Isu Hudud: BN Rela Jenayah Subur Di Bawah Pemerintahannya

najib tolak hududKenyataan Najib bahawa BN tidak akan laksanakan hukum hudud menggambarkan beberapa perkara:

-Aqidahnya sebagai seorang Islam boleh diragui darjah keimanannya.

-UMNO sebagai tunggak parti pemerintah memang tidak boleh diharap langsung menjaga Islam dan memartabatkan Islam di tempat yang sebenar.

-Kejahilan pemimpin UMNO terhadap hukum Islam sangat ketara. Kewujudan penasihat agama PM, beberapa institusi Islam seperti IKIM, YADIM, JAKIM dan golongan agamawan dalam UMNO tidak memberi kesan positif kepada cara berfikir dan kefahaman Islam sebenar kepada pemimpin UMNO.

-BN lebih rela negara disuburkan dengan jenayah di bawah pemerintahannya.

Jenayah di Malaysia sekarang begitu dahsyat. Bukan lagi jenayah yang ringan, tetapi jenayah berat yang seolah-olah menjadi bahan bacaan harian.

Bagi saya jenayah tidak dapat diturunkan kadarnya atau diatasi melainkan dengan kembali kepada kaedah terbaik mengatasi jenayah itu. Tidak lain melainkan kembali kepada hukum Allah yang antaranya hudud, qisas dan takzir. Hakikat sebenarnya Hudud itu adalah salah satu hukum Allah yang wajib dilaksanakan. Seperti kita meyakini solat, puasa, zakat, haji itu sebagai hukum Allah yang wajib diimani dan wajib dilaksanakan, maka demikianlah hukum hudud.

ucapan TG Nik Aziz di Hari Hududillah Perundangan Islam: Utamakan Mencegah (560)

Ini bukan soal politik semata-mata. Bukan soal siapa yang menerima hudud atau menolak hudud. Ini soal keselamatan dan kestabilan negara. Bagaimana negara boleh aman dan stabil kalau jenayah menjadi begitu mengganas dan berleluasa.

Dalam ayat 186 surah al-Baqarah, Allah menyebut tentang kefardhuan puasa. Beberapa ayat sebelum itu Allah menyebut dengan seruan sama kepada orang beriman, dan dengan lafaz yang hampir sama dengan puasa, tetapi kefardhuannya ialah Qisas-pembalasan setimpal terhadap jenayah yang dilakukan.

Di Malaysia, sistem kewangan Islam berkembang dengan baik. Di celah sistem kapitalis yang begitu dominan, beberapa aspek kewangan Islam boleh menumpang dan menyelit sama. Bahkan mendapat sambutan dari banyak institusi kewangan konvensional pula.

Kita tidak pula mengatakan sistem kewangan Islam itu lapuk atau hanya slogan. Sistem jenayah pula yang meliputi hukum hudud, takzir dan qisas juga adalah sebahagian dari komponen ajaran Islam sendiri. Kalau kita boleh meyakini sistem kewangan Islam, mengapa kita sebagai orang Islam tidak boleh meyakini sistem jenayah Islam?

Jenayah Kekerasan 2005 2006 2007 (januari – ogos)
Bunuh 497 604 383
Cubaan Bunuh 94 - -
Rogol 1887 2435 2144
Cabul Kehormatan - 2023 1576
Samun Berkawan Bersenjata Api 40 68 22
Samun Berkawan Tanpa Senjata Api 1842 2658 1918
Samun Bersenjata Api 317 247 155
Samun Tanpa Senjata Api 13 210 18 446 12 936
Pemerasan - 1549 1230
Ugutan Jenayah - 6336 5493
Merusuh - 2261 1744
Mencederakan 4246 5716 4501
Jumlah 22 133 42 343 32 102
Jenayah Harta Benda
Curi 34 317 37 128 28 865
Curi Van/ Lori/ Jentera Berat 5507 6328 3384
Curi Motokar 9711 11 101 7954
Curi Motosikal 51 709 64 858 43 652
Curi Ragut 9617 9551 7176
Pecah Rumah Siang Hari 6923 8253 6296
Pecah Rumah Malam Hari 17 542 19 060 14 356
Jumlah 135 326 156 279 111 683
Jumlah Jenayah Indeks 157 459 198 622 143 785

Sumber: Polis Diraja Malaysia

dipetik daripada Dewan Masyarakat, November 2007.

Cuba lihat indeks jenayah di Malaysia di atas. Indeks tersebut sehingga 2007. Ia begitu menakutkan. Ia berkembang-biak walaupun akta demi akta dicipta. Jenayah berat seperti bunuh, rompak, curi, samun, rogol menjadi tajuk utama media saban hari. Dulu tidak ada siri 999 di tv. Tapi kerana banyaknya jenayah kini, maka siri itu tidak kurang idea dan bahan. Namun kerana tiada ‘ruh’ (spirit) dari langit dalam akta tersebut, ia tidak berjaya. Sedangkan Allah telah memberi jaminan untuk mencegah jenayah dari terus berleluasa apabila sistem jenayah Islam dilaksanakan berdasarkan petunjuk yang benar dari langit. Dan selepas merdeka lebih 50 tahun , sepatutnya negara kita makin aman dengan perlaksanaan hukum Tuhan, bukannya makin parah dengan pelbagai jenayah sehingga terpaksa ditambah pegawai polis dan CCTV.

