Kembara Ilmu 23: Perang Arab-Israel Oktober 1973

Perang Okt 73(kemaskini 5 Okt 2013) Hari ini 5 Oktober 2013. Hampir terlupa dengan perang yang pernah berlaku di antara negara Arab dan negara haram Israel dalam bulan Oktober 1973. Ketika lawatan saya sekeluarga bersama rombongan pelajar Jordan ke Mesir sekitar tahun 1998, kami melawat ‘Panorama Perang oktober 1973′. Ia menempatkan pelbagai monumen, peralatan perang dan lukisan berkaitan dengan Perang Oktober 1973 itu, termasuk bagaimana negara Arab dapat menawan Semenanjung Sinai dari tangan Yahudi melalui replika patung kecil askar dan kelengkapan perang. Kami juga berkesempatan masuk ke dalam bekas kubu tentera Israel yang ditinggalkan di Semenanjung Sinai. Almarhum Mufti Jordan, Sheikh Nuh, guru saya pernah menceritakan bahawa ada di antara tentera Jordan yang masuk berperang dengan niat fi sabilillah dan syahid, wallahu’alam. (Gambar: Isteri bersama anak sulong Nisreen berumur 2 tahun di hadapan bangunan Panorama Perang okt 1973)

ceramah berkaitan:  Perang 6 Oktober (1072)

Buat mereka yang tidak mengetahui mengenai Perang Oktober ini, saya petik cerita mengenainya dari wikipedia Bahasa Melayu dan beberapa sumber lain:

Perang Yom Kippur

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Perang Yom Kippur

Sebahagian dari
Konflik Arab-Israel

Pasukan tentera Mesir menyeberangi Terusan Suez pada 7 Oktober

Tarikh

6 Oktober – 26 Oktober 1973

Tempat

Semenanjung Sinai, Dataran Tinggi Golan, dan kawasan persekitaran di Timur Tengah

Hasil

Ketetapan UNSC 338: Gencatan senjata yang menuju ke Sidang Geneva.

Pihak bersengketa

Israel Mesir
Syria
Jordan
Iraq

Komander

Moshe Dayan,
David Elazar,
Ariel Sharon,
Shmuel Gonen,
Benjamin Peled,
Israel Tal,
Rehavam Zeevi,
Aharon Yariv,
Yitzhak Hofi,
Rafael Eitan,
Abraham Adan,
Yanush Ben Gal
Saad El Shazly,
Ahmad Ismail Ali,
Hosni Mubarak,
Mohammed Aly Fahmy,
Anwar Sadat,
Abdel Ghani el-Gammasy,
Abdul Munim Wassel,
Abd-Al-Minaam Khaleel,
Abu Zikry,
Mustafa Tlass [1][2]

Kekuatan

415,000 askar,
1,500 kereta kebal,
3,000 pengangkut berperisai,
945 meriam,[3]
561 kapal terbang,
84 helikopter,
38 kapal tentera laut [4]
Mesir: 800,000 askar (300,000 diturunkan), 2,400 kereta kebal,                          2,400   pengangkut berperisai, 1,120 meriam, [3] 690 kapal terbang,                            161 helikopter, 104 kapal tentera laut,
Syria: 150,000 askar (60,000 diturunkan), 1,400 kereta kebal,                         800–900 pengangkut berperisai, 600 meriam, [3] 350 kapal terbang,                             36 helikopter, 21 kapal tentera laut,
Iraq: 60,000 askar, 700 kereta kebal, 500 pengangkut berperisai,                                200 meriam,[3] 73 kapal terbang, [4]

Korban dan kehilangan

2,656 askar terbunuh
7,250 askar tercedera
400 kereta kebal termusnah
600 kereta kabel termusnah (atau dikembalikan untuk diservis)
102 kapal terbang ditembak jatuh[5]
8,528* – 15,000** askar terbunuh
19,540* – 35,000** askar tercedera
2,250 kereta kebal termusnah atau tertangkap
432 kapal terbang termusnah [5]
* Analisis Barat
** Analisis Israel

Perang Yom Kippur, juga dikenali sebagai Perperangan Arab-Israel 1973, Perang Oktober, dan Perang Ramadan, berlaku dari 6 Oktober (hari Yom Kippur) hingga 22/24 Oktober 1973 antara Israel dengan pakatan Mesir dan Syria.

