Perginya Seorang Ulama Di Perak (Pak Teh)

almarhum pak tehSaya baharu sahaja selesai menyampaikan kuliah tafsir pagi ini. Pulang ke rumah. Isteri beritahu Pak Teh sudah meninggal. (Tuan Guru Hj Abdul Latif lebih dikenali dengan panggilan Pak Teh) Saya agak terkejut. Sudah hampir 20 tahun saya meninggalkan pondok Pak Teh di Pengkalan Hulu (Keroh), Perak. Beberapa orang sahabat lama sepengajian yang sesekali ketemu dalam program PAS peringkat nasional seperti Ust Sabri Sabran, Ust Hamid dan beberapa yang lain.  Pondoknya menjadi kontroversi sekejap dalam isu pemberian tanah pertanian oleh MB Perak, Datuk Seri Nizar. Sumbangan Pak Teh cukup banyak dalam menaburkan ilmu mencelikkan anak-anak didiknya dengan ilmu Islam-khususnya melalui pengajian kitab dalam bahasa Arab pelbagai bidang secara bertalaqqi. Saya sendiri secara peribadi merasakan bahawa ilmu pengajian di pondok itu cukup hebat dan itulah yang menjadi antara bekalan sehingga sekarang. Moga Allah cucuri rahmat ke atas roh Tuan Guru Pak Teh dan menempatkan di kalangan anNabiyyin was Siddiqin wasSyuhada wasSolihin. Amin.

Berita dari harakahdaily:

Pengasas Pondok Pak Teh kembali ke rahmatullah

Idham Lim
GRIK, 30 Sept: Pengasas Madrasah Ad-Diniah Al-Latiffiah atau lebih dikenali Pondok Pak Teh, Tuan Guru Datuk Abdul Latif Abdul Rahman telah kembali ke rahmatullah kira-kira jam 1.00 pagi tadi selepas sesak nafas.

Tuan Guru Abdul Latif yang mesra dengan panggilan Pak Teh mendirikan pusat pengajian itu pada tahun 1967 dan lokasinya adalah berdekatan dengan perkarangan rumahnya. Pusat pengajian teletak di Kampung Kuak Luar, Pengkalan Hulu dalam daerah Hulu Perak.

Pondoknya pernah menjadi kontroversi. Setelah 10 bulan Pakatan Rakyat memerintah Perak telah meluluskan sebidang tanah seluas 45 hektar untuk membantu pondok sedangkan sekian lama dipohon semasa BN berkuasa sebelum itu tetapi tidak diluluskan.

Pak Teh merupakan anak jati kelahiran Kampung Kuak Hulu, Pengkalan Hulu.

Beliau dilahirkan pada tahun 1938 dan mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu dalam tahun 1947 hingga 1953 dengan menamatkan pengajian hingga darjah 5. Pada peringkat awal, beliau mula menghafal kitab-kitab agama dengan dibimbing oleh Ustaz Omar Mohd Noh.

Selepas itu, beliau melanjutkan pengajiannya di peringkat menengah di Sekolah Arab (sistem pondok) yang dikenali dengan nama Pondok Asam Jawa di Pendang, Kedah antara 1956 hingga 1959.

Pak Teh sebenarnya seorang pelajar yang pintar kerana berpeluang melanjutkan pengajian ke Maktab Melayu Kuala Kangsar tetapi tidak meneruskannya kerana kemiskinan.

Kemudian Pak Teh meneruskan pengajian di Sekolah Agama Pondok Pasir Tumboh iaitu Sekolah ad-Diniah Bakriah, Kelantan dari tahun 1959 hingga 1967.

Beliau sempat berguru dengan beberapa orang ulama terkenal seperti Tuan Guru Mohamad Saman, Tuan Guru Abdul Rahman Ahmad, Tuan Guru Sulaiman Mohd Rabik dan juga ulama terkenal yang bermastautin di Kelantan seperti Tuan Guru Mustafa, Tuan Guru Abdul Aziz dan Tuan Guru Hashim Abu Bakar.

Beliau telah dapat mengekalkan pengajian secara sistem pondok di mana pengajian ditumpukan dengan mempelajari kitab-kitab Thurath iaitu kitab-kitab tradisi Islam.

Beliau adalah pakar rujuk dalam berbagai hal mengenai masalah agama. Mewarisi minat bapanya, Pak Teh juga bercucuk tanam dan berkebun buah-buahan. Minatnya itu juga kini tertumpah pada anak-anak muridnya di mana pelbagai jenis tanaman ditanam di pusat pengajian tersebut.

Selain dapat memanfaatkan tanah-tanah yang ada, hasil tanaman ini juga dapat memberikan pendapatan sampingan apabila dijual. Antara tanaman yang ditanam seperti ubi kayu, pinang, pisang, nenas, kangkung, bayam, sawi, tebu dan bermacam-macam buah-buahan dan sayur-sayuran termasuk pokok-pokok akar kayu untuk perubatan.

Pada peringkat awal penubuhan Madrasah Ad-Diniah Al-Latiffiah, bilangan murid yang menerima cara pendidikan yang diperkenalkan itu hanyalah seramai tiga orang.

Kini setelah madrasah tersebut melangkau usia lebih 35 tahun, bilangan murid yang belajar di situ melebihi 400 orang secara sepenuh masa.

Kebanyakan pengajian ilmu di madrasah Pak Teh adalah bersumber daripada Kitab-kitab Jawi yang lebih popular dikenali sebagai kitab kuning dan kitab-kitab Arab.

Kaedah pengajian di madrasah yang berasaskan sistem pengajian pondok selalunya menggunakan 2 kaedah utama iaitu umumi dan nazomi. Selain itu juga kelas hafalan dipraktikkan secara meluas dalam sistem pengajian pondok. Antara kitab yang digunakan di Pondok Pak Teh ialah Minhajul Abidin (tasawuf), Mughni Muhtaj (feqah), Syuzu (nahu), Hadis Muwatta Imam Malik, Fathul Muin, Fathul Wahhab, Tafsir Nasafi, Ibnu Akil, Syarkawi, Usul Fiqh, Matan Zubad (feqah) dan Matan Majmuk Azhari.

Pak Teh merupakan Ahli Jawatankuasa Syariah Negeri Perak sejak 1994. Pengetahuannya yang luas khususnya dalam pemakaian kaedah kitab Arab dan cermat dalam mengeluarkan sesuatu usul atau pandangan telah banyak membantu perjalanan jawatankuasa syariah dan Majlis Fatwa Perak.

Di atas sumbangannya yang besar, Pak Teh telah dianugerahkan kurniaan Darjah Dato’ Paduka Mahkota Perak (DPMP) sempena menyambut ulang tahun hari keputeraan Paduka Sultan Perak ke-76. Istiadat pengurniaan tersebut telah berlangsung pada 19 April 2004 di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar.

Semoga rohnya ditempatkan bersama roh para rasul dan nabi, syuhada dan solihin di atas kegigihannya memperjuangkan agama Allah.

Komen (1)

  1. shukri says:

    salam …..ana rasa satu kehilangan yang amat besar bagi ummat malaysia atas pemergian pak teh…….amanlah pakteh rahimahullahualaih…

Hantar Komen Anda