Kembara Ilmu 17: Sambung MA: Comparative Law Atau Al-Fiqh Wa Usuluhu?

al-alBayt UnivSelesai pengajian 4 tahun peringkat sarjana muda Syariah di Univ Yarmouk, saya solat Istikharah untuk menyambung pelajaran. Ada 2 pilihan. Sarjana di UIAM dalam bidang Comparative Law. Ia dicadang oleh bapa saudara. Atau Sarjana di Univ al-alBayt, Mafraq, Jordan dalam bidang Syariah, pengkhususan Fiqh dan Usul. Ia adalah pilihan sendiri. Isteri bersama anak akan pulang ke Malaysia setelah isteri selesai belajar peringkat BA Syariah. Selepas Istikharah, kecenderungan ialah menyambung pengajian di Univ al-alBayt, Mafraq, Jordan. Masih tinggal di Irbid bersama seorang sahabat Arab yang menyambung pengajiannya peringkat Sarjana dalam bidang ekonomi di Univ Yarmouk, Irbid, Jordan. Berulang dengan bas hampir setiap hari ke Mafraq. Pemandangan yang sama sahaja setiap hari. Rumah-rumah orang Arab yang simple, sekadar tempat berteduh. Sesekali melintasi beberapa buah rumah yang kelihatan agak mewah dari yang lain. Pokok-pokok Zaitun dan pokok beriklim Mediteranean dan kawasan tanah lapang menjadi penghias pandangan mata.

Semester pertama pengajian, 4 subjek diambil. Salah satunya ialah subjek Fiqh. Pensyarahnya Dr Mahmud al-Khalidi. Ketika di Univ Yarmouk dahulu, beliau pernah mengajar subjek Fiqh. Beliau kemudian berpindah ke Univ al-alBayt. Sekali lagi bertemunya dalam kelas di peringkat Sarjana.

Apa yang saya tahu, beliau adalah salah seorang pemimpin HizbutTahrir di Jordan. Ada beberapa buah buku tulisannya yang menjadi rujukan pengikut dan partinya. Antaranya yang saya ingat ialah Syura Bukan Demokrasi. Dalam buku Syura Bukan Demokrasi, beliau mengemukakan dalil bahawa demokrasi bertentangan dengan syura. Beliau menolak sistem piihanraya sekarang. Dan itulah yang dipegang oleh HizbutTahrir. Mereka mahukan sistem khilafah tetapi bukan melalui demokrasi. Namun, bagi saya dan ramai tokoh politik Islam lain dalam gerakan Islam, mereka juga mempunyai hujah tersendiri mewajarkan terjun dalam bidang politik dan mengharungi pilihanraya bagi menegakkan Islam melalui demokrasi.

Dr Mahmud al-Khalidi menggunakan bukunya al-Khilafah sebagai teks asas subjek Fiqh. Memang agak menarik mengaji dan mengkaji sistem pemerintahan Islam ini. Pernah mengaji ketika di peringkat Sarjana Muda dahulu, kemudian lebih detail di peringkat Sarjana ini. Beliau tetap mempertahankan bahawa cara untuk menegakkan Islam melalui demokrasi adalah salah. Munaqasyah (perbincangan) sentiasa berlaku dalam kelas. Beliau selalu menyebut nama Sheikh Taqiyuddin anNabhani. Beliau juga sering mengkritik kerajaan-kerajaan Arab dalam menangani sesuatu isu terutamanya politik. Ada juga pandangan politiknya yang agak menarik. Beliau juga agak kurang senang dengan golongan Salafi.

Ada satu kes yang berlaku menyebabkan akhirnya beliau menukar teks kepada buku lain iaitu al-Milkiyyah Fil Islam (Pemilikan Dalam Islam). Di akhir semester, Dr Mahmud meminta kami membaca beratus mukasurat dari kitab al-Milkiyyah itu untuk tujuan peperiksaan akhir. Pelajar-pelajar membantah kerana ia terlalu banyak. Nampaknya kami yang menjadi mangsa. Mungkin Dr Mahmud marah kerana ada pelajar Arab yang mengadu kepada pengurusan univ. tentangnya.

Dr Fadhl dari Iraq adalah seorang pakar Usul Fiqh. Di Univ al-alBayt, Mafraq beliau adalah tempat rujukan bagi usul Fiqh, bukan sahaja di kalangan pelajar tetapi juga pensyarah. Seorang lagi ialah Dr Zainal Abidin dari Sudan. Dr Fadhl berketurunan Kurdi. Kami gunakan kitab al-Usul Fil-Ilmil-Usul. Kitab yang tough dan agak mencabar.

Untuk menghabiskan pengajian peringkat Sarjana, saya mengambil 8 subjek. Di akhirnya tesis. Saya ambil masa setahun menyelesaikan tesis MA Syariah saya. Tinggal sendirian tanpa isteri dan anak menjadikan masa lebih banyak dihabiskan di perpustakaan Universiti, di samping aktiviti jemaah yang sedia dan sentiasa ada. Di peringkat akhir tesis, saya tinggal bersama pelajar-pelajar junior. Dalam ingatan, tesis mesti cepat diselesaikan supaya dapat segera pulang ke Malaysia.

Hantar Komen Anda