Isi kandungan

  • 1 Gambaran keseluruhan
  • 2 Latar belakang
  • 3 Tindakan Mesir
  • 4 Peperangan
    • 4.1 Penyertaan negeri-negeri Arab
    • 4.2 Di Tebing Golan
    • 4.3 Di laut

Gambaran keseluruhan

Presiden Gamal Abdel Nasser dari Mesir meninggal dunia pada bulan September 1970 dan digantikan oleh Anwar Sadat yang dianggap lebih sederhana dan pragmatik berbanding Nasser. Bagaimanapun, bagi mengimbangi ancaman dalaman kepada kuasanya dan memperkukuh imejnya di kalangan dunia Arab, Sadat bertekad untuk melawan Israel dan memenangi kembali kawasan yang hilang pada tahun 1967. Rancangan menyerang Israel bersama dengan Syria dirujuk sebagai Operasi Badr (bahasa Arab: operasi “bulan penuh”).

Mesir dan Syria cuba mendapatkan kembali kawasan di bawah penjajahan Israel dengan kekerasan. Tentera mereka bersama-sama melancarkan serangan mengejut pada hari perayaan Yahudi Yom Kippur — tentera Syria menyerang kubu di Dataran Tinggi Golan, manakala tentera Mesir menyerang kubu sekitar Terusan Suez dan Semenanjung Sinai — dan menyebabkan kemusnahan teruk pada tentera Israel. Bagaimanapun, selepas tiga minggu berperang dan selepas dibekalkan persenjataan oleh tentera udara Amerika Syarikat, Pasukan Pertahanan Israel (IDF) mengundurkan tentera Arab melebihi sempadan asal.

Semasa peperangan, Briged Berperisai Barak memainkan peranan yang penting untuk mempertahankan sempadan Israel daripada serangan Syria di selatan Dataran Tinggi Golan. 112 orang askar terbunuh ketika bertempur di situ. Tentera udara Mesir dan Syria bersama dengan sistem pertahanan udara mereka menembak jatuh 114 buah kapal terbang Israel semasa pertempuran.

Menurut perangkaan Israel, 2,688 orang petugas Israel terbunuh dalam pertempuran tersebut dan ribuan lagi (dianggarkan antara 5,000 – 10,000) tercedera. 295 orang askar Israel menyerah atau ditawan oleh tentera Arab (231 oleh Mesir, 62 oleh Syria, dan 2 di Lebanon) manakala 8,783 orang askar Arab ditawan oleh tentera Israel (8,372 oleh Mesir, 392 oleh Syria, 13 di Iraq, dan 6 di Maghribi). Kedua-dua pihak itu bertukar-tukar orang tawanan pada pertengahan tahun 1974.

Pada 22 Oktober 1974, perjanjian damai diisytiharkan, akan tetapi kepercayaan orang awam Israel telah tergugat kerana Israel jelas tidak tersedia untuk serangan mengejut dan gagal mematahkannya dengan pantas. Ketidaksediaan negara disalahkan pada Menteri Pertahanan Moshe Dayan, dengan orang awam yang marah menuntut beliau meletakkan jawatan. Presiden Mahkamah Agung menubuhkan sebuah suruhanjaya untuk menyiasat prestasi jeneralnya semasa berperang, dengan suruhanjaya tersebut kemudian mencadangkan peletakan jawatan Ketua Turus, tetapi tidak membuat sebarang ulasan tentang Moshe Dayan. Walaupun demikian, akhbar dan orang awam masih menyalahkannya. Setelah menghadiri upacara pengebumian askar-askar yang terkorban dan menghadapi keluarga-keluarga yang berkabung yang menggelarnya pembunuh anak mereka, Moshe Dayan menyerahkan surat peletakan jawatannya kepada Golda Meir pada tahun yang akhir tahun 1974.

