Kembara Ilmu 10: Pengikut al-Arqam jumpa Sheikh Nuh

nuh ali(Kembara Ilmu 9) Cerita bersama Sheikh Nuh agak banyak nampaknya. Memang sepanjang saya berada di Jordan, saya agak rapat dengan beliau. Biasa ke rumahnya. Bergaul seperti anaknya. Menadah kitab, mendengar ceramah, khutbah Jumaat dan kuliahnya di Univ Yarmouk. Naik kereta bersamanya, polis dan tentera di jalan cukup menghormatinya.

Kali ini kisah beberapa orang pengikut ustaz Ashaari Muhammad, pengasas al-Arqam menemui Sheikh Nuh. Pada satu hari, sekitar jam 6 pagi, seperti biasa saya ke masjid Sheikh Nuh di hadapan rumahnya di Eidoun untuk mengaji kitab, ketika itu kitab Iidhah al-Qawaid al-Fiqhiyyah.

Sheikh Nuh keluar dari rumahnya, menuju ke masjid. Sampai sahaja ke masjid, beliau terus beritahu saya: ‘Awal pagi tadi lepas subuh, kumpulan al-Arqam menemui beliau di rumahnya.’

Saya agak terkejut. Fikir saya, untuk apa? Ketika itu Ustaz Ashaari Muhammad belum ditangkap lagi, tetapi jemaah al-Arqam sedang diusahakan untuk diharamkan oleh kerajaan Malaysia. Di Jordan, ada beberapa pelajar Malaysia pengikut Al-Arqam yang kenal Sheikh Nuh.

Sheikh Nuh beritahu saya: ‘Pengikut al-Arqam datang bertanyakan beberapa soalan untuk dijawab.’ Saya tak ingat samada Ustaz Ashaari ada datang ke Jordan atau tidak. Satu soalan yang masih saya ingat sehingga sekarang ialah ‘Bagaimana jika sekiranya seorang itu bermimpi bertemu Nabi SAW lalu diperintahkan dengan sesuatu perkara?’ Yang saya ingat di antara jawapan Sheikh Nuh ialah mimpi bertemu Nabi itu benar kerana syaitan tidak boleh menyamar seperti Nabi SAW, tetapi perintah itu perlu dilihat dahulu kerana syariat telah selesai..’

Sheikh Nuh juga ada bertanyakan pendapat saya jika beliau datang ke Malaysia kerana menerima jemputan dari jemaah Al-Arqam. Saya beritahu: ‘Sidi, (bahasa yang digunakan sebagai menghormatinya) Lebih baik tangguhkan dahulu kerana sekarang isu Al-Arqam besar di Malaysia.’ Dalam beberapa minggu selepas itu, saya mendengar berita Ustaz Ashaari Muhammad telah ditangkap dan jemaah Al-Arqam dibubarkan.

Nampaknya hasrat Sheikh Nuh untuk datang ke Malaysia agak besar kerana beliau mengenali ramai pelajar Malaysia, mengajar mereka dan melihat akhlak pelajar Malaysia yang agak ‘lembut’. Saya ada keinginan untuk mengajaknya ke Malaysia satu hari nanti jika ada peluang.

Saya gembira apabila petang hari ini saya ‘ter’ temu websitenya yang sudah agak lama saya cari. Agak saya websitenya itu baharu dibangunkan oleh anak lelakinya, Muhammad. Kalau nak dibandingkan dengan website Dr Yusof al-Qaradawi, Dr Wahbah az-Zuhaily atau Dr Muhammad Said Ramadhan al-Buti, ia agak ringkas dan bahannya masih banyak perlu diisi, tetapi ‘ada itu lebih baik dari tiada langsung’. Kerinduan saya kepadanya sedikit terubat dengan melihatnya…

Komen (4)

  1. [...] (Kembara Ilmu 10) Selesai belajar kitab Syarah Jauharah at-Tauhid dengan Sheikh Nuh, beliau beritahu saya beliau dapat tawaran kerajaan Jordan untuk menjadi duta negara itu ke Iran. Beliau meminta daripada saya kaset-kaset hasil rakaman saya untuk kitab Syarah Jauharah itu. Sepanjang beberapa tahun beliau di Iran itulah beliau menulis kitab al-Mukhtasar al-Mufid berdasarkan rakaman itu. Bahasanya mudah, huraiannya jelas, jauh dari perbahasan meleret, meraikan keadaan semasa. Selesai dari tempoh menjadi duta Jordan ke Iran (tak silap saya selama 2 tahun sahaja), beliau pulang ke Jordan menceritakan kepada saya beberapa pengalaman beliau di sana. [...]

  2. [...] (cerita pengikut alArqam jumpa Mufti Jordan) [...]

  3. fahmie says:

    a’kum wrt. sejahtera hendaknya. syeikh nuh masih sihat ke ust? teringat gak kat masjid eidun dulu. sempat jgk la menadah kejap.lepas die ke iran tu, syeikh falieh menganti beliau. kalau xsilap ana, syeikh falieh tuh menantu dia kan?

  4. Ustaz Nik Nasri says:

    ahlan ya akhi. Dr Faleh bukan menantu dia, tapi baik dgnnya.

Hantar Komen Anda