Khutbah 27 Syaaban: Ramadhan Bulan Bersih

poster bersihSaya berkhutbah Jumaat di Masjid Pasir Minal Jumaat 27 Syaaban. Terlambat sedikit uploadnya kerana masalah teknikal. Saya membacakan khutbah yang dibaca oleh Nabi di akhir Syaaban sebelum masuknya Ramadhan. Saya juga mengaitkan tarbiyyah Ramadhan yang menyediakan pelbagai peluang untuk membersihkan diri dengan pembersihan sistem yang ada. Diri yang telah bersih dek Ramadhan mesti melampaui orang lain, bukan untuk peribadi sahaja.

Ramadhan Bulan Bersih (166)

Salman al-Farisi meriwayatkan, Nabi SAW berkhutbah:

“Wahai sekalian manusia! Telah muncul kepada kamu bulan yang mulia, yang berkat, bulan yang di dalamnya terdapat satu malam lebih bernilai dari seribu bulan. Bulan Allah memfardhukan ke atasmu berpuasa di siang hari, mendirikan malam ( solat tarawih) sebagai sunat di malam hari.

Sesiapa yang mendekatkan dirinya kepada Allah melalui satu amalan kebaikan di bulan Ramadhan, diberi ganjaran ia melaksanakan seperti amalan fardhu di bulan selain Ramadhan. Sesiapa melakukan satu amalan fardhu. Ia akan dibalas 70 kali  amalan fardhu di bulan yang lain. Ramadhan adalah bulan kesabaran dan pahala kesabaran ialah syurga. Ramadhan adalah bulan meluaskan belanja. Di bulan ini rezeki orang beriman di tambah. Sesiapa yang memberi makan berbuka puasa kepada orang yang berpuasa, diampunkan dosanya, dibebaskan dari api neraka dan mendapat ganjaran yang sama seperti orang yang berpuasa tanpa mengurangi sedikitpun pahala orang berpuasa.

Para sahabat bertanya: “Wahai RasulAllah! Tidak semua dari kami dapat memberikan kepada orang berpuasa untuk berbuka”

Nabi SAW menjawab: “Allah akan memberikan pahala kepada orang yang member berbuka puasa walaupun dengan hanya sebiji kurma, seteguk air atau secedok susu untuk orang berbuka puasa. Ramadhan ini adalah bulan di awalnya rahmat, di pertengahannya pengampunan dan di akhirnya pembebasan dari api neraka.

Hantar Komen Anda