Di Mesir dan Syria, Perang Yom Kippur dilihatkan sebagai separuh menang. Garis Bar Lev yang “tidak dapat ditawan” telah ditempuh, pasukan tentera udara Israel mengalami kerugian teruk, dan mitos keunggulan tentera Israel telah dihancurkan di Sinai dan Dataran Tinggi Golan. Akibat campur tangan Henry Kissinger, Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Israel terpaksa melepaskan sebahagian takluknya kepada Syria dan Mesir melalui beberapa perjanjian “pengunduran”, walaupun keamanan menyeluruh yang dibayangkan oleh gabungan Soviet-Amerika yang menganjurkan Persidangan Keamanan Timur Tengah tidak berlaku.

Latar belakang

Perang Yom Kippur merupakan sebahagian konflik Arab-Israel yang merangkumi banyak pertempuran dan peperangan sejak dari tahun 1948. Dalam Perang Enam Hari pada bulan Jun 1967, Israel telah menduduki Dataran Tinggi Golan di utara serta Semenanjung Sinai di selatan sehingga ke Terusan Suez.

Pada tahun-tahun yang menyusul Perang Enam Hari, Israel mendirikan barisan pertahanan di kedua-dua Sinai dan Dataran Tinggi Golan. Kemudian pada tahun 1971, ia membelanjakan AS$500 juta untuk mengukuhkan kedudukannya di Terusan Suez dengan serangkaian kubu dan kerja tanah raksasa yang dinamainya Garis Bar Lev sempena nama jeneral Israel, Haim Bar Lev. Selepas serangan mengejut yang mengalahkan tentera-tentera Mesir dan Syria pada tahun 1967 dan kemenangannya dalam Perang Pelumpuhan dengan Mesir di selatan yang berlangsung selama tiga tahun bersama-sama beberapa kejadian perbatasan di utara dengan Syria, pimpinan Israel menjadi agak lalai. Bangga dengan rasa keunggulan tentera sendiri, Israel gagal menyedari usaha agresif yang dilakukan oleh musuh-musuhnya, terutamanya Mesir, dalam mempersenjatai dan menyusun semula tentera masing-masing menjadi angkatan-angkatan tentera yang jauh lebih berdisplin yang dapat mencabar angkatan tenteranya (IDF).

Pada tahun 1971, Anwar Sadat mengumumkan bahawa sekiranya Israel melakukan pengunduran satu pihak dari semua kawasan yang ditawannya semasa perang tahun 1967, Mesir akan menimbangkan gencatan senjata atau kedamaian sementara yang menyeluruh. Israel keberatan berundur dari sedemikian banyak jajahannya tanpa sebarang jaminan perjanjian damai daripada Mesir dan tanpa peluang untuk mencapai sebarang perjanjian damai dengan jiran-jiran Arabnya ketika itu.

Sebagai balasan pada tahun 1972, Anwar Sadat dengan lantang menyatakan bahawa Mesir akan berperang dengan Israel, malahan mereka bersedia untuk mengorbankan sejuta orang askarnya. Sejak dari akhir tahun 1972, Mesir memulakan usaha yang bersungguh-sungguh untuk mengukuhkan angkatan tenteranya dan menerima MiG-23, SAM6, RPG-7, khususnya peluru berpandu anti-kereta kebal ‘Sagger’, daripada Kesatuan Soviet serta memperbaik taktik-taktik tenteranya.

