Fahami pendekatan kerajaan baharu Terengganu

terengganu maju berkat sejahteraKerajaan Terengganu sekarang yang dipimpin oleh PAS mempunyai dasar, polisi, halatuju dan pendekatan tersendiri yang berbeza dari kerajaan BN sebelumnya.

Ia selaras dengan pendekatan budaya politik, matang dan sejahtera yang diperkenalkan oleh PAS dalam parti ketika berkempen untuk PRU 14 dan sebelum itu.

BPMS ini kemudiannya direalisasikan di peringkat Terengganu secara khusus selepas kemenangan PAS menguasai kembali Terengganu selepas 14 tahun berada di bawah BN. YAB MB Terengganu, Dr Samsuri memperkenalkan kerajaan dan politik kasih sayang untuk rakyat Terengganu Darul Iman.

Ia tidak sama dengan politik balas dendam oleh pihak lawannya. Di saat sedang berkempen pun, ada suara JKKK ketika itu yang memberi amaran ‘ Jaga mung. Aku menang smula, aku kerat mung’. Berapa ramai guru yang ditukar atau dilambatkan kenaikan, hanya semata-mata cenderung kepada PAS, walaupun prestasi mereka jauh lebih baik dari yang naik pangkat secara membodek.

Apabila PAS kembali memerintah Terengganu, ada guru Tadika Kemas yang cemas. Ada AJK masjid tertentu yang jadi tidak tentu. Begitu juga dengan pegawai kerajaan.

Jangan bimbang. PAS tidak membalas sebagamana BN yang tiada belas.

Oleh itu, BPMS dan politik kasih sayang ini perlu difahami oleh rakyat Terengganu, termasuk tenaga pengajar di masjid, surau agar mengambil pendekatan berhemah dalam mengajar. Menerang, bukan menyerang. Apatah lagi jika yang diserang itu kerajaan Terengganu yang mahu melaksanakan Islam yang pernah diletakkan asasnya pada tahun 1999 dahulu dalam Undang-undang Tubuh Terengganu.

Kalau ada perkara yang mahu ditegur, ikut saluran yang sesuai. Jangan takutkan pegawai kerajaan yang baik dan jujur dengan ancaman dikerat atau dibuang dengan sewenang-wenangnya.

Tenaga pengajar masjid dan surau ini sepatutnya dekat dengan program PAS itu sendiri supaya mereka tidak membawa isyarat yang salah ketika berkuliah di masjid dan surau terhadap kerajaan negeri Terengganu yang baharu. Jangan anggap boleh sebut apa sahaja di hadapan mikrofon tanpa meneliti dasar dan pendekatan kerajaan PAS Terengganu.

Namun, pada hemat saya, dalam BPMS dan politik kasih sayang, tentu di sana ada faktor lain yang juga mesti dilihat. Ada lantikan politik, ada pegawai yang tidak ada kredibiliti, ada yang mungkin tidak layak untuk sesuatu jawatan.

Justeru, pertukaran, perletakan jawatan, kenaikan dan penurunan tentu akan berlaku. Yang penting, tiada yang dizalimi-menurut pertimbangan syarak-bukan menurut pertimbangan peribadi.

Ibu dan ayah yang kasih kepada anak. Bukan sahaja membelai. Kadang-kadang merotan juga apabila anak itu degil. Pokok yang dijaga, bukan sahaja disiram dan dibaja tetapi dahan yang rosak dan buruk juga mesti dibuang. Tapi tentunya dengan betul.

Kita berharap Terengganu terus maju, berkat dan sejahtera di bawah pemerintahan PAS. Bukan satu penggal, tetapi berterusan sebagaimana Kelantan, dan ia mengalir ke negeri lain kemudian nya dengan izin Allah.

Hantar Komen Anda