Pembaling kasut ke arah Bush bebas awal: Memang patutpun!
Muntadhar al-Zeidi, 30, wartawan Iraq yang dipenjarakan kerana membaling kasut ke arah bekas Presiden George W. Bush Disember lalu akan dibebaskan 16 Sept 2009 selepas hukuman penjara tiga tahun dikurangkan setahun oleh mahkamah kerana beliau tiada sejarah kesalahan jenayah.
(Shoe game) Tindakan beraninya itu telah menjadikannya hero di kalangan dunia Arab di sebalik kemarahan terhadap pencerobohan Amerika Syarikat terhadap negara tersebut pada 2003.
Kasut bukanlah senjata tajam yang boleh membunuh. Ia bukan seperti bom yang dijatuhkan tentera Amerika kepada rakyat tidak berdosa di Iraq. Ia bukan seperti bom kimia yang dihujani kepada penduduk Palestin oleh tentera Israel hasil dari dokongan kuat Bush kepada Israel. Ia juga bukan seperti segala bentuk senjata yang dihantar ke Afghanistan untuk membunuh umat Islam di sana.
Kalau al-Zeidi mahu membunuh Bush, ia tentu menembaknya dengan senjata yang boleh membunuh. Kedudukannya yang begitu dekat dengan tempat Bush berucap sangat mudah baginya untuk berbuat demikian. Tetapi bagi seorang rakyat Iraq, manusia yang punya hati dan perasaan, barangkali ia merasa begitu terhina dengan apa yang berlaku kepada rakyat dan negaranya. Apa salahnya kalau Bush juga dihina dengan balingan sebuah kasut?
Kezaliman Bush sepanjang pemerintahannya tidak akan dilupakan oleh umat Islam seluruh dunia. Bush sendiri mungkin sudah tidak ingat berapa orang yang dibunuhnya. Itu belum dicampur dengan jenayah bapanya. Media juga tidak lagi menyebutnya. Tetapi rakaman Raqib dan Atid tetap tersimpan elok untuk dibicarakan secara adil di hadapan Rabbul Jalil di Padang Mahsyar nanti.