Pada tahun 1972 dan 1973, Sadat secara terang-terangan mengisytiharkan sekali lagi bahawa Mesir akan berperang dengan Israel kecuali ia berundur sepenuhnya dari kesemua jajahan yang ditaklukkannya pada tahun 1967. Sadat mengambil langkah diplomatik pada tahun 1973 untuk meyakinkan negara-negara Afrika, Eropah dan Kesatuan Soviet supaya menyokongnya dalam peperangan dengan Israel. Oleh sebab Kesatuan Soviet sedang cuba memperbaiki hubungannya dengan Amerika Syarikat melalui pengenduran ketegangan, ia enggan menyetujui permintaan Mesir untuk memperoleh lebih banyak senjata dan sokongan umum terhadap perangnya dengan Israel. Sebagai balasan, Sadat menyingkirkan sekitar 20,000 orang penasihat Soviet dari Mesir.

Kuasa-kuasa terbesar juga memainkan peranan yang utama dalam keputusan kedua-dua perang, dengan dasar Kesatuan Soviet merupakan salah satu punca kelemahan tentera Mesir. Sedangkan Amerika Syarikat tidak terbatas membekalkan Israel dengan senjata-senjata serangan yang paling terkini, Rusia hanya membekalkan Mesir dengan persenjataan pertahanan dan walaupun demikian, juga hanya dengan banyak keberatan. Sebenarnya, Gamel Abdel Nasser hanya dapat memperoleh bahan untuk barisan pertahanan peluru anti-pesawatnya selepas beliau melawat Moscow dan mengugut pimpinan Kremlin bahawa beliau akan pulang ke Mesir untuk memberitahu orang Mesir bahawa Moscow telah meninggalkan mereka dan kemudian akan meletakkan jawatannya supaya penggantinya akan dapat berbaik-baik dengan Amerika Syarikat yang akan mendapat kuasa di wilayah itu.

Salah satu matlamat Perang Pelumpuhan yang tidak diisytiharkan adalah untuk memaksa Kesatuan Soviet supaya membekalkan Mesir dengan senjata dan bahan perang yang lebih maju. Mesir berasa bahawa cara yang tunggal untuk meyakinkan para pemimpin Soviet tentang kekurangan kebanyakan pesawat dan persenjataan pertahanan udara yang dibekalkan selepas tahun 1967 adalah untuk mengujinya terhadap persenjataan maju yang dibekalkan oleh Amerika Syarikat kepada Israel.

Dasar Nasser selepas kekalahan tahun 1967 bertentangan dengan dasar Kesatuan Soviet. Sedangkan Nasser bertindak mengikut kepercayaanya bahawa apa yang dirampas melalui kuasa harus dituntut balik dengan kuasa, pihak Soviet cuba mendorong Mesir ke arah penyelesaian aman terhadap pertikaian Arab-Israel. Dengan apa cara sekalipun, Kesatuan Soviet hendak mengelakkan sebarang pertempuran yang baru antara pihak Arab dengan Israel agar tidak berkonfrontasi dengan Amerika Syarikat.

Perang Oktober 1973

Tindakan Mesir

Keadaan menjadi amat nyata kepada Mesir apabila kuasa-kuasa besar bertemu di Oslo dan bersetuju mengekalkan status quo di kawasan ini, tanpa mengira pendudukan wilayah-wilayah Arab oleh Israel yang berterusan.

Ini jelas tidak dapat diterima. Apabila para pemimpin Mesir mendapat bukti jelas tentang persediaan mereka untuk menyeberang Terusan Suez telah dibocorkan, kesemua orang Rusia terpaksa diusir keluar dari Mesir agar dapat mengekalkan unsur kejutan. Langkah ini juga membantu memastikan kemenangan pada bulan Oktober merupakan sebuah kemenangan Arab pada keseluruhannya.

