulan Najib mahukan PRU diawalkan manakala kumpulan Muhyiddin mahu ianya dilambatkan.

Terdapat desas desus dari sumber dalaman UMNO yang mahu menyahkan Najib dari persada kepimpinan dengan mengaitkan Rosmah Mansur sebenarnya yang mengatur sebahagian besar tugas tertentu dan kumpulan tersebut menganggap Rosmah sebagai liabiliti kepada UMNO dan BN sendiri.

Sebelum mengakhiri ucapan, Dato’ Mustaffa mengingatkan semua petugas PAS untuk melipatgandakan kerja dan usaha secara bersasaran dan berkata kekuatan petugas PAS terletak pada aqidah yang kuat dan mantap yang tidak terdapat pada pekerja UMNO yang bergerak dengan kekuatan fulus.

Dari  kiri ; Hj Ismail Harun, Ustaz Saiful Bahri Mamat, Dato’ Mustafa Ali & Ustaz Hazri Jusoh berdiri menyanyikan lagu rasmi PAS dan lagu Amal.

Ahli PAS berdiri menyanyikan lagu rasmi PAS dan lagu Amal.

Dari kiri ; Hj Johan Ismail, Ustaz Hj. Ali Mohd, Hj. Hanafiah Man, Ustaz Hishamuddin Abdul Karim dan Ustaz Alias Abdul Hamid menyanyikan lagu rasmi PAS.

Ustaz Nik Mohd Nasri Nik Malek, Timbalan YDP dan Pengarah JPRK selaku pengerusi majlis.

Hj Ismail Harun, YDP PAS Kemaman membuat ucapan alu – aluan sebagai tuan rumah.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Ustaz Saiful Bahri Mamat menyuntik semangat kepada semua petugas PAS Kemaman.

Paling depan dari kanan ; Amri Mamat, Hj Azman Zawawi dan Zulkifli Mat Yakim sedang khusyuk mendengar ucapan pemimpin.

Dari kanan ; Timbalan Ketua DPPKK, Mahadi Mahmud, Ustaz Abdul Hadi, Wan Mohd Faisal, Ustaz Syed Shahrunuddin, Ustaz Ramlan Mahmud & YM Tengku Zakaria antara pimpinan PAS Kemaman yang berada di saf depan.

Antara petugas yang hadir mendengar amanat dari kepimpinan.

Sebahagian yang hadir  mendengar ucapan pemimpin.

Sebahagian dari muslimat yang hadir begitu bersemangat untuk menghadapi PRU Ke-13.

Komen (1)

  1. Mat rani says:

    selamat berjuang

Hantar Komen Anda