NikNasri.com » Terima kasih Astro Awani

Terima kasih Astro Awani

Astro Awani10 minit sebelum dialog secara langsung di Astro Awani dengan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang jam 2 petang Isnin 28 Mei 2018, sudah lebih 600 komen dibuat di laman Astro. Komennya sama ada pro atau kontra.

Usai dialog selama sejam itu, beratus lagi komen yang ditulis, pro atau kontra.

Bagi saya, semua komen ini menggambarkan ketokohan dan kehebatan Tok Guru yang muncul julung-julung kali di Astro Awani. Ia menggamit para penyokong atau pembencinya untuk menulis di ruangan komen, sama ada dengan ilmu atau nafsu.

Kalau saudara membaca komen-komen itu, ia sebenarnya menggambarkan watak si penulis. Apa yang ada di dalam hati, ia diungkap dalam bentuk teliti atau sebaliknya menyakitkan hati. Ada yang sangat berhemah, ada yang hujahnya sangat lemah, dan ada yang hanya komen berdasarkan nafsu serakah.

Saya mengikuti dialog selama sejam itu, sebagaimana orang lain. Yang tulis komen, entah dengar atau tidak. Yang mengikuti pula, kalau diteliti akan faham apa yang ingin disampaikan oleh Tok Guru. Sementara ada pula yang tak faham atau sengaja buat tak faham.

Saya dengar soalan-soalan yang dikemukakan oleh Haji Nazri Kahar. Tok Guru menjawabnya dengan ‘cara beliau’. Ada yang kata Tok Guru tidak menjawab soalan. Ada yang kata Tok Guru mengelak dari menjawab dan pelbagai tohmahan dengan maksud melekehkan beliau.

Kalau anda ahli PAS, pendukung PAS atau yang biasa mendengar ceramah, kuliah, tulisan Tok Guru, sebenarnya sebahagian soalan-soalan Haji Nazri Kahar itu sudah terjawab dalam semua itu. Maka apabila anda mendengar jawapan Tok Guru, anda sudah boleh menangkap maksud dan apa yang ingin Tok Guru sampaikan. Justeru, tidak timbul Tok Guru tidak menjawab soalan atau mengelak dari menjawab.

Bagi yang tidak biasa mendengar jawapan Tok Guru terhadap sesuatu isu, tetapi kuat mengomen, nampak sangat anda ketinggalan zaman. Komen di ruangan komen zaman ICT, tapi ceramah Tok Guru melalui ICT tak tahu.

Anda setuju atau tidak, Tok Guru sudah berkecimpung dalam politik sebelum sebahagian dari anda lahir. Setuju atau tidak, Tok Guru sudah ditanya pelbagai soalan dalam pelbagai medium sebelum ini. Setuju atau tidak, Tok Guru memahami mantiq, balaghah dan seni menjawab jauh lebih bijak dari sebahagian mereka yang kuat komen di ruangan komen.

Nabi SAW pernah ditanya pelbagai soalan. Nabi SAW juga menjawab dengan pelbagai jawapan. Ada yang direct, ada yang indirect. Ada yang ringkas, ada yang panjang. Kesemuanya berdasarkan fatanah, kebijaksanaan seorang Nabi.

Allah bertanya kepada Nabi Musa tentang tongkatnya. Cuba lihat cara jawapan Nabi Musa.

Tok Guru bukan nabi. Tetapi beliau mengikut jejak perjuangan Nabi. Nabi sebut: Ulama adalah pewaris Nabi. Antara yang diwarisi ialah sifat bijaksana.

Haji Nazri bertanya. Tok Guru menjawab, bagi saya, dengan kebijaksanaan beliau. Usai program, Haji Nazri tahu beradab dengan seorang ulama. Gambar beliau dengan Tok Guru menceritakan demikian. Sementara yang banyak tulis di ruangan komen, sebahagiannya langsung tidak beradab dengan seorang ulama. Ya, gambar profil FBnya pun memang menceritakan demikian.

Hantar Komen Anda