Sinopsis Surah Al-Baqarah

baca quranSurah al-Baqarah adalah surah Madaniyyah, melainkan ayat 281 yang turun di Mina dalam Haji Wada’.

Surah al-Baqarah paling panjang dalam al-Quran. Ikrimah berkata: ‘Surah pertama diturunkan di Madinah ialah surah al-Baqarah.’ Ia seperti surah Madaniyyah yang lain. Memberi perhatian kepada pensyariatan menyusun kehidupan muslim dalam masyarakat baharu di Madinah. Masyarakat beragama dan bernegara sekaligus. Ia tidak bercerai tanggal. Ibarat jasad dan ruh, isi dan kuku. Pensyariatan di Madinah berteraskan aqidah tauhid. Prinsipnya beriman kepada Allah dan segala perkara ghaib, beriman sumber al-Quran dari Allah, iktiqad dengan segala perkara yang diturunkan Allah kepada para NabiNya, amal soleh ialah manifestasi iman tersebut. Termasuklah amal soleh itu ialah mengadakan hubungannya dengan Allah melalui solat dan saling memenuhi tanggungjawab sesama manusia melalui infaq di jalan Allah.

(tafsir di bahagian kuliah audio)

Bercakap tentang aqidah, mesti bercakap tentang sifat mukmin, kafir dan munafiq. Mereka wujud sepanjang zaman. Perbandingan dibuat di antara mereka yang selamat dan mereka yang akan binasa. Al-Baqarah juga menyebut tentang Adam yang menjadi ketua para manusia, kisah sujud Malaikat kepadanya, keengganan Iblis untuk sujud kepada Adam sehinggalah ditaqdirkan Adam dan Hawa jatuh ke bumi.

Bani Israel pernah diberi amanah memerintah di bumi. Mereka gagal menyempurnakan tugas besar ini. Sebaliknya mereka kufur, engkar, melakukan pelbagai jenayah dan kerosakan di bumi. Allah mengingatkan pembaca al-Quran tentang sifat jelek Bani Israel ini lebih satu pertiga surah al-Baqarah mulai ayat 47 hingga ayat 123.

Allah juga menyebut tentang perkara ibadah dan muamalah dalam pelbagai aspeknya.

Surah al-Baqarah mengandungi ayat yang hebat iaitu ayat al-Kursi. Ayat paling panjang dalam al-Quran juga berada dalam surah al-Baqarah. Ia berkaitan hutang dan adabnya.

Surah al-Baqarah diakhiri dengan ingatan supaya bertaubat dan kembali kepada Allah, doa minta kemudahan, diangkat kesusahan dari umat ini dan bantuan mengatasi kuffar.

Nabi SAW bersabda: ‘Bacalah surah al-Baqarah. Mengambilnya itu berkat. Meninggalkannya itu kerugian. Sihir tidak dapat menandinginya.’

Ringkasan Tafsir al-Munir, Dr Wahbah az-Zuhaily j 1 ms 68-71.

Hantar Komen Anda