Mengimbau Setahun PAS Perintah Terengganu

tamrin Terengganu 2019Tamrin Qiadi (Program kepimpinan) peringkat negeri Terengganu diadakan mulai petang Jumaat (10 Mei 2019) hingga pagi Sabtu (11 Mei 2019). Ia mengumpulkan tenaga kepimpinan tertinggi PAS Terengganu sehingga kepimpinan penting di peringkat kawasan. Seawal jam 6 petang Jumaat dimulakan dengan tadarus Al-Quran menurut juzuk yang dibahagi-bahagikan.

Usai terawih, pengisian dibuat oleh dua orang pemimpin tertinggi PAS Terengganu, YB Datuk Hj Husain Awang selaku Pesuruhjaya PAS Terengganu dan YAB Dr Ahmad Samsuri Mokhtar selaku MB Terengganu. Ia berkisar pemerintahan kerajaan negeri Terengganu yang dimenangi oleh PAS dalam PRU14 yang lepas serta muhasabah mengenainya.

Dalam ucapan pembukaan Datuk Hj Husain Awang, beliau mengingatkan bahawa kemenangan yang berlaku diatur oleh semua kepimpinan. Beliau cuma menyambung kepimpinan sebelumnya. Perancangan tidak terlaksana melainkan ada jentera yang baik dan sedia berkorban. Pengorbanan dari anak-anak muda di cawangan, unit amal, keselamatan dan lain-lain di peringkat bawah.

Pemimpin mungkin merancang di bilik berhawa dingin. Namun mereka yang berpanas, berlapar, berhujan inilah yang sebenarnya menggerakkan perancangan. Justeru, kita mendoakan untuk mereka supaya Allah beri ketetapan hati untuk menyambung perjuangan dan kemenangan yang berikutnya.

Selepas 14 tahun kita kalah, kita mengalami pelbagai pengalaman pahit. Cuma yang manisnya ialah kerana kekal dalam perjuangan, yakin kepada ganjaran dari Allah.

Sebelum menang, kita telah laksanakan tanggungjawab yang disebut oleh Allah:
Maksudnya: ‘Dan hendaklah ada di kalangan kamu, satu umat yang menyeru kepada kebaikan, menyuruh yang baik dan mencegah kemungkaran. Merekalah yang mendapat kejayaan’
Aali Imran: 104

Alhamdulillah, kita mencapai kemenangan hasil dengan dakwah. Kita menang di dunia dan kita harap akan menang juga di akhirat. Bila kita menang, kita memikul dua tugas: tugas dakwah dan kepimpinan kerajaan. Allah mengingatkan kita:
Maksudnya: ‘ Mereka yang apabila Kami (Allah) berikan kekuasaan di bumi, mereka mendirikan solat, menunaikan zakat, menyuruh yang baik dan mencegah kemungkaran, dan bagi Allah kembali segala urusan.’ AlHaj: 41

Mendirikan solat dengan makna tidak putus hubungan dengan Allah.

Menunaikan zakat dengan makna mengurus harta rakyat, mengagih kepada yang berhak, bukan membolot harta untuk peribadi.

Menyuruh perkara yang baik dan cegah mungkar iaitu mesti tegakkan yang benar iaitu syariat Allah.

Mungkar ialah perkara yang bercanggah dengan syariat.
Kita yang ada kuasa mesti berusaha melaksanakan syariat menurut portfolio masing-masing.

Allah beri kuasa kepada
Nabi Sulaiman, Nabi Daud. Mereka melaksanakan syariat. Tidak semua nabi diberi kuasa sedemikian. Nabi Yusof hanya urus harta negara. Ada nabi yang tidak berkuasa memerintah.

Datuk Hj Husain Awang mengakhiri ucapannya dengan menyebut bahawa kita memikul tanggungjawab laksanakan syariat setakat yang kita mampu.

Sementara itu, YAB Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menjelaskan bahawa kerajaan Terengganu
menjadi cerminan kepada tempat lain. Kita juga mesti membuang konotasi negatif kerajaan sepenggal sebagaimana yang pernah berlaku pada tahun 1999 yang lepas.

Kerajaan juga mesti mengenalpasti kekuatan, kelemahan, ancaman, peluang yang ada dalam kerajaan sekarang. Perlu juga memahami psikologi orang Melayu yang cepat lupakan jasa orang lain. Dalam mengurus pembangunan negeri, perlu kenalpasti kelemahan yang ada.

Dalam menstrukturkan semula anak syarikat, peranan GLC mesti menjadi penyumbang kepada kewangan negeri, bukan sebaliknya. Beliau juga cuba untuk mengurangkan pemusatan kuasa kepada MB sahaja sebagaimana kerajaan BN sebelum ini supaya tidak terdedah kepada berlakunya salahguna kuasa.

Dari sudut manifesto, 12 dari 20 telah dilaksanakan dalam tahun 2019. Konsep kerajaan ialah memberi joran kepada rakyat, bukan ikan.

MB Terengganu juga membentangkan perancangan akan datang bagi negeri Terengganu dengan melihat dari pelbagai sudut. Beliau juga berharap persepsi positif terus dibina terhadap kerajaan Terengganu, kestabilan dikekalkan dan pelbagai strategi, pendekatan, taktikal dibuat sebaik mungkin dibuat bagi memastikan kelangsungan kerajaan negeri sekarang. Beliau juga berpuashati dengan prestasi exco dan kerjasama yang diberi selama ini. Perlu juga diambil iktibar dari kejatuhan PAS pada tahun 1959 agar sejarah itu tidak berulang.

Majlis berjalan sehingga ke jam 12.30 malam dengan pelbagai soal-jawab sekitar pemerintahan dan pentadbiran kerajaan negeri.

Program Tamrin Qiadi diteruskan dengan qiamullail pada jam 4 pagi, dan diakhiri dengan tazkirah selepas solat Subuh oleh YB Dr Khairuddin Aman Razali serta beberapa pesanan dari YB Ustaz Satiful Bahri selaku Ketua Lajnah Tarbiah PAS Terengganu.

Hantar Komen Anda