World Hijab Day: Pelajarilah surah an-Nur

world hijab dayRAMAI wanita bernama Nur atau Nor atau Noor. Ditambah pula dengan nama-nama lain dibelakangnya. Nur itu cahaya. Cahaya membawa erti menerangi, bersinar, menunjuk. Tapi tidak ramai yang bernama Nur itu mempelajari surah an-Nur dan menghayatinya. Nabi memberitahu para Sahabatnya ‘..ajarkan surah an-Nur itu kepada perempuan di kalangan kamu..’.

Saya menyokong World Hijab Day dan semua program Terengganu Hijab Day. Hijab bukan sekadar menutup atau membalut tetapi ia mempunyai sifat dan syaratnya. Kalau tidak masa kan datang hadis yang menyebut ‘Perempuan yang berpakaian tapi bertelanjang’ (yang menjadi penghuni neraka).

Hijab juga adalah lambang kehormatan seorang wanita, yang menjadi sebab juga untuk masyarakat menjadi baik.

Saya telah mengambil inisiatif mengajar surah an-Nur ini. Mengambil inisiatif pula merakamkannya sendiri. Mengambil inisiatif lagi dengan menguploadkannya di portal ini. Tugas dan inisiatif dari diri anda hanyalah mendengar atau mendownload surah ini dan memahaminya.

Ringkasan surah an-Nur:

Dinamakan surah an-Nur kerana ia menerangi jalan kehidupan bermasyarakat, dengan diterangkan adab-adab dan kelebihan perkara tertentu, memperundangkan sesuatu hukum, ditambah dengan ayat ‘Allah itu Cahaya langit dan bumi..’ (iaitu cahaya dengan makna menerangi).

Kandungannya:

Surah ini mengandungi hukum-hakam penting tentang kekeluargaan. Membina sistem keluarga di atas landasan yang teguh. Memeliharanya dari perkara yang merosakkannya. Memfokuskan supaya menyusun keluarga dengan betul dan menjaganya dari runtuh.

Surah an-Nur dimulakan dengan hukum had ke atas penzina, penuduh zina perempuan yang baik, hukum li’an atau menafikan nasab anak. Ini semua supaya membersihkan masyarakat dari kerosakan akhlak, penyelewengan dan bercampurnya nasab keturunan. Jauh dari meruntuhkan kehormatan maruah. Memelihara ummah dari terjerumus ke lembah kerosakan akhlak yang menghalalkan segala-galanya tanpa batas.

Disebut kisah al-Ifk, fitnah besar terhadap A’isyah yang terbit dari sangka buruk dan terburu-buru menuduh perempuan suci. Memerangi tersebarnya berita palsu. Mengajar supaya kasih sayang mendasari kehidupan sesama mukmin dan menjauhkan was-was syaitan.

Surah ini juga menceritakan adab-adab bermasyarakat dalam kehidupan peribadi atau umum-meminta izin ketika memasuki rumah, menundukkan pandangan, memelihara kemaluan, menzahirkan perhiasan wanita kepada bukan mahram yang menunjukkan haramnya percampuran bebas lelaki perempuan bukan mahram, mengahwinkan perempuan bujang, menjaga diri bagi mereka yang tiada belanja perkahwinan.

Ia juga menceritakan tentang dalil kebesaran Allah, kewujudan dan keesaan-Nya.

Surah ini juga menyebut tentang sikap munafik dan mukmin tentang hukum Allah.

Ia kembali menceritakan hukum meminta izin bagi kanak-kanak pada masa-masa tertentu dan beberapa perkara adab lain termasuk adab dengan Baginda SAW. (ringkasan Tafsir Munir jilid 18 ms 118-120)

Moga bermanfaat untuk para wanita, terutama muslimah, mukminah solehah dan semoga negeri ini maju, berkat, sejahtera diterajui seorang MB yang menjulang surah An-Nur

Hantar Komen Anda