Dalam sebuah wawancara yang diterbitkan di dalam majalah Newsweek pada 9 April 1973, Sadat sekali lagi mengugut bahawa Mesir akan berperang dengan Israel. Bagaimanapun, ugutan ini telah diulang berulang-kali sejak dari tahun 1971, dengan para pemimpin awam Israel serta bahagian perisikan tenteranya kini tidak lagi mengambil berat terhadapnya, khususnya selepas dibutai dengan kejayaan semasa Perang Enam Hari. Banyak kali pada tahun 1973, tentera-tentera Arab telah mengadakan latihan-latihan berskala besar yang mengakibatkan Pasukan Pertahanan Israel (IDF) berjaga-jaga, hanya untuk ditamatkan beberapa hari kemudian. Pimpinan Israel juga mempercayai bahawa jika berlakunya sebarang serangan, Tentera Udara Israel akan dapat menangkisnya dengan mudah, dengan mereka kini semakin yakin bahawa serangan tidak akan berlaku.

Kebanyakan analisis tentang Mesir dalam perang menganggap bahawa niatnya membabitkan penaklukkan semula semua atau hampir semua kawasan Sinai yang sebenarnya merupakan matlamat yang diumumkan. Bagaimanapun, sesetengah penulis Mesir kemudian menegaskan bahawa arahan-arahan Sadat kepada jeneral-jeneralnya adalah hanya untuk menawan sejalur tanah yang lebarnya beberapa kilometer di sebelah timur Terusan Suez. Apabila dokumen-dokumen arkib tentera Israel serta dokumen-dokumen Mesir yang dirampas oleh Israel semasa perang dibebaskan, sebilangan ahli sejarah Barat mula menyokong versi kedua ini. Umpamanya, ini adalah pendapat Dani Asher yang bukunya diterbitkan oleh Kementerian Pertahanan Israel pada tahun 2003. Bagaimanapun, kepastian mutlak harus menunggu sehingga arkib Mesir dibuka.

Peperangan

Penyertaan negeri-negeri Arab

Negera-negara Arab lain juga menyertai peperangan ini dengan menyediakan bekalan tambahan persenjataan dan kewangan. Jumlah tepat nilai sokongan ini tidak dapat dipastikan. Berdasarkan pada beberapa sumber, Iraq telah menghantar satu skuadron jet Hunter ke Mesir. Semasa perang berlangsung, Iraq telah menghantar satu divisyen seramai 18,000 tentera dan beberapa ratus kereta kebal, yang mana telah diatur gerak ke tengah Golan; pasukan-pasukan ini termasuk beberapa pesawat pejuang MiG milik Iraq telah memainkan peranan dalam peperangan ini. Arab Saudi dan Kuwait memberi bantuan kewangan dan menghantar pasukan tentera bagi bertempur. Arab Saudi menghantar sejumlah kecil trup ke Syria dan sepasukan unit berperisai Jordan bertempur dengan tentera Israel bagi mengekang kemaraan Israel di Bukit Golan.

Antara tahun 1971 hingga 1973, Qadhafi dari Libya telah menghantar pesawat pejuang Mirage ke Mesir, dan memberi bantuan kewangan kepada Mesir sebanyak $1 bilion bagi memlengkapi Mesir dengan senjata. Algeria menghantar beberapa skuadron pesawat pejuang dan pengebom, briged berperisai, dan beberapada dozen kereta kebal. Tunisia menghantar lebih 1,000 tentera, yang berkhidmat dengan pasukan pertahanan Mesir di Delta Nil. Sudan menghantar 3,500 tentera; Maghribi menghantar tiga briged ke perbatasan hadapan.

Di Tebing Golan

Di Bukit Golan, Syiria menyerang pertahanan Israel yang terdiri daripada dua briged dan sebelas bateri artileri dngan lima divisyen dan 188 bateri artileri. Kesemua kereta kebal Israel yang ditempatkan di Bukit Golan terkena tembakan dan 250 buah darinya berjaya ditumpaskan, 150 buah darinya berjaya dibaiki. Kereta kebal milik Syria memiliki peralatan penglihatan malam sementara kereta kebal milik Israel tidak memiliki kelengkapan ini. Komando Syria yang digugurkan melalui helikopter berjaya merampas kubu kuat penting Israel di Jabal al Shaikh (Gunung Hermon) yang mana memiliki pelbagai jenis peralatan pengawasan.

