Kembara Ilmu 21: Sheikhku Dr Nuh,Mufti Jordan Kembali Ke Rahmatullah

nuh salman al-QudhaSelepas 11 tahun meninggalkan bumi Jordan, saya teringin benar kalau dapat bertemu kembali dengan sheikh dan murabbi saya, Dr Nuh Ali Salman al-Qudha. (Pengalaman saya lebih 6 tahun bersamanya diabadikan dalam Kembara Ilmu 7 dan beberapa siri selepasnya) Dalam fikiran, dicongak-congak kalau dapat menunaikan umrah, singgah di Jordan, bertemu dan menjemputnya ke Malaysia. Di Malaysia nanti, boleh disusun pelbagai aktiviti ceramah dan lawatan untuk Sheikh Nuh. Itulah impian saya. Lagipun, tak ramai yang mengenali beliau kecuali para pelajar Malaysia yang pernah belajar di Jordan (yang cakna ilmu) atau mereka yang mengikuti perkembangan ulama Islam. Namun Allah Yang Maha Mengasihi lebih mengasihi Sheikh Nuh. Beliau kembali ke rahmatullah pada pagi Ahad 19 Dis 2010 (13 Muharram 1432) dalam usia 71 tahun  (74 tahun Hijrah) selepas menjalani pembedahan dan rawatan di Austria selama 3 bulan dan kembali ke Jordan tetapi masih dirawat di hospital di Amman. Sabtu malam Ahad saya bermimpi sedang bermain satu permainan, tiba-tiba air besar seperti Tsunami mengatasi bukit muncul. Saya bersyahadah dan azan. Air itu menerpa ke bawah saya tetapi tidak mengenai saya. Saya terjaga. Apa tafsir mimpi itu? Permainan tidur, syaitan atau apa? Ada kaitan dengan kematian itu? Wallahua’lam. rakaman solat jenazah dan pengkebumian

jenazah sheikh nuhJenazahnya dikebumikan di kampung asalnya di Ajloun, utara Amman. Puluhan ribu mengiringi jenazahnya. Mungkin tidak seperti ulama-ulama kontemporari lain yang lebih dikenali di luarnegara, namun penduduk Jordan dan beberapa negara Arab sekitar mengenali beliau.

Sumbangan beliau kepada perkembangan Islam di negara Jordan yang kecil itu tidaklah boleh diperkecilkan. Angkatan Tentera Jordan diIslamkan dengan mewujudkan institusi agama tersendiri sehingga mempunyai mufti, para imamnya sendiri, termasuk silibus pengajian. Jauh lebih baik dari KAGAT.

Beliau juga mempunyai hubungan baik dengan pelbagai aliran Islam di Jordan. Beliau bersahabat baik dengan para pemimpin Ikhwan Jordan, dihormati pemimpin sufi dan Tarikat, disegani oleh pegawai kerajaan dan disayangi oleh rakyat Jordan.

bersama sheikh nuh di rumahnyaAlhamdulillah, 6 tahun bersamanya dimanfaatkan untuk sentiasa ‘menadah kitab’ dengannya walaupun berjalan kaki keseorangan ke rumahnya di Eidoun, 2 km dari Duwwar Naseem, Irbid, Jordan. Asal ada masa sahaja selain kuliah rasmi di Universiti Yarmouk dan aktiviti jemaah, maka ke masjid berhampiran rumahnyalah destinasinya. Ilmunya dikutip sungguh-sungguh. Kelebihannya ialah kerana beliau pernah belajar di madrasah di Syria ketika mudanya. Di zamannya, institusi ilmu di Syria hebat, seperti juga di Mesir walaupun pemerintah Syria sangat kuat menekan ulama dan Islam. Madrasah tempat pengajiannya di Syria itu melahirkan ulama-ulama terkenal. Kalau hanya mengharap pengajian rasmi BA-MA-PhD, tidaklah tamakkun sangat.

Sheikh Nuh adalah guru yang ke 8 telah meninggal dunia setakat ini: Datuk sendiri, Hj Abdullah (bapa Hj Zawawi, Mudir Taman Islam, Kemaman), TG Hj Hashim (pernah mengajar kitab di Kajang), TG Hj Ali b Musa (Pondok Siliau, NS), TG Hj Abdul Latif (Pak Teh Keroh/Pengkalan Hulu), TG Hj Najmudin (Pondok Paku Kerandang, Besut), Dr Walid al-Aani (pakar hadis, Univ Yarmouk-asal Iraq).

Moga Allah merahmati semua para ulama al-aamilin yang mendahului kita. ‘Allah tidak mencabut ilmu dengan tiba-tiba, tetapi Allah mencabut ilmu dengan meninggalnya para ulama.’ Bergurulah dengan ulama yang beramal dengan ilmunya, dan berjuanglah menegakkan Islam dengan ilmu itu. Jangan biarkan diri anda jahil dan jangan biarkan diri anda dipandu oleh pemimpin yang sesat dan menyesatkan.

“Mata menitiskan airmata, hati begitu sedih, tetapi tetap redha dengan ketentuan Ilahi”

alt

artikel dalam assabeel (bahasa Arab) (683)

Komen (1)

  1. Simpan jugak cita-cita nk jumpa syeikh,xkesamapaian..lama jugak ustaz berulang-alik rumah syeikh,moga Allah Taala berkati ilmu..jazakumullah atas link dekat blog tu..

    Baru nk start blajo sket2,doakan untuk ana mg istiqamah…

Hantar Komen Anda