Umar Audit Pegawainya, Dan Dia Diaudit Rakyatnya

taklimat SPRM TerengganuSatu taklimat khas dari pihak SPRM Terengganu yang diketuai oleh Pengarahnya sendiri telah dibuat di Bilik Gerakan, Tingkat 17, Wisma Darul Iman Ahad lepas. Mereka yang hadir ialah YAB MB Terengganu, pegawai di Pejabat MB, beberapa orang exco, wakil-wakil rakyat, penyelaras DUN, pegawai khas masing-masing dan lain-lain.

Dalam ucapan alu-aluan, MB menyebutkan tentang hasrat membuat taklimat ini lebih awal, tetapi atas pelbagai faktor, ia agak terlewat. Yang penting ialah pegawai kerajaan negeri mesti faham tentang akta berkaitan rasuah.

Tiada dari kalangan exco, ADUN PAS yang mahu terlibat atau mahu dilibatkan dengan rasuah. Parti yang didokong, agama yang dianut, nilai yang ditanam ialah rasuah itu haram. Namun, mungkin dalam keadaan berkuasa dan ada kuasa, kekadang tindakan yang dibuat dengan tidak sedar dan tidak sengaja boleh mengundang kesilapan dan kesalahan. Mungkin tidak salah dari segi hukum syarak, tetapi salah dari segi peruntukan undang-undang ‘dunia’. (Ini membuka satu perbahasan yang lain pula).

Justeru, taklimat khas sebegini sangat penting agar nama baik kerajaan negeri, dari atas sampai ke bawah dapat dipelihara sentiasa. Musuh hanya menunggu untuk mempalitkan kain putih. Akibat nila setitik, rosak susu sebelanga.

Dalam sejarah pemerintahan Saidina Umar al-Khattab, pernah berlaku Umar membahagikan kain dari Yaman. Semua orang mendapat sehelai kain. Umar seorang yang tinggi dan besar tubuhnya. Sehelai kain tidak cukup untuknya. Kainnya ditampung oleh pemberian anaknya Abdullah. Umar berkhutbah: ‘Dengar dan ambil perhatian’. Salman bangun dan berkata: ‘ Tiada dengar dan tiada taat, hingga diberitahu dari mana kamu dapat 2 helai kain sedangkan kami hanya sehelai.’ Begini lebih kurang kandungan kata-kata Salman. Umar memanggil anaknya, Abdullah. Dia beritahu kain itu adalah kainnya dan dia yang memberikannya kepada bapanya. Selepas pencerahan itu, barulah Salman bersedia untuk dengar dan taat. Kisah ini menunjukkan Saidina Umar bersedia untuk diaudit atau disiasat oleh rakyatnya sendiri di atas apa yang diperolehinya.

Begitu juga Saidina Umar mengaudit dan menyiasat gabenor dan pegawai-pegawainya di seluruh daerah pemerintahannya. Pernah berlaku, Umar mengutus surat kepada Abu Hurairah yang menjadi gabenor di satu negeri bertanyakan tentang rumah yang dibina, dari manakah sumbernya. Abu Hurairah membalas bahawa ia datang dari pendapatannya sendiri, tidak dari sumber yang salah.

Abu Hurairah adalah sahabat Nabi. Umar juga sahabat Nabi. Namun, sifat sebagai sahabat Nabi itu tidaklah menahan mereka dari diaudit, disiasat dan dimuhasabah oleh orang lain.

Kerajaan negeri Terengganu diperintah oleh orang yang masih ‘fresh’. Alhamdulillah, setakat ini rekod masih baik. Rekod ini mesti dikekalkan sampai bila-bila. Kuasa adalah amanah. Ia mesti dijaga. Elakkan segala tindakan yang boleh menyebabkan implikasi buruk. Terengganu dan Kelantan tetap diperhati oleh kawan dan lawan, rakyat dan pegawai. Nasihat dari seorang sahabat Nabi kepada Umar perlu diingat: ‘ Tidakkah Amir Al-mukminin pernah berjalan di jalan penuh onak dan duri? Tentulah tuan akan meletakkan kaki tuan kanan dan kiri dengan penuh hati-hati Itulah taqwa.’

Hantar Komen Anda