Bagi berdepan dengan tiga divisyen infantri Syria (setiap satunya diperkuatkan dengan sebuah briged berperisai) dan 2 divisyen berperisai, pihak Israel hanya berjaya mengumpulkan sebuah briged berperisai, 2 batalion infantri dan disokong oleh empat bateri artileri gerak sendiri.

Asalnya, pasukan tentera Syria tidak dipintas oleh sebarang pesawat Tentera Udara Israel di sebabkan oleh kehadiran hampir 200 buah pelancar peluru berpandu permukaan ke udara SA-6 yang membentuk payung pertahanan.

Selama tiga hari pertempuran, briged ke-7 Israel di utara (di bawah perintah Yanush Ben-Gal) berjaya mempertahanankan garisan bukit berbatu yang mempertahankan sisi utara ibu pejabat mereka di Nafah. Walaubagaimanapun arah ke selatan, briged “Barak” , yang ketiadaan sebarang pertahanan semulajadi, telah dikalahkan dengan teruk, dengan komandernya Kolonel Shoham terbunuh semasa kemaraan tentera Syria ke arah Laut Galilee.

Pada satu ketika, satu-satunya halangan di antara serangan Syria dan Nafah adalah sebuah kereta kebal (yang dikenali pasukan Zvika). Walaubagaimanapun keadaan di utara kemudian berubah ekoran ketibaan pasukan simpanan Israel yang berjaya mengekangan serangan Syria. Bukit Golan terlalu kecil bagi bertindak sebagai penampan wilayah yang berkesan, tidak seperti Semenanjung Sinai di selatan, dan Israel memberi lebih keutamaan pada perbatasan utara untuk pergerakkan pasukan simpanan mereka. Menjelang 11 Oktober, tentera Syria diundurkan kembali jauh daripada perbatasan pada tahun 1967.

Pada hari-hari berikutnya, pasukan Israel mara ke dalam wilayah Syria. Dari sini mereka berjaya mengebom pinggir Damsyik, hanya 40 km jauhnya dengan menggunakan artileri berat. Satu gencatan senjata telah dirundingkan pada 22 Oktober, dengan mengembalikan wilayah seperti sempadan sebelum perang meletus.

Sebagai tindak balas ke atas kejayaan Israel dan sokongan Amerika Syarikat ke atas Israel, pada 17 Oktober negara-negara Arab mengistiharkan sekatan minyak ke atas Barat.

Di laut

Semasa Pertempuran Latakia, satu pertempuran laut telah meletus di antara Syria dan Israel. Ia berlaku pada 7 Oktober, hari kedua perang, menghasilkan kejayaan bagi Israel dan membuktikan kejayaan penggunaan bot peluru berpandu kecil dan laju yang dipasang dengan peralatan pakej tindak balas melawan elektronik yang maju. Pertempuran ini juga menjadi asas penubuhan Tentera Laut Israel.

Lihat juga

(sumber lain) Fakta-fakta menarik :

1) Peperangan ini juga dinamakan sebagai Perang Yom Kippur iaitu hari kebesaran Yahudi dan juga dinamakan Perang Ramadan kerana berlaku dalam bulan kebesaran Islam – Ramadhan. Ia berlaku pada 10 Ramadhan 1393 bersamaan 6 Oktober hingga 22 Oktober 1973.

2) Konflik Arab-Israel berlaku sejak 1948 selepas negara haram Israel ditubuhkan. Pada jun 1967 berlaku Perang Enam Hari antara Israel dengan Mesir, Syria dan Jordan. Negara Arab lain seperti Saudi, Sudan, Tunisia, Maghribi dan Algeria turut memberi bantuan ketenteraan.

