Kembara Ilmu 11: Pengalaman Sheikh Nuh jadi duta Jordan ke Iran

iran

(Kembara Ilmu 10) Selesai belajar kitab Syarah Jauharah at-Tauhid dengan Sheikh Nuh, beliau beritahu saya beliau dapat tawaran kerajaan Jordan untuk menjadi duta negara itu ke Iran. Beliau meminta daripada saya kaset-kaset hasil rakaman saya untuk kitab Syarah Jauharah itu. Sepanjang beberapa tahun beliau di Iran itulah beliau menulis kitab al-Mukhtasar al-Mufid berdasarkan rakaman itu. Bahasanya mudah, huraiannya jelas, jauh dari perbahasan meleret, meraikan keadaan semasa. Selesai dari tempoh menjadi duta Jordan ke Iran (tak silap saya selama 2 tahun sahaja), beliau pulang ke Jordan menceritakan kepada saya beberapa pengalaman beliau di sana.

Beliau mendirikan solat Jumaat di bangunan Kedutaan Jordan di Iran. Beberapa orang dari pegawai kedutaan asing ada juga yang datang solat Jumaat dengannya. Kalau tak silap saya, beliau ada sebut kedutaan Malaysia. Khutbah Jumaat dibaca dalam bahasa Arab, kemudian diterjemah dalam bahasa Inggeris oleh pembantunya kerana ramai yang tidak memahami bahasa Arab.

Beliau juga menyebut bahawa di Iran, yang menjadi pengerusi sesuatu syarikat atau ketua di sesuatu agensi biasanya ulama. Mereka lebih tahu tentang tuntutan agama. Orang kedua ketiga baharulah ahli korporat, profesional dan lain-lain. Beliau kata, apa yang dibuat itu baik kerana boleh pastikan perjalanan sesuatu agensi itu menurut kehendak agama atau tidak.

Beliau juga menyebut beberapa perkara positif lain di negara Iran, walaupun fahamannya Syiah, terutama dari aspek pentadbiran dan kemasyarakatan.

Tapi nampaknya beliau tidak boleh duduk lama di sana. Beliau kembali ke Jordan dan menyambung tugasnya di Universiti Yarmouk, Irbid sebagai tenaga pensyarah, juga kelas pengajiannya di masjid dan menerima jemputan aktiviti-aktiviti agama sekitar Jordan.

bersambung.

Hantar Komen Anda