Berkongsi Pengembaraan Ilmu

Kehidupan ialah sebuah pengembaraan di atas dunia. Pengembaraan sudah tentu mengalami suka-duka, pahit-maung, ceria dan suka dan pelbagai pengalaman berbeza yang menjadi memori kehidupan bagi seseorang. Memori ini mungkin diabadikan dalam pelbagai bentuk. Ada gambar, pingat, piala, trofi, sijil, kesan di tubuh badan, pada tanah dan rumah. Ada juga yang rajin menulis biografi kehidupan sendiri atau orang lain. Seorang yang berumur 42 tahun bererti sudah 42 tahun meniti hidup dan sudah tentu mempunyai memori hidup dan pengalaman yang cukup banyak.

Saya juga kalau boleh ingin berkongsi memori hidup dengan saudara. Pengalaman yang boleh dijadikan perkongsian untuk dibicara dan diambil pengajaran.

Alhamdulillah, saya melalui pengalaman belajar sebagai seorang budak sekolah rendah yang mengambil peperiksaan Penilaian Darjah 5, kemudian berpeluang belajar di sekolah berasrama penuh aliran sains Melayu pertama di dunia (?) iaitu Sekolah Alam Shah, Ceras, Kuala Lumpur yang kini berpindah ke Putra Jaya. (Kini bekas rakan-rakan SAS 84, juga yang sebelum dan selepasnya barangkali sudah bertebaran di seluruh Malaysia memberi sumbangan kepada masyarakat dalam bidang masing-masing).

Selepas SPM saya mengisi masa lapang menunggu keputusan SPM dengan mempelajari kitab Jawi/kuning (jangan ada yang tersenyum sinis pula) melalui arwah datuk saya dan arwah Tuan Guru Hj Abdullah (bapa mudir Taman Islam, Kemaman). Seterusnya Matrikulasi sains, Univ. Kebangsaan Malaysia di Sekolah Sultan Mahmud, Kuala Terengganu. Beberapa teman yang hebat seperti Tengku Abdul Rahman dan Burhanudin Busu barangkali sudah lama bergelar Dr (atau lebih dari itu?)

Berikutnya di Fakulti Sains Fizis Gunaan, Univ. Keb. Malaysia, Bangi, Selangor selama setahun sahaja. Walaupun singkat, saya juga mengambil kesempatan mengaji kitab dengan arwah Tuan Guru Hj Hashim di Kajang. Bersama rakan-rakan sepembelajarn di UKM, kami menunggang motosikal ke Kajang menimba ilmu. YB Taufik Ghani dari N. Sembilan mungkin masih ingat pengalaman bersama di UKM. Saya kemudiannya berhenti dari UKM di atas pilihan sendiri kerana minat yang berubah ke channel lain.

Bertukar haluan ke sistem pengajian tradisional atau pondok dengan dimulai di Pondok Tuan Haji Ali Haji Musa (almarhum), Kg Siliau, Rantau, N. Sembilan memfokuskan kepada pengajian Tatabahasa Arab selama 8 bulan, Aqidah dan Tasauf (di samping banyak pengalaman menarik di sini yang insya Allah saya akan kongsikan bersama peminat-peminat pengajian Tatabahasa Arab).

Saya menyambung di Pondok Tuan Hj Abdul Latif yang lebih dikenali Pondok Pak Teh, Pengkalan Hulu (dulunya Keroh), Perak selama lebihkurang 2 tahun dengan pengajian lebih 20 buah kitab sehari dalam bahasa Arab pelbagai disiplin ilmu Quran, Hadis, Aqidah, Fiqh, Tasauf, Tatabahasa Arab, Mantik  dan lain-lain. Walaupun jangkamasa 2 tahun di pondok ini dianggap singkat oleh mereka yang biasa mengaji di pondok, tetapi penguasaan Bahasa Arab yang lebih awal dan peruntukan masa yang digunakan secara optimum mulai awal pagi hingga larut malam setiap hari , alhamdulillah menjadi bekalan yang banyak buat saya.

Kemudian mengikuti pengajian di Pondok Tuan Guru Haji Najmuddin (asal Pattani. Lama di Mekah. Meninggal Ramadhan 1428H) yang berada di Kg. Pondok Paku, Kerandang, Besut, Terengganu selama setahun lebih. Juga dalam disiplin ilmu yang lebihkurang sama seperti sebelumnya. Cuma Tuan Guru ini lebih hebat dalam ilmu Usul Fiqh dan fiqh 4 mazhabnya.