3) Dalam Perang Enam Hari ini, Israel menjaya menduduki Bukit Golan Syria dann Semenanjung Sinai di Mesir hingga ke Terusan Suez. Selepas itu Israel membina barisan pertahanan di Sinai dan Bukit Golan. Mereka memperuntukkan tidak kurang US500 juta untuk membina kubu yang diperbuat daripada pasir sepanjang 160km.

4) Kubu ini dipanggil Garis Bar Lev turut disokong dengan dinding konkrit. Binaan daripada pasir menyebabkan  ia bertahan daripada serangan udara dan kereta kebal Mesir. Ia disifatkan oleh Menteri Pertahanan Israel sebagai kubu  anti kereta kebal terbaik di dunia.

5) Presiden Mesir Anwar Sadat menggantikan Jamal Abdul Nasser pada 1970. Beliau bertekad melawan Israel dan menawan kembali Sinai yang ditawan Israel pada 1967. Pada 1972 Anwar Sadat mengumumkan Mesir sedia berperang dan menyediakan sejuta tentera, jet-jet pejuang MiG-23, roket SAM6, RPG-7 dan peluru berpandu anti kereta kebal Sagger.

6) Tentera Mesir dan Syria menyerang Israel serentak pada hari perayaan Yahudi Yom Kippur. Mesir menyerang kubu sekitar Terusan Suez dan Sinai sementara Syria menyerang kubu di Bukit Golan dan Israel mengalami kerosakan teruk. Walaubagaimanapun, Mesir gagal menembusi kubu pasir Bar Lev walaupun menggunakan teknologi ketenteraan yang mahal. Amerika Syarikat membekalkan senjata kepada Israel selepas tiga minggu peperangan dan mereka berjaya mengundurkan tentera Arab dan merampas kembali Sinai dan Bukit Golan.

7) Ulama Mesir bernama almarhum Syaikh Hafiz Salamah yang juga Imam Masjid Bandar Suez bermimpi kaedah merobohkan kubu Bar Lev. Dalam mimpinya, beliau ditunjukkan cara meruntuhkan kubu itu ialah dengan menggunakan air. Lagipun kubu itu begitu hampir dengan Terusan Suez yang menjadi laluan kapal besar. Ilham ini dipraktikkan apabila Mesir menggunakan meriam air yang biasa digunakan dalam kerja-kerja perlombongan.

Pasukan tentera Mesir menyeberangi Terusan Suez pada 7 Oktober

 

Selain itu, Mesir turut menggunakan pam gasolin yang lebih kecil dan ringan. Mereka mendapatkan 300 pam buatan British dan 150 pam buatan Jerman. Akhirnya Mesir berjaya meruntuhkan kubu pasir berkenaan dalam tempoh kurang dua jam. Israel menerima tamparan hebat  yang tidak diduga oleh mereka. Tentera Mesir terus menyerbu masuk dan menembusi kubu ini disamping bantuan tentera udara menggunakan 250 jet pejuang MiG-21, MiG-19 dan MiG-17. Pasukan jurutera Mesir juga berperanan membuka laluan kubu pasir Bar Lev. Serangan demi serangan menyebabkan pertahanan Israel menjadi lumpuh.

9) Pada 22 Oktober 1974, perjanjian damai diisytiharkan. Rakyat Israel menyalahkan pimpinan Israel dan menuntut Menteri Pertahanan mereka agar meletakkan jawatan. Akhirnya pada akhir 1974, Menteri berkenaan menyerahkan surat perletakan jawatan.

10) 6 Oktober adalah satu tarikh penting sehingga Mesir dan Syria memilihnya sebagai tarikh hari kebangsaan kedua-dua negara. 6 Oktober juga dipilih sebagai Hari Angkatan Tentera Mesir.

11) Pada 6 Oktober 1981, dalam perbarisan tentera sempena ulang tahun Perang Oktober, Presiden Mesir ketika itu Anwar Sadat mati ditembak kerana tindakannya yang berdamai dengan Israel.

Hantar Komen Anda