Komentar sempena ulangtahun ke 8 radio ikim.fm

radio ikim(di email ke radio ikim.fm)

Tahniah kepada radio ikim.fm yang menyambut ulangtahunnya ke 8 baru-baru ini. Saya dan isteri adalah di antara pendengar setia stesyen radio ini, terutama di rumah dan di dalam kereta. Kata si budak perempuan kecil dalam iklan itu: ‘Dengarlah radio ikim.fm yaa!’

Saya mempunyai beberapa komentar tentang program-program radio ikim.fm:

1. Program ekonomi di tengahari sangat dipuji. Pengarah IKIM yang baru yang ketika itu Timbalan Pengarahnya mengulas isu ekonomi dengan begitu baik. Demikian juga pengulas yang lain dari kalangan felo ikim sendiri. Soalnya adakah ia didengar terutama oleh pembuat dasar ekonomi di negara kita? Atau hanya didengar oleh pendengar setia radionya sahaja.

2. Slot-slot yang lain seperti duniaku buku, studio Z & Z, pondok warisan, bahasa arab, syariah dan perundangan adalah antara slot yang tidak dimiliki oleh stesyen radio lain.

3. Sedikit kritikan saya ialah slot bahasa Arab yang dikendalikan oleh Puan Muna Jasman. Saya berharap bahawa beliau mendalami tatabahasa Arab dengan lebih baik kerana saya dapati banyak perkataan bahasa Arab yang diungkap tersasar dari ‘grammar’nya.

Begitu juga perkataan seperti tawaffa yang sepatutnya disebut tuwuffia, bukannya tawaffa. Ia disebut di dalam kapsul tokoh terutamanya. Ia mungkin kecil, tetapi berada di dalam slot bahasa Arab dengan guru pakar bahasa Arab tetapi salah sebutan bahasa Arab adalah satu kesalahan ketara. Ia juga menjadi cabaran kerana seperti kata Pengarah IKIM yang baru bahawa ia bercadang memperkenalkan program yang dikendalikan dalam bahasa Arab sepenuhnya.

4. Nasyid-nasyid yang dimainkan di dalam radio ikim.fm sudah bercampur-baur dengan lagu-lagu yang kadang-kadang entah apa-apa. Ada nasyid arab yang sangat baik, tetapi selepas itu lagu pop oleh Amir Dhiab. Di negara Arab, menggabungkan antara nasyid Islami dan kemudian lagu pop sebegitu agak janggal. Mungkin kerana liriknya dalam bahasa Arab lalu disangka ia juga seperti nasyid.

Nasyid Melayu juga pelbagai. Ada yang boleh dikategorikan sebagai nasyid, tidak kurang juga yang jauh tersasar dari nasyid. Liriknya betul, tetapi kekadang ia tenggelam dalam bunyi gitar rancak seperti lagu Mat Saleh. Kata guru saya, Sheikh Nuh Ali Salman al-Qudha, Mufti Jordan, nasyid sudah menjadi lagu, lahannya (irama atau rentaknya) sudah lari dari asal.

Ada juga ‘nasyid’ dari Siti Norhaliza dan lain-lain penasyid wanita. Saya rasa hukum suara sebagai aurat apatah lagi dalam bentuk nyanyian jelas dikupas oleh para ulama, tetapi apabila radio ikim.fm sendiri yang memainkannya, saya tak pasti pendapat mazhab atau ulama mana yang dipakai. IKIM ialah singkatan Institut Kefahaman Islam Malaysia. Justru, kefahaman perlu jelas, kerana kefahaman itulah yang akan diterima oleh masyarakat.

Muzik latar bagi sesetengah DJ juga tidak ubah seperti berada di kelab malam atau disko. Maaflah, tetapi Nabi menyebut ‘Katakan yang hak walaupun pahit’

Saya berharap agar komentar saya ini diterima dengan hati terbuka agar radio ikim.fm ini terus dan sentiasa menjadi pilihan pendengar, di samping memberi kefahaman dan membentuk kefahaman sebenar berdasarkan ajaran tulen Islam.

Hantar Komen Anda