Hudud atau sistem jenayah Islam ini pula mempunyai tiga fungsi. Menghukum penjenayah dengan balasan setimpal, mencegahnya dari mengulangi jenayah yang sama di masa hadapan dan menghindarkan bakal-bakal penjenayah dari melakukan jenayah tersebut. Dan tentulah perlaksanaan ini mesti berjalan secara holistik. Bukan hanya menjatuhkan hukuman atau melaksanakan hudud, masyarakat pula mesti dididik dengan agama, perkara mungkar mesti dijauhi dan segala elemen yang menyuburkan jenayah mesti dibanteras. Soalnya ialah setakat mana kerajaan bersungguh mendidik rakyat dengan agama. Setakat mana mungkar dibanteras (sedangkan pemimpin UMNO/BN juga terlibat dalam mungkar dan jenayah: tuduh liwat, pembunuhan, rasuah dan lain-lain) dan tidak pelik jika ada agensi tertentu yang melindungi penjenayah, samseng atau kongsi gelap.

Tidak sepatutnya timbul keraguan terhadap hukum hudud, ucapan hanya slogan, atau menjadi mainan politik selamanya. Kesungguhan melaksanakannya mesti ada pada ahli politik Islam dan terutamanya pemerintah di peringkat kerajaan pusat yang mempunyai bidangkuasa yang besar.

Kerajaan Kelantan berhasrat melaksanakan perintah Allah itu. Dalam tempoh lebih 20 tahun pemerintahannya, suasana kondusif untuk melaksanakan hukum itu disediakan. Pelbagai aktiviti kebajikan terhadap rakyat dibuat. Kefahaman Islam disampaikan kepada rakyat. Rakyat dididik dengan program agama. Kebajikan rakyat diutamakan. Pemimpin kerajaan negeri diajar dan ditarbiyyah menjauhi rasuah. Akhirnya kalau berlaku kecurian, maka yang mencuri itu tentunya penjahat yang mesti dihukum. Justru, kenapa takut dengan hukum hudud?

Terengganu di bawah pemerintahan PAS akhir 1999 hingga 2004 telah meletakkan batu asas pentadbiran dan pemerintahan negeri berdasarkan al-Quran, Sunnah, Ijmak dan Qias. Saya masih ingat ketika pihak kerajaan negeri Terengganu di bawah PAS ketika itu yang membuat seminar pelaksanaan syariah di tahun 200an itu, saya yang ketika itu masih menjawat jawatan pensyarah Pengajian Islam turut menghadiri seminar tersebut. Dalam sebuah bengkelnya, saya kebetulan bersama dengan bekas ADUN Seberang Takir dari BN, Dato’ Rashid Ngah. Perbincangan tersebut rancak tentang hukum hudud. Dato’ Rashid Ngah hanya diam, tidak banyak bercakap, dan tidak pula membantah.

Tempoh yang lama di bawah pemerintahan Dr Mahathir menyaksikan hukum hudud menjadi mainan, momokan dan sinis dari kejahilan pemimpin UMNO/BN nombor satu ketika itu hinggalah juak-juaknya yang juga jahil tentang Islam. Orang Melayu yang jahil dan orang bukan Islam yang kurang memahami Islam termakan dengan dakyah UMNO/BN mengenai hukum Islam hinggalah PAS berjaya meruntuhkan tembok itu kemudiannya.

Hanya mereka yang masih tidak faham tentang hukum hudud dan penjenayah (kolar putih atau biru)  sahaja yang cepat melatah apabila diajak supaya melaksanakan hukum hudud. Sekali lagi ditegaskan, tiada pilihan untuk menurunkan kadar jenayah melainkan mesti kembali kepada hukum ajaran Allah, bukan sahaja dalam soal jenayah tetapi bersedia menerima sistem Islam dalam bentuknya yang holistik dan menyeluruh. PAS komited dengan perjuangannya ‘Islam Adil Untuk Semua’ dan ‘Membangun Negara Berkebajikan’ bersama rakan dalam Pakatan Rakyat bagi menumbangkan UMNO/BN yang mewarisi sifat-sifat ‘penjajah’ ini.

Komen (2)

  1. Ustaz Nik Nasri says:

    Hudud adalah kesalahan yg ditetapkan oleh Allah utk kesejahteraan manusia. hudud hanya dikenakan kepada penjenayah tertentu yg mengganggu keharmonian msyrkt. Merekalah yg menjadikan msyrkt tidak tenteram. Allah mengasihi mereka yg tidak mengganggu ketenteraman org lain. Anda masih sangat jahil tentang agama Allah. Moga Allah masih mengasihi anda dengan memberi peluang utk bertaubat dan mencari ilmu.

  2. [...] masyarakat agar bersedia menerima hukuman Allah ini bagi manfaat mereka juga. Artikel seperti: Isu Hudud: BN Rela Jenayah Subur Di Bawah Pemerintahannya , Hudud: Penasihat Agama MB Pening, MB Lagi Bingung, Buku Kecil Tentang Hukum Hudud, termasuk [...]

Hantar Komen Anda