Ulamak Mentarbiah Diri Di Jeram Mengaji

mukhayyam tarbawiSabtu 23 Feb 2019-Dewan Ulamak PAS Pusat melalui Lajnah Tarbiahnya menganjurkan Mukhayyam Tarbawi di Jeram Mengaji Agro Resort, Pasir Putih, Kelantan pada hari Jumaat dan Sabtu (22-23 Feb 19). Ia dihadiri oleh 260 peserta seluruh negara dari kalangan pimpinan ulama PAS.

Ia diisi oleh beberapa pembentangan kertaskerja. Di bawah tajuk tarbiah siasiah yang dibentang selepas Isyak, sekaligus sebagai perasmian, Dato’ Dr Nik Zawawi, Timbalan Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat menjelaskan konsep politik Islam yang digunapakai oleh PAS serta isu politik mutakhir di peringkat nasional.

Qiamullail bermula seawal jam 4.30 pagi, diselangi dengan hadithurruh (ceramah tentang jihad) oleh Ustaz Abu Bakar Umar yang mengajak hadirin menggunakan seluruh tenaga, harta dan nyawa diarahkan kepada menegakkan Islam. Ia diikuti ma’turat selepas solat Subuh, kemudian kuliah mengenai tazkiatunnafs (membersihkan jiwa) dan kepentingannya oleh YB Ustaz Zuridan Daud, di samping menceritakan isu politik semasa di Pahang.

Kertaskerja ketiga berkait fiqhul maalat (fiqh implikasi) dibentang oleh Ustaz Azhar Yahya, membincangkan beberapa jenis fiqh semasa yang mesti dihadam oleh pendokong gerakan Islam.

YB Dato’ Dr Khairuddin Aman Razali merasmikan majlis penutup tengahari Sabtu mengupas peranan ulamak, budaya politik matang dan sejahtera serta isu-isu panas politik semasa.

Resolusi mukhayyam sebagai agenda bertindak adalah seperti berikut:

1-ulamak mesti berusaha melengkapkan diri dengan 10 ciri ulama rabbani seperti dalam kertaskerja.
2-melahirkan kepimpinan ulamak berthaqafah tinggi dengan faham pelbagai jenis fiqh, termasuk fiqh maalat
3-meningkatkan amalan fardi di kalangan ulamak sebagai anggota gerakan Islam melalui qiamullail, zikir ma’turat, infaq
4-mengupayakan tenaga ulamak menjadi lidah rasmi untuk menjana keutuhan jemaah.

5-memperkasa program tarbiah secara berkala di peringkat ulamak masing-masing seperti usrah, tamrin, liqa fikri dan lain-lain.

Jeram Mengaji Agro Resort adalah kawasan jeram dengan air terjun yang bersih dan menarik, sesuai menjadi tempat perkelahan dan program. Ia berada di bawah pengurusan Yayasan Amanah Tok Kenali.

(YB Dr Nik Zawawi, YB Dr Khairudin, YB Ustaz Zuridan adalah sahabat lama sepengajian di Jordan)

Hantar Komen Anda