Kembara Ilmu Ke Jordan 20-27 Mac 2019 (1-4)

Masjid Universiti nama Sheikh NuhJordan 1: Ke Jordan Selepas 20 Tahun

Akhir 1999 pulang ke tanahair selepas 7 tahun di Jordan. Kini melihat kembali bumi yang pernah dipijak ini. Imigresen di lapangan terbang Queen Alia agak lembap. Dipenuhi warga Mesir. Ditambah dengan pengurusan orang Arab yang dimaklumi acuh tak acuh.

Hari pertama tiba dibawa ke Laut Mati. Kami berhenti sekejap untuk ambil gambar dan iktibar, bukan untuk suka-suka. Saya teringat pesanan Sheikh Nuh lebih 20 tahun lepas supaya tidak singgah lama di tempat yang pernah dilaknat Allah. Perkampungan Sodom kaum Nabi Lut menjadi kawasan berair masin paling rendah. Golongan LGBT Dan yang menyokongnya patut ambil iktibar dari tempat ini.

Tidak jauh dari tempat itu, ada bukit yang disebut Jabal Nido. Kononnya, menurut agama Kristian, tempat Nabi Musa mengajak kaumnya masuk ke Palestin. Di atas bukit itu ada diletakkan salib, katanya. Saya hanya melihat dari jauh, dari dalam kereta.

Gua Ashabul Kahfi pernah diziarahi ketika mula mula tiba di Jordan tahun 1992. Kali ini ziarah lagi. Pemuda yang beriman menyelamatkan iman, bersembunyi di dalam gua lebih 300 tahun. Saya bertanya pemuda pemegang kunci pintu gua. Dia beritahu ia diwarisi semenjak ratusan tahun. Ada yang kata, mereka adalah keturunan penghuni gua ini, Wallahu a lam.

Kawarek kambing di Restoran Kaherah tetap menyelerakan. Petang ke Irbid, mengembalikan nostalgia belajar, berkahwin, berjemaah 1992 hingga 1999.

Jordan 2: Menelusuri rumah lama

Pagi Khamis saya dan isteri ke Duwwar Nasim. Duwwar asal maknanya bulatan kerana dahulunya ada roundabout di situ. Kini ia diganti traffic light. Saya menuju Masjid yang biasa solat lebih 20 tahun lepas. Kini dibesarkan. Imam Abu Munzir yang matanya buta sudah 2 tahun meninggal. Saya terserempak dengan pakcik yang biasa saya dry clean baju di kedainya menjadi tukang cuci masjid secara sukarela. Dia tunjukkan saya tempat solat wanita, dan tempat tinggal muazzin yang sedang dibina. Katanya kalau ada yang mahu menderma, silakan.

Saya mencari rumah Abu Mufid dan rumah Abu Rafat yang kami diami ketika membesarkan anak sulung kami. Juga rumah yang saya duduki ketika bujang bersama kawan-kawan lain, dan rumah pelajar lain.

Tengaharinya ke balad Irbid. Mencari apa yang patut. Lenguh juga kaki dibuatnya, tetapi puashati kerana dapat menelusuri nostalgia 1992 hingga 1999.

Jordan 3: Ziarah kubur, kebun, masjid Sheikh Nuh

Subuh Jumaat di Masjid Universiti Yarmouk. Lama tak dengar bacaan subuh Sheikh Maamun. Lepas Jumaat, bertemu Sheikh Maamun yang juga berkhutbah Jumaat tentang jihad menentang musuh tradisi iaitu Yahudi sambil mengimbau Perang Yarmouk, Karamah dan lain-lain.

Dr Adam Sheikh Nuh membawa kami ke masjid Sheikh Nuh, hadapan rumahnya, tempat saya berulang alik lebih 20 tahun lepas mengelek kitab, menimba ilmu dari Sheikh Nuh sehingga tercetusnya kitab Al-Mukhtasar Al-Mufid fi Syarh Jauharah atTauhid dan terjemahan nya. Kami dibawa ke RasMunif, Ajloun, tempat di mana Sheikh Nuh dikebumikan bersama keluarga alQudha yang lain yang sangat ramai. Di sini biasanya salji sangat tebal di musim sejuk kerana ia kawasan tanahtinggi.

Dr Adam membawa kami ke kebun keluarganya yang dipenuhi pokok zaitun, epal, kukh dan lain-lain. Pokok kelihatan kering tetapi kata Dr Adam, beberapa bulan lagi daun akan tumbuh, buah akan banyak dengan izin Allah. Dr Adam menjamu kami dengan kabsah kambing di rumahnya.

Jordan 4: Sheikh Nuh pernah menumpang rumah Sheikh Kurayyim Rajih

Ketika Sheikh Kurayyim Rajih datang ke Kemaman beberapa tahun lepas, saya menjadi penterjemah ceramahnya. Duduk di sebelahnya, saya kata saya ini murid Sheikh Nuh Ali Salman alQudha. Dia terus berpaling kepada saya dan senyum. Katanya kaana indana iaitu Sheikh Nuh pernah bersama kami.

Saya ingat maksudnya Sheikh Nuh pernah belajar bersama Sheikh Kurayyim di Damsyik, tetapi baru saya tahu semalam bila bercakap dengan Dr Adam, anak Sheikh Nuh, bahawa Sheikh Nuh pernah tinggal di satu bilik yang khusus diberi oleh Sheikh Kurayyim ketika di Damsyik, mungkin dalam tahun 1950 60an, dan bilik itu hanya untuk Sheikh Nuh. MasyaAllah, dua orang sheikh yang hebat. Seorang telah meninggal, dan seorang lagi sudah amat tua.

Hantar Komen Anda