Pada tahun 1992, saya ditanya oleh ibubapa adakah saya tidak teringin untuk belajar di Mesir. Saya beristikharah dan membuat keputusan untuk menyambung pengajian di Jordan. Mengapa? Untuk ke Mesir saya perlu menduduki peperiksaan khas. Ketika itu yang masyhurnya di pusat pengajian Nahdhah, Kedah. Pelajar Malaysia juga sudah terlalu ramai di Mesir. Justru, saya mengambil keputusan untuk ke Jordan, menggunakan sijil SPM sains saya yang masih dipakai ketika itu tanpa Bahasa Arab.

7 tahun di Jordan di dua buah universiti. Ijazah pertama Syariah di Universiti Yarmouk, Irbid, Jordan selama 4 tahun. Ijazah Sarjana Syariah di Universiti al-al Bayt, Mafraq, Jordan selama 3 tahun. Di samping itu saya mengambil peluang mendalami ilmu secara khusus melalui bekas Qadhi al-Qudhah Jordan, Sheikh Nuh Ali Salman al-Qudha (bekas Duta Jordan ke Iran dan kini sebagai Mufti Am, Jordan) di Masjidnya menggunakan kitab Tauhid, Fiqh, Tasauf, Kaedah Fiqh dan lain-lain. (InsyaAllah pengalaman-pengalaman ilmu ini juga saya boleh kongsikan kemudian secara lebih panjang)

Kesempatan berada di Jordan juga digunakan untuk menziarahi negara-negara lain seperti Syria, Turki dan Mesir selain mengerjakan haji dan umrah melalui jalan darat dari Jordan ke Arab Saudi.

1999 saya kembali ke Malaysia. Berada di Kuala Lumpur sebagai penceramah bebas selama beberapa bulan sehinggalah saya beristikharah dan kembali ke Cukai, Kemaman yang lama ditinggalkan oleh pencarian ilmu di pelbagai tempat.

Sehingga artikel ini ditulis beberapa pengalaman di tanahair yang mungkin sama dengan orang lain. Apa yang saya paparkan tidak bermaksud apa-apa selain ingin berkongsi pengalaman yang mungkin boleh diambil terutamanya oleh generasi kemudian dari saya. 3 aliran pengajian berbeza saya lalui-pengajian formal aliran sains, pengajian formal aliran ‘agama’ dan pengajian tidak formal aliran ‘agama’.

Pengalaman-pengalaman panjang ini kalau mahu diceritakan mungkin mengambil berkajang-kajang kertas dan halaman. Justru, saya abadikan liku-liku hidup ini dalam bentuk visual secara ringkas yang boleh diakses di galeri gambar yang saya namakan Memori Kehidupan. InsyaAllah sedikit demi sedikit saya akan menulis tentang pelbagai pengalaman tersebut untuk dikongsi bersama. Moga ada sesuatu manfaat untuk semua.

Komen (6)

  1. Kamal says:

    assalamualaikum w.b.t….

    sy nk tny.. apakah hukumnya kite memakan makanan yg dijamin halal tetapi dijual di restoran yg ade juga menjual daging babi? adakah makanan itu jatuh haram? org yg menyediakn makanan tersebut ialah org islam..

    satu lg soalan, apakah hukumnya kite bekerja di restoran tersebut? adakah rezeki yg kite peroleh itu pn haram??
    situasi ini berlaku bukan di negara islam…

    wassalam…

    boleh ustaz htr pandangan ustaz ke email ana..

    alamandavios@yahoo.com

    * soalan tu dari rakan blog sy

  2. [...] perkongsian ilmu secara ringkas sebelum ini, saya sebutkan tentang pengalaman pencarian ilmu. Masing-masing mempunyai pengalaman dalam mempelajari bahasa Arab, terutama bagi mereka yang [...]

  3. hafeezah says:

    assalamualaikum…
    sy ingin bantuan jika ustaz thu sek pondok di selangor yg boleh sy masuk untuk sementara wktu
    klau blh sy ingin kan alamat n no fon nye
    e-mail pd sy
    sirzah150691@yahoo.com

  4. farhana says:

    salam ust..
    kalau boleh la ust berkongsi sikit sepanjang 7 tahun ust belajar, bagaimana dengan hal keluarga..adakah ust berkahwin dulu sebelum belajar dan bagaimana hidup lama di negara orang?

  5. Ustaz Nik Nasri says:

    insyaAllah saya catatkan dalam siri kembara ilmu

Hantar Komen Anda